Friday, October 21, 2011

Un'sangka'rable

Ada satu benda yang memberi kesan kepada saya minggu ini. Sesuatu yang membuka fikiran dan mata hati.

Tentang yang dimaksudkan dengan 'anak-anak yang soleh'.

Apabila mati seseorang anak Adam, maka, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu :
1. Sedekah dan amal jariah
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Doa daripada anak-anak yang soleh

Kalaulah kita ini kurang sungguh yang 1 dan 2, tentulah kita akan sangat-sangat berharap pada yang ke-3. Namun, kefahaman selama ini selalu membuatkan diri berfikir, "aiyooo...boleh ke?". Kalau anak tu biasa-biasa sahaja, sembahyang pun buat asal siap...macamanalah hendak meletak harap.

Dalam kuliah Rabu lepas, ustaz cakap, ada sesetengah ulama menafsirkan 'anak yang soleh' sebagai anak yang berbakti/membuat kebaktian kepada ibu dan bapa. Makanya, doa mereka ini Allah terima.

Tidak semestinya mereka ini lulusan Al-Azhar. Tidak semestinya mereka ini sembahyang di sepanjang malam dan menghafal Al-Quran. Tidak.

Wah...kalau macam itu agak cerahlah ruang dan peluang kita mengaut amal anak yang soleh, kan? Insyaallah...itulah tanda luasnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya. Diberi juga cara demi cara supaya hamba-hambaNya dapat menempa kehidupan yang sejahtera di akhirat sana.

Yang membuka mata saya itu, apanya?

Bahawa saya jangan memandang buruk pada orang yang saya sangka tak baik. Biarlah dia tak sembahyang atau tak pandai mengaji Al-Quran pun. Biarlah kalau seumur hidupnya sehari berpuasa pun tak pernah. Tetapi, tengoklah, betapa dia anak yang sangat menghormati dan mengutamakan ibu dan ayahnya. Sepatah pun tak pernah membantah cakap ibunya. Sedikit pun tak pernah membuatkan ayah dan ibu berduka. Amalannya dengan Allah, dia boleh bertaubat pada bila-bila masa dan Allah Yang Maha Pengampun boleh ampunkan dosanya hatta sebanyak buih di lautan sekalipun. Tetapi kalau berdosa dengan ibubapa?

Demikianlah saya merasai terpukul dengan perasaan kononnya amalan saya lebih baik...padahal hati saya masih busuk dan kotor. Astaghfirullahalazim...

Aku mohon keampunanMu, Ya Allah...

No comments: