Friday, August 13, 2010

Bekas dan Isi

Semalam, bertempat di Dewan Serbaguna Menara TM, kami sekali lagi berpeluang untuk menghadiri satu majlis ilmu yang dianjurkan oleh BAKIT KL dan BAKIT Helwa. Penceramah jemputan kali ini ialah Ustaz Dr. Abu Basit Abdul Rahman yang menggelar dirinya Abu Anas Madani yang pernah menjadi tetamu jemputan rancangan "Tanyalah Ustaz".

Aku tidak mahu menyentuh isi kandung ceramah secara terperinci kerana kebanyakannya ialah perkara-perkara yang bukan baru, bak kata orang, dah berbuih mulut ustaz-ustazah bercerita...jadi, untuk entri ini Aku cuma hendak sentuh bab adab kita terhadap Ramadhan yang Aku rasa menarik untuk diketengahkan.

Pertama, betul ke adab yang kita pamerkan dalam menjalani Ramadhan ini. Bagaimana sikap kita terhadap Ramadhan. Perbandingan yang dikemukakan membuatkan hati rasa tercuit. Analogi rakan baik.

Katakanlah, Ramadhan itu adalah seorang sahabat baik yang sudah lama kita tak jumpa. Suatu hari Ramadhan memberitahu kita , dia hendak datang bertamu ke rumah kita. Bagaimana reaksi kita? Sahabat baik ni...Mestilah seronok, siap order satay Kajang lagi hendak menjamu. Okay, tiba hari yang dijanjikan datanglah Ramadhan ke rumah kita, membayangkan betapa seronoknya dapat berjumpa semula...dapat bercerita hal-hal lama, mengetahui perkembangan terkini masing-masing dan macam-macam lagilah. Bila sampai, kita pun jemput dia masuk. Tanya itu ini. Lepas tu...berbunyi pulak telefon bimbit kita. Ada seorang kawan di talian ajak berbual. Kita pulak beria-ia melayan. Tup tup tinggallah Ramadhan terkulat-kulat di ruang tamu bersendiri sebab kita sudah acuh tak acuh melayannya. Fikirkan perasaan Ramadhan...sudahlah lama tak jumpa, datang jauh pulak tu...kita buat tak reti aje. Macam tu ke dikatakan beradap?

Perbandingan kedua timbul apabila Ustaz mempertikaikan sikap kebanyakan kita yang lebih memberi keutamaan kepada persiapan menyambut Ramadhan, bukannya persiapan dan strategi mengisi Ramadhan. Pun menarik juga analoginya.

Bayangkan Ramadhan itu berupa bekas. Katakanlah pinggan mangkuk. Yang kita dok sibuk ialah jenama pinggan mangkuk tu. Hendak beli yang mahal-mahal. Asal keluar sahaja set baru, semua kita hendak beli. Seronok sangat dapat beli. Hari-hari kita tenyeh, kita gosok, kita gilap...memancar-mancar sampai silau mata tetamu ye...Akan tetapi apalah maknanya bekas yang cantik kalau hidangan yang mengisinya tu tawar heber. Tak sedap langsung! Atau lebih malang lagi, makanan basi yang ada dalam bekas-bekas itu. Apalah gunanya kan? Lainlah kalau kita makan bekas tu pulak ke...maklumlah, dah beli mahal-mahal kannn...

Jadi begitulah, dalam situasi nyata sekarang ini, tengoklah betapa terpedayanya kita dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menjana kemantapan ibadah. Sebaliknya mengurangkan pahala ada. Yang kita sibuk, apa hendak makan masa berbuka ini ya...Atau lauk apa yang paling best dihidangkan masa sahur supaya terbangkit selera. Bukannya, bagaimana mahu meraih taqwa, bagaimana mahu meningkatkan pahala dan mendapat keredhaan Allah. Kita sibuk dengan 'bekas', kita terlupa hendak fikirkan bab 'pengisian'nya.

Sana sini orang gantung kain rentang...Marhaban Ya Ramadhan...Kedatanganmu dinanti, Pemergianmu ditangisi...tapi baru masuk hari ketiga berpuasa sudah terbaca keluh-kesah ibubapa yang merungut belum beli baju raya untuk anak-anak dan diri sendiri. Risau sangat tak sempat beli. Sepatutnya kita risau dengan amalan kita yang tak seberapa sedangkan Ramadhan semakin hari semakin berlalu. Sudahlah datangnya setahun sekali, kalau tak sempat 'kaut' dan ditakdirkan pula tak dapat jumpa lagi...amacam?

Hemmm...kalaulah asyik dok gilap pinggan je keroje nye...alamat sampai sudahlah tak makan nampak gayanya.

No comments: