Monday, March 11, 2013

Sekadar Permainan

Semenjak emak pandai turun bas di Hentian Duta dan kami pun menjumpai jalan dalam untuk berpatah balik ke Sentul (sebelum itu Aku pernah sesat-barat sampai keluar Jalan Damansara sana), keraplah kami melalui jalan Cangkat Duta dan persekitarannya. Di sana, jalannya berbukit-bukit...maklumlah, tempat orang kaya. Rumahnya? Pergh...hebat! bak kata Aiman.

Jadi, semalam sesudah menjemput emak, kami melalui lagi jalan yang sama. Masing-masing terdiam menikmati kesunyian alam dan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Mata menyoroti rumah-rumah agam yang beraneka rupabentuk. Sekilas ternampak sebuah kereta Ferrari yang berselubung di kawasan parkir sebuah rumah yang tersergam indah.

"Cantik rumah ni...sayang, semua akan ditinggalkan" kata emak perlahan.

Yalah, memanglah cantik. Memanglah mewah. Indah mempersona. Tetapi lama mana segala-galanya dapat dinikmati? Katalah seratus tahun sekali pun...lepas tu? Tinggal juga, kan? Tak adalah segala harta benda itu kita dapat angkut masuk dalam kubur...betul tak?

Ini bukan satu motivasi untuk menenangkan hati yang cemburu kerana tidak dapat mengecapi kelebihan seperti itu. Tetapi ini adalah satu motivasi untuk membantu hati supaya tidak terliur dengan godaan dunia. Betapa singkat waktu yang kita ada untuk diluangkan di dunia ini...janganlah kesemuanya dihabiskan mengisi perjuangan memenuhi tuntutan nafsu. Nafsu hendak hidup senang dan kaya raya. Alhamdulillah, bagus kalau kita jadi kaya seperti kayanya Abdul Rahman Bin Auf. Tetapi bolehkah kita menjadi seperti sahabat Nabi itu yang tidak hairan dengan hartanya malahan tidak kisah berapa banyak pun dia beri untuk diinfakkan ke jalan Allah. Berapa ramai dari kita yang sanggup berbuat seperti itu?

Sungguh! Semua yang ada ini sangatlah sedikit dan sementara nikmatnya. Sedikit kerana apa yang ada di sisi Allah jauh lebih besar. Dikatakan dalam suatu hadis, nikmat yang Allah beri di dunia ini kalau hendak diumpamakan adalah seperti banyaknya air yang melekat pada hujung sebatang jarum yang dicelup ke dalam sebuah lautan luas. Begitu kecil sekali! Bahkan sementara pula!

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 64 yang bermaksud :

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui".

(Ini adalah ayat yang Ustaz syarahkan dalam kelas minggu lepas, juga sekali lagi ditekankan semasa kelas bahasa Arab).

Kalaulah kehidupan dunia ini adalah kehidupan sebenar, tak adalah kematian selepas ini. Kehidupan yang di dalamnya ada kematian...bukan kehidupan namanya. Itulah maksudnya 'main-main'. Yang namanya kehidupan sebenar ialah bila kehidupan itu berlangsung selama-lamanya...kekal abadi. Kerana itu, akhiratlah sebenar-benar kehidupan.

Semoga dapat dibezakan dengan jelas matlamat kehidupan di dunia ini supaya kehidupan kekal di akhirat nanti tidak bakal menjadi sia-sia.

No comments: