Bila kita selalu melihat dari sudut yang sama, kita kerap terlupa menghargai kerana kebiasaan itu sesungguhnya lekas mengundang jemu sehingga akhirnya kita lupa mensyukuri.
Mujur hari ini saya berpeluang melihat dari kacamata seorang ibu. Walaupun dia tidak dibesarkan dalam persekitaran yang moden lagi lengkap dengan segala prasarana seperti yang anak-anak sekarang kecapi, ternyata dia mampu melontarkan suatu 'peringatan' yang mengesankan.
Esok pagi, ibu saya harus berada di mukimnya untuk menerima duit BR1M. Bagi ibu saya, apa yang dilakukan oleh kerajaan memerintah sekarang adalah sangat baik. Dia rasa bersyukur. Ibu langsung tak punya prasangka apa-apa. Ibu tak ada apa-apa kepentingan pun. Pada ibu, semua orang harus bersatu-padu dan mendiami negara ini dengan aman harmoni. Manakala saya sendiri, boleh dikatakan mudah 'diracuni'. Mungkin saya berasakan adalah perlu untuk mengambil satu pendirian. Saya tak mahu menjadi lalang, pergerakannya dikawal angin. Masalahnya sekarang ini, dengan ledakan maklumat di hujung jari...adalah sukar untuk menelah kebenaran. Mencari kesempurnaan. Hingga akhirnya, saya harus akui, saya menjadi keliru.
Hari ini, saya membawa ibu ke pejabat kerana saya gagal mendapatkan tiket perjalanan pagi kerana bas banyak yang tak ada hari ini. Khabarnya, banyak yang ditempah untuk program-program kerajaan. Tiket terawal ialah untuk perjalanan jam 3.30 petang. Jadi, sementara jam 3.30 itu, saya bawalah ibu ikut masuk pejabat.
Itulah saya dapat mendengar tafsiran ibu terhadap tempat kerja saya walaupun dia saya bawa berjalan ke sana sini kerana mod pengangkutan kami hari ini ialah lrt.
Ibu kata yang baik-baik saja tentang pejabat saya, kawan-kawan saya dan syarikat tempat saya bekerja.
Sesungguhnya bagi ibu, saya sangat bertuah.
Yang menariknya bila saya bawa ibu makan di kafetaria kami...ibu kata makanan yang dihidang sungguh pelbagai dan sedap. Sampaikan ibu kata, lain kali dia nak datang lagi makan tengahari di kafetaria kami. Saya bulatkan biji mata...maklumlah, kami kat sini dah mula rasa 'cemuih' dan hari-hari garu kepala nak makan apa.
Kemudian saya bawa dia ikut kelas pengajian Al-Quran Ustaz saya...pun memuji-muji dia. Heheh. Padahal tempat pengajian kami nun orang bagi tersorok kat tingkat atas kubah tu...pun mak kata tempat elok.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kamu ada semua...ada dunia, ada akhirat. Seimbang.
Eloklah kamu kerja di sini...
Alhamdulillah.
Mungkin saya terlalu rasa 'biasa' sehingga terlupa dengan nikmat ini. Saya fikir ianya sesuatu yang saya telah lama terima dengan besar hati dan tidak terfikir ianya sesuatu yang patut saya kenang-kenangkan sentiasa. Aduh...lalu kalau begitu, makanya ada banyak lagi nikmat-nikmat yang menjadi 'kebiasaan' yang lupa untuk saya kenang dan syukuri selalu...??? Nikmat mata? Nikmat jari-jari yang banyak membantu saya dalam pekerjaan termasuk mencurah rasa di blog ini. Banyaknya nikmat...astaghfirullah....itulah, bila selalu ingin memandang yang ada di depan sana....konon-kononnya masih dalam pencarian, terlupa hendak menyemak 'inventori' yang sedia ada.
Terima kasih ibu kerana mengingatkan.
4 comments:
Syukur pada Allah dengan ingatan ini.
-sirapmadu-
Kalau hendak dihitung satu-persatu nikmat Allah, memang tak mampu nak sebut...
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?".
BETUL KADANG KITA TERLUPA......BILA DIUJI DENGAN KESENANGAN
Segala puji bagi Allah dalam segala hal. Kesenangan itu ujian. Kesusahan juga ujian. Bak kata SOLUSI, usah dipinta dikecilkan ujian tetapi mintalah agar dibesarkan iman menghadapinya.
Post a Comment