Kenapa topik ini penting? Penting sebab ia boleh menentukan samada ibadah kita selama ini diterima Allah ataupun tidak. Juga, kita boleh ukur apakah telah kita kecapi kemanisan dalam beribadah. Hemmm...macam mana nak bayangkan tu ye...sebab kita ni biasa buat apa yang kita disuruh buat, betul tak? Kita jarang nak pergi melangkaui tahap sesudah buat apa yang perlu dengan alasan, kita dah meet the requirement/expectation. Jarang sangat nak go beyond expectation. (Tapi kenapa ek kalau dalam bab beribadah begitu sekali kita berkira? - sila jawab sendiri, tepuk dada-tanyalah iman).
Macamana kita nak jadikan ibadah kita, misalnya solat sebagai sesuatu yang menenangkan jiwa dan menjadi penyejuk hati? Rasulullah SAW menyebut solat sebagai penyejuk hati Baginda di dalam satu hadis :
حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ أَبُو عُبَيْدَةَ عَنْ سَلَّامٍ أَبِي الْمُنْذِرِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُبِّبَ إِلَيَّ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ
Maksudnya :” Telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid Abu Ubaidah daripada Sallam Abu Munzir daripada Thabit daripada Anas sesungguhnya Nabi saw bersabda Perkara yang aku suka ialah wanita, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku ketika solat.” - Riwayat Imam Ahmad (hadis hassan).
Bagaimana nak menjadikan solat itu sebagai solusi untuk mententeramkan minda dan menghilangkan keserabutan fikiran? Solat dah 30 tahun, 40 tahun, serabut serupa tu jugak ...huhuhu. Nabi SAW pernah berkata kepada Bilal, “Wahai Bilal, dirikan solat, tenangkan kami dengannya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnad-nya dan Abu Dawud). Bagaimana untuk capai tahap seperti ini? Kata bijak pandai, tidak ada satu benda pun yang boleh mendorong manusia untuk melakukan sesuatu dengan rela dan sendirinya, bersusah payah nak buat sepenuh hati melainkan cinta.
Tanda kita cinta kepada sesuatu amalan ialah apabila kita rasa seronok melakukannya. Macam orang yang suka berkebun, dia suka dan seronok cangkul tanah, tabur baja, siram pokok walaupun penat seharian nak buat semua tu. Bila nampak pokok yang ditanam membesar dan hidup subur, lagi dia seronok. Itu sebab dia dah cinta. Jadi, sama juga dengan ibadah kita. Agak-agaknya di mana kita sekarang? Rasa excited bila dengar azan berkumandang ke atau rasa "eh dah azan la"...dengan nada frust sebab kejap lagi kena tinggalkan urusan kita untuk pergi bersolat. Nak pulak tengah tengok drama time waktu maghrib masuk...ada kah kita kata, kejapp...sikit je lagi...nak habis dah ni...langsung pukul 8 barulah kita terhegeh-hegeh nak pergi ambil wuduk.
Kalau hendak merasai kemanisan dalam beribadah, kenalah cinta kepada Allah. Tak kenal maka tak cinta. Dari mana hendak datang cinta tersebut kalau kita tak kenal Allah? Macamana nak kenal Allah kalau tak mahu baca dan faham Al-Quran, tak seronok nak ikut apa yang Nabi buat. Dah kalau methodnya tak betul, sampai sudahlah tak mencapai objektif yang dikehendaki, betul tak? So, hari ini kita belajar macamana nak mendapatkan cinta Allah supaya bila beribadah, kita rasa ianya proses yang menyeronokkan dan bukan bebanan.
Untuk mendapatkan cinta Allah, kita terlebih dahulu kenalah tahu apa yang Allah cinta. Macam kita sayang kat pasangan kitalah, kita nak bagi dia makan apa yang dia sukai. Dah kalau dia kata kalau time makan mesti kena ada sambal belacan...buat jer la...Bagi dia sambal belacan tu supaya dia pun cinta sama kita...hahahaha. Jangan mare aaaa...
Di dalam Al-Quran, Allah sebut banyak apa yang Allah cinta.
