Semalam tergerak hati hendak mencari seorang sahabat lama. Sebenarnya bukan kali pertama mencarinya, cuma pencarian sebelum ini tidak mendatangkan hasil. Ketika menaip namanya di ruangan 'search' FB itu, Aku tidaklah mengharapkan apa-apa. Tapi, siapa tahu...kalau-kalau dia sudah pun membuka akaun tahun ini, kan? Pencarianku menemukanku dengan beberapa orang yang sama nama. Aku renung satu persatu gambar yang ada. Kecil pulak tu...jenuh jugaklah membayangkan rupa kawan yang kali terakhir berjumpa dan berpisah tahun 1993 kemudian berutus berita melalui tinta sehinggalah lewat 1990-an...kemudiannya menghilang tak dapat dikesan.
Ada satu profile yang sangat mirip teman yang dicari. Sayangnya bukan gambar seorang, gambar bertiga macam tu...lagilah tak jelas...bertudung pula...tapi yang tang pipi tu macam ye dah. Betul ke? Macam dia cuma tak beranilah hendak main serkap je. Mana tahu kot pelanduk dua serupa ke? Aku memutuskan untuk menghantar mesej pendek. Bertanya apakah dia orangnya yang Aku cari. Kalau bukan, Aku minta maaf siap-siap.
Jadi, malam tadi, Aku masuk FB sekejap. Ada friend request di situ. Ada mesej juga. Aku baca mesej tu dulu. Alhamdulillah, ramalanku benar belaka. Mujurlah kena pada orangnya. Betul, itulah kawan yang Aku cari. Dia pun sama teruja. Masyaallah! Tak sangka! Gembira betul. Dia bukan kawan yang Aku kenali menerusi zaman persekolahan. Bukan juga kawan sekampung. Memang tak ramai kalau dibilang kawan yang datang dari luar sumber utama ini...terutamanya yang zaman sebelum masuk U.
Sahabat ini Aku kenali semasa kami sama-sama pergi mencuba nasib memasuki bidang ketenteraan selepas keluar keputusan SPM. Ianya berpunca daripada iklan pengambilan pelatih untuk jawatan Leftenen Muda Tentera Darat. Ada beberapa sebab kenapa Aku memohon kemasukan ke bidang ini pada masa itu walaupun ianya tersasar jauh daripada 'kebiasaan'. Biarlah sebab-sebab itu menjadi rahsia...hehehehe...
Oh ya, tempoh seminggu lebih di Kem Desa Pahlawan Kelantan itu memanglah menyiksakan untuk Aku. Tapi yang seronok tu dapat ramai kawan. Bila kena 'siksa' sama-sama tu, memang rapatlah jadinya kami. Aku pulak itulah pun pertama kali merasa tidur dalam dorm. Di situlah Aku kenal Masitah. Orangnya kelakar dan ceria. Kalau Aku senang-senang lepas ujian ketinggian, Masitah ini lepas ala-ala kadar je...hahaha. Cukup-cukup makan. Tapi kami berdua memang cepat 'ngam'. Dia budak Sitiawan yang sangat merendah diri orangnya. Walaupun lepas tapisan pertama, kami antara yang terpilih untuk dihantar pulang. Kami gagal mendapatkan tempat untuk diserapkan masuk mengikuti kursus seterusnya. Berbanding Aku yang agak 'happy' mendapat berita kegagalan itu, Masitah ternyata hampa dan kecewa. Aku cuma sedih untuk meninggalkan kawan-kawan lain yang semakin mula akrab. Sebelum mendapat keputusan itupun, Aku sudah boleh menebak apabila dipanggil berjumpa Kapten (nama tak ingat). Dia bagi Aku sesi nasihat panjang lebar suruh Aku masuk belajar sambil mengibar-ngibarkan keputusan SPM Aku. Dia kata dia tak faham kenapa dengan keputusan begitu Aku datang ke situ. Aku cuma tersengih-sengih membiarkan dia menyimpan anggapan yang ternyata Aku belum cukup matang untuk membuat keputusan dalam hidup.
Apa pun sayonara untuk kawat setiap pagi. Sayonara untuk kawat atas gelanggang pada tengahari buta dengan tidak memakai kasut. Juga sayonara untuk tembok-tembok yang Aku kena panjat tu...hahaha...juga air kopi panas yang menunggu selesai acara larian 2 batu beramai-ramai...heheh.
Kami berbual panjang dalam bas menuju pulang ke negeri masing-masing. Tiba di Puduraya (ceh! banyak la pulak kenangan puduraya ni kan...), kami berpisah. Aku mengambil bas ekspres untuk pulang ke Taiping. Dan Masitah pula menghala ke Ipoh. Di pertemuan terakhir itu...cewah...cewah...dia berkeras hendak Aku simpan selimut kesayangannya sebagai tanda kenangan. Padahal Aku tahu dia tak pernah berenggang dengan selimut itu. Mas...Mas...! Aku ambil dengan rasa terharu. Dan Masitah tak tahu, Aku gunakan selimut itu masa tahun-tahun Matrikulasi. Lepas itu Aku pencenkan dan simpan di rumah. Hemmm...entah siapa yang sebat langsung tak nampak lagi kelibatnya. Akan tetapi, sudah tentu persahabatan yang terjalin itu sampai sekarang ku ingat. Kali terakhir, Aku dimaklumkan Masitah berjaya memasuki bidang yang diminatinya itu dan ditempatkan di Miri, Sarawak. Selepas itu keadaan dan masa semakin menjarakkan kami.
Tak kisahlah, apapun keadaan sudah berubah.
Kajang ye....nanti Aku pergi cari.
No comments:
Post a Comment