Hari ini saya menerima emel pemberitahuan daripada LinkedIn.
Tuan/Puan Anira,
Hari ini kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa LinkedIn boleh didapati dalam Bahasa Malaysia. Dengan ahli melebihi 120 juta orang di seluruh dunia, LinkedIn adalah destinasi online terbaik untuk profesional seperti anda bertukar informasi, idea dan peluang baru. Sekarang anda boleh mengakses semua peluang yang berikut menggunakan bahasa yang anda selesa gunakan.
Mahu menggunakan LinkedIn dengan lebih berkesan? Lawati halaman bahasa pilihan anda untuk membaca mengenai petua dan teknik berkenaan cara berhubung dengan rakan sekerja, membina profil anda, mengakses LinkedIn dari peranti bimbit anda, dan banyak lagi.
Salam Hormat,
Arvind Rajan
Naib Presiden,
Antarabangsa di LinkedIn
Aha...LinkedIn, jaringan sosial untuk para profesional eceh ceh ceh...saya terperangkap dalam jaringan ini setelah menerima jemputan seorang rakan...pun ada perancangan untuk segmen pengguna berbahasa Malaysia. Ia satu pengiktirafan. Kalau tidak, kenapa hendak bersusah payah memberi pilihan. Pejam mata sudah. Baguslah mereka tak berfikir macam orang kita. Kalau kita, tak apalah, cukuplah ada Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bahasa kedua rakyat kita, mereka tentu boleh faham. Macamana Bahasa Malaysia hendak mengambil tempat sebagai bahasa rasmi negara?
Oh ya, kebetulan semalam saya ter'tengok'(sudah semestinya tidak dirancang), satu program pertandingan Lagu Bahasa Melayu peringkat Antarabangsa 2011 di saluran TV1. Bior benor? Iya...tak tipu! Tapi dah saat-saat akhir juga, sempatlah dengar persembahan peserta Khazakhtan menyanyi lagu 'Asmaradana'. Ada lagu 'Permaidani', 'Mimpi Laila'...heheh...menarik! Kita sudah pernah ada pertandingan debat, pantun dan sebagainya. Saya rasa, ada banyak perkara lagi boleh dilakukan dan semestinya ada masa depan untuk bahasa ini...kalaulah kita benar yakin dan percaya!
Dan pagi ini di Cyberjaya, saya memenuhi tuntutan kerja menghadiri satu sesi dialog dengan badan kawalselia negara Korea Selatan. Sangat menarik kerana itulah kali pertamanya berbincang dan bertukar-tukar pandangan menerusi jurubahasa. Mereka sangat bersemangat dan dengan bangga menggunakan bahasanya, saya tidak nampak sebarang kejanggalan dan keperluan untuk menjaga hati siapa-siapa. Korea, negara yang sangat maju dari segi aplikasi internet dengan jalur lebar berkelajuan tinggi. Negara yang kita ingin contohi dan mereka maju dengan acuan mereka sendiri. Kandungan tempatan mereka sangat hebat...segala-galanya hanya dengan bahasa sendiri. Kita???
Benar saya tak faham kenapa saya masih terdengar-dengar rungutan tentang PPSMI, yang kononnya ia patut diteruskan. Kita patut kukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pengajaran bahasa itu sendiri. Bukannya menumpang pada Matematik dan Sains yang ada 'bahasanya' tersendiri untuk dikuasai. Alasan lapuk betullah kalau kata kena buat macam tu sebab buku rujukan di peringkat tinggi dalam Bahasa Inggeris...kalau saya, budak kampung yang tiba-tiba sahaja kena kelek dan belek buku rujukan tebal berbahasa Inggeris ketika masuk universiti...boleh lakukannya tanpa banyak masalah...kenapa yang lain tidak?
Heheh...tak habis kalau hendak berdebat tentang bahasa.
Jom, siap hendak balik kampung...
No comments:
Post a Comment