Saya masih tidak puas hati. Saya tetap berpegang teguh kepada pendirian saya dan saya rasa ianya betul, bukan sesuatu yang direka-reka. Bukan sesuatu yang plastik.
Semalam Ustaz kata, ada 3 perkara yang menyebabkan manusia takut untuk mati iaitu :
1. Takut untuk menghadapi saat sakaratul maut yang menyakitkan.
2. Takut mati kerana takut akan balasan yang menanti selepas mati.
3. Takut mati kerana tak mahu tinggalkan harta, anak-pinak & segala keseronokan dunia.
Kita takut mati yang mana? tanya Ustaz.
Anira??? Ala...hari ini saya pulak duduk depan jelas trang tang tang, pulak tu tengah sibuk nak membalas sms.
"Yang mana satu?". Saya sengih dulu sebelum menjawab, yang nombor dua. Lepas tu seorang demi seorang yang duduk di barisan hadapan itu ditanya soalan yang sama. Kebanyakan menjawab nombor 2. Sama macam saya. Saya dengar suara di belakang kata, sepatutnya jawapannya ialah nombor 3 kerana itulah hakikatnya. Jadi bila Ustaz kata, yang jawapannya ialah nombor 3, gembiralah suara kat belakang tu sebab Ustaz mengiakan kata-katanya.
Hish...saya tak puas hati. Saya tetap pertahankan jawapan nombor 2. Saya rasa itulah punca yang menyebabkan saya takut untuk mati. Kita tahu apa yang menanti sesudah nyawa meninggalkan badan. Tak tahu apa yang tersedia, balasan baikkah atau balasan buruk. Dengan bekal yang tidak seberapa, sudah semestinya kematian itu sesuatu yang menakutkan.
Mengapa pula salah?
Nombor 3 bukan jawapan untuk saya. Setidak-tidaknya begitu ia kelihatan pada pandangan saya. Saya tidak akan tarik balik jawapan saya semata-mata Ustaz kata 3. Ini bukan soal merendah diri atau soal kita tak mahu kelihatan seolah-olah kita ni baik sangat. Saya bukan baik pun. Dengan menjawab nombor 2, itu tidak bermaksud saya ni riak atau sempurna...tapi itu yang saya mahu tanamkan dalam diri saya. Itu yang saya mahu percaya. Itu yang saya mahu sentiasa ada dalam pemikiran saya supaya bila-bila masa saya hanya punya Dia untuk tempat bergantung segala harapan.
Mengapa pula saya tidak boleh jawab nombor 2?
Saya mengaku saya takut mati. Namun adakalanya bila ditanya samada saya sudah bersedia untuk mati sekarang, saya rasa macam hendak jawab YA.
Entahlah, bila tengok apa yang saya ada sekarang....saya rasa sekarang adalah masa yang baik untuk saya berbanding masa hadapan yang saya tidak tahu entah jadi macam mana. Saya sedar Allah berkuasa membolak-balikkan hati dan saya takut kalau-kalau masa hadapan itu buruk untuk saya. Tapi bila fikir semula, rasanya takut untuk mati sekarang kerana banyaknya dosa-dosa saya. Saya perlukan masa yang panjang untuk benar-benar mempersiapkan diri.
Berserah sahajalah, mudah-mudahan Allah permudahkan perjalanan saya menuju destinasi abadi.
No comments:
Post a Comment