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Daripada Ayat 195 Surah Al-Baqarah ini, Allah sebut siapa orang yang dia kasihi iaitu orang yang suka berinfaq di jalan Allah. Bukan berinfaq di bulan Ramadhan saja ye, tapi pada setiap masa dan ketika memang kaki infaq ni...pantang ada peluang dia infaq. Asal infaq je, dia. Asal dia je, infaq. Haaa...ini orang yang Allah suka dan cinta. Jangan kata tak ada duit nak infaq, bukan duit saja yang boleh diinfaq kan. Kalau ada ilmu, sebarkan dan ajar orang. Duit tak ada, ilmu tak ada...infaq pakai tulang empat kerat kita...tolong orang bergotong royong bersihkan masjid ke, tolong orang dalam kecemasan ke...itu juga dikira berinfaq selagi mana ianya untuk tujuan yang membawa kita dekat kepada jalan-jalan kebaikan.
Siapa lagi yang Allah kasih? Allah cinta dan kasihkan orang-orang yang banyak bertaubat dan sentiasa mensucikan diri sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 :
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Bila kita buat salah, buat dosa...lekas-lekas bertaubat. Jangan tunggu dosa dah berkepuk-kepuk baru nak taubat. Jangan duduk dalam keadaan berdosa berterusan tanpa taubat. Allah suka hambaNya yang selalu balik kepadaNya untuk bertaubat. Jadi nak Allah cinta pada kita, buatlah apa yang Dia cinta.
Orang yang bersuci yang dicintai Allah pula ada dua pendapat iaitu pertama, itulah orang yang sentiasa bersih fizikalnya, badannya bersih dan dia sentiasa dalam keadaan berwudhuk. Suci dari segala hadas. Manakala pandangan kedua ialah merujuk kepada orang yang suci hatinya, yang mana segala perbuatannya adalah didasari niat yang suci semata-mata kerana Allah. Tiada di dalam hatinya unsur-unsur riak dan juga unsur-unsur yang berteraskan kepentingan duniawi.
Siapa lagi yang Allah cinta? Allah sukakan orang yang bertaqwa iaitu mereka ini suka mentaati perintah Allah bila-bila masa dan di mana-mana jua, orang tengok ka orang tak tengok ka, sama sahaja buat mereka. Masa orang ada pun mereka bertaqwa, lebih-lebih lagilah bila tak ada orang. Sebab mereka buat kerana Allah. Inilah orang yang Allah cintai sebagaimana firmaNya dalam ayat 76 dari Surah Al-'Imraan :
Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
Ciri-ciri orang bertaqwa ini dia punya ketaatan itu tidak kira tempat , walau berseorangan pun dia tetap bertaqwa sebab dia tahu Allah Maha Melihat segala perbuatannya. Begitu pula, bilamana dia berbuat jahat, dia segera terus bertaubat dan untuk 'cover' balik kesilapan dia tambah dengan ibadat-ibadat lain contohnya banyakkan zikir, tambah solat sunat dan sebagainya.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, kita dapati di dalam Al-Quran memang banyak Allah sebutkan siapa hamba-hambaNya yang Dia kasihi. Yang menjadi masalah ialah kita yang tak tahu atau tahu baca Al-Quran tapi tak faham. Maka, mulut saja yang baca sedangkan kefahaman tak meresap masuk dalam sanubari menyebabkan ibadat kita yang bertahun-tahun itu rasa sama seperti itu juga, hambar dan tawar. Tak rasa lazat , tak rasa manis. Punca mengapa kita gagal merasai kelazatan beribadah adalah kerana kita tak buat apa yang Allah suka, tapi kita buat apa yang nafsu suka.
Di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 7, Allah berfirman :
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
Nabi Muhammad adalah rahmatan lil 'alamin. Rahmat kepada semua umat dengan sikap Baginda yang sentiasa sayang dan berbelas kasihan kepada umat. Ayat di atas menegur sahabat yang teruja beribadat sehingga mahu melakukannya dengan lebih baik, lebih banyak berbanding apa yang Nabi ajarkan. Namun, Nabi tidak benarkan sebagaimana kisah sahabat yang mahu berpuasa setiap hari tanpa henti kerana sekiranya Allah dan Nabi membenarkan maka ia akan menjadi satu kesusahan kepada umat menyebabkan ramai yang akan berdosa jika tak mampu melaksanakannya.
Jadi, sebagai cara yang kita ini patut, cinta dan taat kepada Allah dan Rasul maka pastikan kita redha dan berlapang dada terima apa jua arahan walaupun nafsu tak suka.
