Thursday, January 26, 2012

Teman Sejati

Kuliah hari Rabu kami berjalan seperti biasa. Ia telah menjadi sesuatu yang rutin sekiranya tiada gendala lain. Alhamdulillah, sesungguhnya bukan kita yang menentukan pasti dapat hadir atau tidak ke majlis ilmu sebegitu justeru, kena bersyukur yang diri masih terpilih.

Tajuk pilihan ustaz hari ini memang sesuai. Sesuai kerana ustaz juga bakal memulakan kuliah Taddabur Al-Quran mulai Surah Al-Baqarah selasa depan. Jadi, hari ini sebenarnya adalah pengenalan untuk kuliah baru tersebut. Termasuk kelas Arab, tiga hari berturut-turutlah nampaknya saya dan rakan-rakan akan luangkan sejam masa dengan ustaz. Mudah-mudahan dipermudahkan untuk kami.

Hari ini ustaz mengetengahkan tajuk, "Kepentingan dan Kelebihan Mempelajari Al-Quran". Insyaallah, bila sudah tahu tujuan dan sebabnya, barulah kita akan lebih menghargai. Sesuatu itu akan kekal tanpa memberikan apa-apa nilai tambah kalau kita gagal mengupas daripada segi yang lain bilamana ilmu atau sudut pandangan lama yang ada terus dikekalkan. Kemahuan dan semangat untuk menambahbaik diri harus dipacu!



3 hadis dikemukakan sebagai dalil (maaflah, saya tak sempat hendak cari yang lengkap, hanya sekadar terjemahan yang saya faham) :

#1 :Telah berkata Rasulullah S.A.W - "Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi sentiasa berkata : Barangsiapa yang Al-Quran dan mengingatiKu telah menjadikannya sibuk daripada berdoa/meminta kepadaku maka Aku akan memberinya yang lebih baik daripada apa yang diminta oleh orang-orang yang meminta" - HR Al-Tirmidzi

Apa maksudnya? Mana satu yang kita lebih senang buat? Meminta (berdoa) kepada Allah atau membaca Al-Quran & berzikir (mengingati Allah)? Sudah tentulah lebih mudah meminta, bukan? Kita minta macam-macam kepada Allah. Antara yang popular ialah meminta agar dipanjangkan umur, meminta agar dimurahkan rezeki, meminta agar dikurniakan kesihatan yang baik juga meminta agar anak-anak berjaya. Itulah permintaan kita saban kali. Tetapi kita terlupa yang umur yang panjang adalah tidak berguna sekiranya hidup tidak tenteram. Rezeki yang melimpah ruah pun tiada ertinya kalau tidur tidak lena, susah hati memikirkan harta. Kesihatan yang baik pun tiada ertinya kalau tidak pernah fizikal yang baik itu digunakan untuk menggandakan ibadat. Berjogging 10km setiap hari tidak pernah culas tetapi hendak sampai ke masjid yang cuma 100 meter dari rumah untuk sembahyang jemaah pun tidak pula dibuat. Anak-anak berjaya, jadi orang berpangkat terpelajar dan sebagainya namun tidak pernah mendoakan ibu bapa, buat apa? Makanya, ada benda lain yang lebih baik yang Allah tawarkan tetapi manusia tidak teruja untuk menggapainya. Itulah ganjaran ketenangan dan syurga.

Dengan cara apa? Dengan cara seperti yang Nabi S.A.W terangkan dalam hadis Baginda ini iaitu menyibukkan diri kita dengan membaca/mentaddabur/menguasai Al-Quran dan mengingati Allah (seolahnya sampai tak sempat hendak menadah tangan berdoa) lalu sebagai balasannya Allah akan kurniakan kita dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang diminta (orang-orang yang selalu berdoa) dan ditambah lagi dengan ketenangan serta yang terbaik sekali, sudah tentu, syurga Allah.

Selesai satu hujah mengapa penting sangat untuk kita mempelajari Al-Quran.

#2 : Telah berkata Rasulullah S.A.W : "Orang yang cekap/mahir dengan Al-Quran itu adalah dia bersama para malaikat yang mulia yang selalu membuat kebaikan dan orang yang sentiasa membaca Al-Quran dan dia merangkak (membaca dgn kesusahan /tak lancar bacaannya) maka baginya dua ganjaran/pahala" - HR Muslim.

Saya suka hadis yang ini kerana ia bercanggah dengan 'hadis Melayu'yang mana kalau kita ni tak pandai baca Al-Quran, orang selalu takut-takutkan dengan kata-kata, "kalau baca salah, nanti berdosa" sehingga akhirnya kita tinggalkan Al-Quran sebab takut berdosa membacanya sedangkan dosa yang kita buat dengan tidak mendampingi Al-Quran itu adalah jauh lebih besar. Susah macamanapun, merangkak mahupun tergagap sekalipun ketika terkial-kial membaca Al-Quran, kita jangan sama sekali berputus asa dan meninggalkan Al-Quran. Dan hadis Nabi S.A.W ini memberi dorongan dan motivasi agar mempelajari Al-Quran itu tetap menjadi amalan. Apa katanya? Orang yang mahir dengan Al-Quran maka darjatnya memang sangat tinggi...dia bersama para malaikat yang mulia. Itu adalah satu pengiktirafan yang tertinggi. Bagimana dengan yang tidak mahir? Jangan risau, sekalipun merangkak...tetap ada baginya, dua ganjaran. Dua , ok? Bukan kosong, bukan setengah, bukan satu...tetapi dua. Berganda. Tak akanlah selamanya hendak merangkak...tentu hari demi hari kita akan baiki kemampuan itu, kan? Jadi, apa alasan lagi untuk tidak membaca Al-Quran?

Apa yang lazim berlaku dalam masyarakat kita adalah berbeza dengan apa yang Nabi S.A.W ajarkan. Penekanan kepada kepentingan membaca Al-Quran dalam masyarakat kita ialah hanya sekadar hendak cepat khatam. Sudah khatam, sudah buat pulut kuning...tutup kitab. Tunggulah bila tahun pula baru hendak buka. Kita tidak menjadikan membaca Al-Quran suatu amalan.Sesuatu yang orang Islam mesti buat.

Apa pentingnya Al-Quran ? Penting sangat. Berdasarkan hadis seterusnya.

#3 : Telah berkata Rasulullah S.A.W - " Al-Quran itu berhujah bagi engkau atau ke atas engkau". HR Muslim.

Maksudnya, Al-Quran itu apabila kita amalkan maka dia akan menjadi pembela yang akan mempertahankan kita (berhujah) agar terhindar daripada api neraka , sebaliknya, sekiranya kita tidak beramal dengannya maka dia akan menjadi pendakwa yang dahsyat yang akan menyeret dan memastikan kita menerima hukuman setimpal.

Insyaallah, mudah-mudahan sedikit ilmu ini dapat kita kongsikan bersama agar saranan membaca Al-Quran itu menjadi sesuatu yang mesti, yang kita perlu buat bukan lagi yang terpaksa dibuat...yang membebankan. Kerana besarnya kelebihan-kelebihan yang datang bersamanya, layaklah dia mula kita layan sebagai teman, teman rapat yang akan bersama-sama dalam susah dan senang, di dunia dan di akhirat.

Selamat beramal!

1 comment:

Anonymous said...

sungguh,betapa kaya hati orang2yang gemar membaca dan mempelajari AL-Qur'an,ibaratkan harumnya bunga yang wanginya akan menyebar kemana-mana,dan janji Allah yg pasti,mereka akan selalu di pelihara Allah...amin/wtr