Surah Ar-Ruum ayat 41, Allah berfirman yang bermaksud, " Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".
Punca jerubu ialah kerana kerakusan manusia yang cuba mengaut keuntungan menerusi jalan singkat. Tanah ladang dan hutan dibakar untuk kerja-kerja pembersihan segera dengan kos yang murah. Natijahnya asap daripada kebakaran itu diterbangkan angin ke negara-negara jiran sehingga menyebabkan jarak penglihatan menjadi terhad, ditambah pula dengan implikasi lain terhadap kesihatan manusia.
| Pemandangan di luar tingkap pejabat pada hari Isnin lalu. |
Bila tengok jerubu ini, terkait la pula permasaalahan berhubung 'amal makruf, nahi mungkar'. Macam sama aje. Sama macam mana ye? Yelah, tanggungjawab kita sebagai hamba Allah, tak selesai dengan menunaikan solat, berzakat sebagainya...yang itu kita hanya lepaskan diri masing-masing sahaja. Bagaimana dengan orang di sekeliling. Keluarga kita, misalnya (kalau tak mahu tengok jauh). Banyak lagi yang pincang sedangkan kita tak mampu berbuat apa-apa membetulkannya.
Surah At-Tahrim ayat 6, firmanNya yang bermaksud, " Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan".
Ada anak yang belum bersolat. Belum pandai mengaji. Ada yang belum tutup aurat. Ada macam-macam. Itu baru keluarga, belum lagi masyarakat keliling. Orang Islam lain yang mana dengannya kita bersaudara, bersaudara dari segi akidah dan kepercayaan. Kalau mereka saudara kita, tentulah kita patut sayang dan kasihankan mereka. Orang kalau sudah disayangi, apa kita buat? Tentu kita tak mahu mereka menderita. Masalahnya, kita cuma nampak derita dunia. Tak cukup duit, kita bagi duit. Tak cukup makan, kita bagi makan. Memang dia selamat atas dunia, tapi keselamatannya di akhirat bagaimana?
Bab itu yang belum kita dapat lihat. Saya bercakap tentang diri sendiri juga. Sebab tak dapat lihatlah, kita buat-buat tak nampak. Kita ambil pendekatan 'mind your own business'. Pendekatan, 'masing-masing punya kubur...lantaklah!'. Itu yang jadi 'berjerubu' tu...Patutnya kalau konsep kubur masing-masing itu kita gunapakai, dah tentu siapa yang bakar, dialah yang sedut asapnya bukan? Apa pasal kita yang 'tak jaga tepi kain dia tu, terpaksa pula bertopeng bagai'?
Hakikatnya, walaupun kebakaran itu berlaku di tanah Sumatera, tanah-tanah di Malaysia, Singapura & Thailand (khabarnya angin dan mula beralih ke sana) telah terjebak sama. Telah turut sama menerima tempias (bukan tempias lagi dah!). Kesihatan terganggu. Pekerjaan tergendala. Tidak selesa serba-serbi.
Kalau untuk tahun-tahun depan, kita tak mahu lagi gangguan ini terjadi...kita kena mula ambil langkah pencegahan. Kena larang. Kena buat sekatan atau desakan diplomatik. Mungkin juga boleh berkongsi kaedah dan teknologi. Mungkin juga beri bantuan kewangan. Atau apa sahaja, asalkan tidak perlu lagi kerja-kerja pembersihan menggunakan kaedah bakar.
Moral di sebalik kisah jerubu ini ialah, memang setiap yang berlaku itu kerja Allah...tapi ianya terjadi bersebab juga. Bahkan dalam hal ini, ianya sebab tangan-tangan kita juga. Tak payah nak tunjuk kepada siapa-siapa, masing-masing kena main peranan. Sama macam mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan. Tak boleh tunggu ustaz dan ustazah sahaja. Kita pun sama kena buat kerja. Yang semut buat cara semut. Yang gajah buat cara gajah. Yang penting buat. Kita tak mahu jadi seperti Bani Israel yang Allah laknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran.
Berat untuk dilakukan, tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Semoga Allah beri kemudahan melaksanakannya.
2 comments:
terima kasih
sama-sama kasih.
Post a Comment