Tuesday, June 05, 2012

Refleksi Diri

Jiran sebelah cubicle saya menunjukkan gambar seseorang dan bertanya samada saya mengenali individu tersebut atau tidak. Dengan cepatnya saya kata, ya, saya kenal. Saya sudah boleh agak mengapa dia bertanya kerana sehari sebelumnya saya ada melihat individu yang sama di kaca televisyen dan akhbar. Dan saya juga sudah mengagak arah tuju perbualan kami apabila jiran saya itu meminta saya membandingkan gambar bekas pemimpin syarikat kami itu dengan gambar beliau hanya beberapa tahun dulu. Memang ada bezanya. Agak ketara sehingga menarik perhatian untuk menjadikannya satu topik perbualan.

"Saya rasa, dia baru balik umrah...sebab tu nampak macam sedikit botak" cepat saya memberikan pandangan awal.

"Oh...patutlah pun...yalah, sebab tu saya pelik kenapa Dato' nampak lain". Saya dah agak, tak ada siapa yang mempertimbangkan cerita balik umrah itu. Maksud saya, bukan ada apa sangat tentangnya, setidak-tidaknya tidak perlulah teman saya itu menyangka yang bukan-bukan. Betul, kami yakin tugasan yang dipikulnya berat. Beban itu sahaja mampu memutihkan kepala dan meluruhkan rambut sampai nampak luas betul dahinya bak padang bola. Bab kerja itu kami langsung tidak pertikaikan. Memang beliau seorang yang kuat bekerja. Samada pekerjaan itu menjadi suatu bebanan ataupun tidak, saya rasa itu terpulang pada individu tersebut.

Jiran saya memandang gambar tersebut, melihatnya lebih dekat lagi, termenung sedikit dan kemudiannya bertanya, "Berbaloi ke?".

Saya angkat tangan. "Nope! Tidak untuk saya." Langsung tidak ada keraguan.  Jiran saya itu angguk-angguk. Dia pun bersetuju juga. 'Adik' kecil kami bertepuk suka. "Tapi ada banyak duit maaa..."

'Duit banyak pun tak guna...tak ada masa pun untuk belanjakan. Masa habis memikirkan bagaimana hendak menjayakan syarikat. Duit tidak boleh menggantikan masa-masa bersama keluarga yang terpaksa dikorbankan".

Masa yang berlalu itu tidak boleh ditebus balik dengan wang ringgit.

Entahlah, saya hanya nampak dan menilai secara luaran. Saya tidak tahu apa yang memotivasikan seseorang itu untuk begitu berorientasikan kerjaya. Mungkin faktor kepuasan diri. Memang ada individu yang barangkali benar-benar mencintai kerjanya sehinggakan apa yang dilakukan itu bak bernafas dan makan sehari-hari, sesuatu yang mesti dilakukan. Tak salah, bukan?

Tak salah.

Untuk saya, saya bersyukur dengan apa yang ada. Nak kata saya begitu gilakan kerja ini, tidak. Nak kata saya benci, pun tidak. Tekanan memang ada. Terfikir nak cari kerja lain ? Huh...dah banyak kali berangan, tapi tak buat juga. Hahaha. Kalau saya ini hidup sendiri tak ada nak fikirkan tentang orang lain, esok pun boleh resign. Asal rasa tak suka, bila-bila pun boleh berhenti. Kenyataannya, hidup ini perlukan pengorbanan. Iannya tidak semudah A,B,C...

Selagi kita boleh lakukan, lakukan yang terbaik. Jangan kemut idea, jangan kemut ilmu. Apa sahaja tugasan yang diserahkan kena buat dengan ikhlas. Niat kerana Allah. Ia akan menjadi ibadah. Bekerja dan berterusan mendapat pahala. Tak payahlah hendak fikir tentang stress, pada saya...apa saja yang kita lakukan, kita lakukan dengan sehabis baik...kalau orang nak cari pasal juga, berserah sajalah kepadaNya.  Janji jujur dengan diri sendiri.

Hidup di dunia ini sekali sahaja. Kalau susah dan membebankan pun...hanya di dunia sahaja kita merasanya. Sekali aje pun. Biar susah di dunia...jangan susah di akhirat.

Jangan kalah dengan kerenah dunia!

No comments: