Thursday, January 12, 2012

Pembetulan

Seperti kelas-kelas yang lalu, kelas pertama tahun baru ini tetap sahaja meninggalkan kesan yang merimaskan dalam hati. Rimas sebab makin dipelajari, terasa makin banyak lagi yang tidak diketahui. Terasa cetek benar ilmu. Terasa kecil kerdil mahu menjangkau kedudukan yang terjamin. Bagaikan terlalu jauh. Terlalu hina untuk mengimpikan sebuah jannah.

Tapi kalau bukan jannah...apa lagi? Lalu teringat perbualan sesama sahabat dahulu di mana selalu Aku nyatakan, tak apalah kalau tidak mendapat istana emas, mahligai perak atau kebesaran-kebesaran lainnya, dapat duduk di hadapan pintunya pun sudah memadai...asalkan tidak terjerumus di perut an-nar...tidak sama sekali! Sebatang jari kelingking pun tidak Aku sanggup biarkan terpanggang...lalu asalkan dapat lepas bagiku sudah sebesar-besar nikmat.

Tak sangka yang ianya suatu yang salah. Salah untuk meminta hanya sekadar lepas.

Itu ku pelajari ketika kami mengupas buku bertajuk "Memesan Kursi Tertinggi Di Syurga". Apa katanya? Sabda Rasulullah S.A.W. "Bila kamu meminta kepada Allah, maka mintalah syurga Firdaus. Sebab, ia adalah pertengahan syurga dan tempat paling tinggi di syurga." (HR. Bukhari, Tirmidzi dan Ahmad).

Terbeliak mata dibuatnya. Merenung amalan yang ada, terasa seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong lagaknya. "Layakkah Aku???". Dengan pastinya hati mengatakan, mana bisa...kamu tak layak!!! Layakkah Aku meminta Firdaus dengan amalan yang tersangatlah sedikit ini?

Maha Suci Allah Yang Maha Kaya. Zat Yang Maha Tinggi. Yang Maha Pemurah.

Teringat pula satu ungkapan yang dulunya acapkali dijadikan azimat dalam memburu pencapaian duniawi...apa katanya?

"Kalau kamu mensasarkan panahmu, sasarkanlah kepada bulan kerna kalau kamu tak bisa memanahnya, setidak-tidaknya kamu akan mengenai gunung-ganang. Janganlah hanya mensasarkan kepada pokok kerna kalau sasaranmu tidak mengena, nescaya kamu hanya berhasil memanah rumput".

Nah, kalau untuk habuan dunia sanggup pula bercita-cita tinggi dan menyimpan angan jauh menerobos angkasa. Mengapa tidak disematkan semangat yang sama untuk merebut ganjaran kekal abadi yang Allah janjikan? Mana perginya semangat? Tidak cukup dorongankah? Belum masuk ke medan perang, sudah mengisytiharkan diri kalah...cisss!!!

Allahuakbar!

Dan satu yang masih terngiang-ngiang semenjak meninggalkan kelas jam 8.30 pagi tadi ialah kata-kata Ustaz iaitu "betapa payah dan susahnya membuat dosa berbanding mengerjakan hal-hal kebaikan...". Yang menghairankan, kita sudah terbalik ...kita rasa membuat kebaikan itu payah...dan sangat mudah membuat dosa. Mengumpat itu jadi senang sangat...eh...cer duduk sorang-sorang dalam rumah...ate boleh ngumpat ke? Payah tu nak mengumpat sorang-sorang. Nak mengumpat kena keluar rumah, busuk-busuk kena berhimpun tepi pagar, kalau tak ada kerusi kena bertenggek tepi tembok longkang, udah kena gigit nyamuk le pulak kalau buatnya mengumpat sampai ke senja...kan susah tu??? hehehe...

Nak buat maksiat senang ke? Susahhhh. Nak kena bagi alasan kat keluarga dan rakan-rakan kalau keluar daerah. Nak kena menipu sana-sini. Nak kena panjat balkoni hotel murah kalau-kalau pegawai agama datang ketuk pintu bilik...silap haribulan jatuh patah tulang belakang...tak pasei-pasei koma 6 bulan...!

Sedangkan nak buat baik mudah sangat. Pandang langit dan ucap subhanallah pun sudah dapat pahala. Duduk diam-diam berzikir kepada Allah pun besar pahalanya. Nak buat mudah sangat. Tak payah nak cari tempat, tak payah nak siap bagai...dalam kesesakan lalulintas pun boleh berzikir.

Tapi itu telah menjadi payah pada pemikiran kita. Seperti kata Rosebud, kita ini benar-benar tertipu dengan tipu daya syaitan. Sesungguhnya! Kena tipu memanjang.

Astaghfirullah'alazim.

Mudah-mudahan dipermudahkanNya urusan kita dalam menambahbaik amalan yang bermanfaat, lebih baik daripada hari-hari semalam. Insyaallah.

2 comments:

Es hash ei Ka Ei en said...

salam. coretan yang sangat menarik. mohon share boleh?

Telipuk Kuala said...

Boleh, silakan.