Tuesday, August 14, 2012

Trivia Raya Telipuk


Tak tahulah korang macamana...tapi kalau tanya Telipuklah, bab raya sekarang ni Telipuk lebih gemar ala kadar aje. Kadang-kadang mak Telipuk marah juga sebab Telipuk kurang 'teruja'...heheh...bukan apa, Telipuk suka jawab, "apa-apa yang ada je lah mak...tak payahlah nak beli itu ini..." heheh. Dulu-dulu raya memang happening la sebab masa tu zaman budak yang rasa raya adalah segala-galanya. Tapi sekarang, bila dah dewasa...dan ada banyak perkara yang Telipuk perhati serta hayati...rasa cukup-cukuplah beraya. Sekadar meraikan ajelah. Tapi Telipuk sukalah sebab masa raya inilah ada peluang untuk jumpa saudara-mara dan sahabat handai. 

Dulu zaman susah. Sekarang dah senang alhamdulillah...tapi yang zaman susah tu jugaklah yang rasa best sangat-sangat. Tak boleh lupa dan akan selalu ingat.

Jom imbas semula...

  1. Kutipan tertinggi pernah dicatatkan semasa zaman beraya dari rumah ke rumah : Sekitar RM50 . Itupun setelah puas merayau keluar pagi, balik petang. Budak-budak sekarang duduk lepak depan tv pun selamba je kumpul RM100.
  2. Yang paling gempak dalam bab sedekah raya : Seorang jiran yang tak miss bagi 50 sen untuk setiap budak yang datang. Dia letak syiling-syiling tu dalam bekas Brylcreem. Mewah la tu...
  3. Yang paling tragik : Ada sebuah rumah ni, kami dapat 20 sen dan disuruh kongsi 4 orang...huahuahua...masa zaman ni memang ingat beraya tu seronok sebab boleh dapat duit je hehehe.
  4. Kuih raya paling favourite bagi kategori tradisional : Putu Kacang
  5. Kuih raya paling favourite bagi kategori moden : Biskut Y
  6. Hidangan popular hari lebaran yang tidak pernah dijamah : Nasi Himpit
  7. Top 5 aktiviti pra-raya : cari kayu api, tolong pukul telur sampai kembang untuk buat bahulu, tolong kacau dodol, tolong tekan acuan kuih bakar kacang dan tolong cabut bulu ayam (zaman bela ayam untuk makan sendiri).
  8. Baju raya paling tak dapat dilupakan : Kain yang sama dibuat baju dan dipakai oleh saya dan tiga orang kakak. Cuma pattern aje yang berbeza. Zaman baju boria.
  9. Kenangan pahit bab baju raya : Tempahan tak dapat disiapkan dan tukang jahit menghilangkan diri menyebabkan hilang mood beraya kerana tak ada baju raya.
  10. Tempat duit raya dihabiskan : Pekan Sabtu
  11. Top 5 barang-barang yang dibeli menggunakan duit raya : cekak rambut, getah rambut, sepit rambut, buku tulis (notebook) dan pensil warna.

Tahun ini insyaallah Telipuk akan pulang berhari raya di Krian. Seronok sebab cukup korum 8 semuanya akan berkumpul. Cuma ada rasa yang Telipuk pun tak pasti hendak gambarkan macam mana...terasa lain, terasa janggal kerana tahun ini tak ada tangan ayah untuk dikucupi. Siapa agaknya akan mengambil alih tugas membuat kelongsong ketupat palas tu ye...selalunya ayah yang bolot kerja tu...hemmm...

Bercampur baur pulak perasaan menjelang berakhirnya Ramadhan ini, ya. Apapun Telipuk hendak mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat meneruskan perjuangan Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini semoga segala amalan diterima dan kekal beristiqamah hendaknya. Juga selamat meraikan 1 Syawal, semoga gembira di samping keluarga.

Jumpa lagi selepas raya, insyaallah.

 

1 comment:

Anonymous said...

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Sampaikan salam I pada emak dan keluarga.