Lihat ayat 28 dalam Surah An-Nur ;
Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
Ibadat yang paling utama bukan solat, bukan puasa. Tapi ibadat yang paling utama ialah bila kita redha dengan apa yang Allah takdirkan, barulah boleh merasa kemanisan ibadah. Seronoklah dengan takdir Allah kalau tidak ibadat yang kita buat akan terasa membebankan. Ustaz kaitkan dengan sikap wanita yang uzur ketika 10 akhir Ramadhan...macam frust masing-masing sebab tak boleh buat solat sunat banyak-banyak, mengaji dan sebagainya dalam pencarian lailatul qadr. Ada yang tak puas hati. Ustaz kata, jangan begitu. Redha dan berlapang dadalah dengan takdir Allah.
Ada 3 benda ini, baru boleh rasa kemanisan iman :
- Mengutamakan Allah dan RasulNya dalam semua perkara
- Mencintai orang lain dan bersahabat dengannya kerana Allah. Bila kawan buat salah, kena tegur dan kita pun bila ditegur kena terima teguran dan berlapang dada.
- Benci kepada kekufuran. Apabila iman telah menjadi perhiasan di dalam hati, secara automatik akan membenci kekufuran.
Kufur ialah perbuatan yang mengeluarkan seseorang daripada Islam. Misalnya tidak beriman dengan hari akhirat atau tidak beriman dengan Rasulullah. Ia menyebabkan akidah rosak lalu terkeluar dari Islam. Fasiq pula ialah perbuatan meninggalkan ketaatan kepada Allah misalnya tidak bersolat, tidak menutup aurat. Dan akhir sekali maksiat ialah perbuatan melanggar larangan Allah contohnya Allah larang mendekati zina, tapi orang ini selamba bukan takat mendekati malah melakukan zina tanpa segan silu.
Seterusnya, berikut adalah tips bagaimana untuk mendapatkan cinta Allah :
Kata Ibnu Qayyim dalam kitabnya tentang kedudukan cinta Allah - katanya, cinta Allah berada pada satu tingkat yang kalaulah orang tahu nilainya maka tidak boleh tidak pasti orang akan berebut-rebut, kejar mengejar dan habis habisan buat untuk meraihnya. Cinta Allah adalah makanan kepada jiwa dan penyejuk hati. Sayangnya manusia tidak tahu betapa bernilainya cinta Allah maka kerana itu manusia masih disibukkan dengan berebut dok mengejar cinta dunia.
- Membaca Al-Quran dengan mentadabbur yakni memahami maknanya dan beramal dengannya.
- Mendekatkan diri kepada Allah dengan mendirikan solat sunat (perbanyakkan amalan sunat. Lagi banyak, lagi Allah cinta).
- Sentiasa berzikir. Bila baca dan faham Al-Quran , lagi kenal Allah dan hati/mulut sentiasa ingat kepada Allah dalam apa jua keadaan.
- Mengutamakan cinta Allah lebih daripada cinta nafsunya. Bila bertembung kehendak nafsu dengan kehendak Allah, utamakan kehendak Allah. Allah suruh bangun solat malam, nafsu pula nak tidur. Lawan nafsu untuk bangkit solat.
- Selalu menghayati dan mentadabbur maksud nama-nama Allah.
- Bila kita beribadah kepada Allah, hendaklah merasakan diri kita ini paling hina
- Kena khususkan waktu kita dengan Allah. Cari masa yang kita boleh beri tumpuan sepenuhnya dan tempat yang selesa supaya kita rasa seronok emndekati Allah (persekitaran yang baik).
- Sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh
- Jauhkan diri daripada apa sahaja yang boleh menyebabkan kita melakukan dosa.
- Bertaubat dengan segera.
- Rasa sentiasa ingin melaksanakan ibadah, sayang je nak buat sekejap-sekejap. Rindu je nak buat lagi (tahap angau).
- Semakin ingin menambah amal ibadah. Dah sedekah, nak buat lagi kebaikan...beri tanah untuk wakaf pulak. Sentiasa fikir apa cara lagi nak bagi amalan bertambah.
- Penduduk langit akan cinta kepadanya. Nah kalau penduduk langit pun sudah suka, tentu mereka akan sentiasa mendoakan kita dan buatkan kita rasa seronok nak balik kepada Allah nanti. In shaa Allah.
Sekian, semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment