Friday, July 31, 2009

Ulangtahun Ke-4 Aiman

Semalam genap umur Aiman 4 tahun. Dah berkali-kali dia bertanya bila hendak belikan dia kek. Jadi semalam, lepas balik kerja, Aku dan Abang keluar mencari kek. Maklumlah, ini acara keluarga. Kitaran bermula dengan hari lahir Aiman di bulan Julai, selepas itu Hisham - September, Aku - Oktober dan Abang yang penghabisan, Disember.



Seronok juga menumpang seronok anak-anak ini.



Cepat masa berlalu, sudah 4 tahun pun Aiman. Patutlah makin 'besar' kepala dia. Kadang-kadang menggeleng kepala Aku dibuatnya dengan telatahnya.



Dalam bertiga ini, Aiman yang paling cengeng...pantang diusik mesti menangis. Tapi bunyi dan aksi saja yang lebih. Airmata tak keluar pun. Maka si abang yang memang kuat menyakat tu selalulah gelabah nak tenteramkan dia. Takut kena marah.



Alamak, kesian ibu dia...boleh tengok ajelah kek itu...huhuhu...(tak jugak, sempatlah merasa sepotong...:) )



Happy birthday, Aiman!

Thursday, July 30, 2009

Pusing-pusing KL Sentral

Minggu lepas Aku menghadiri bengkel kerja yang berlangsung di Khazanah Nasional. Walaupun itu kali pertama menjejakkan kaki ke Menara UEM, KL Sentral, Aku dengan yakinnya mengambil keputusan untuk memandu ke sana.

Kalau ikutkan Aku memang sampai awal di sana, kalaulah Aku tidak kesesatan. Aku cuma membayangkan duduk letak Mercu UEM berdasarkan panduan peta. Sudah lama tidak memasuki Jalan Travers dan Jalan Tun Sambathan, Aku sedikit kelam-kabut mengambil lorong, almaklumlah, dengan teksi yang banyak dan bas Rapid KL di kiri-kanan, sukar untuk menganggar jarak dan bila mahu membelok kali pertama ke sini memandu sendiri. Sudahnya, Aku salah masuk jalan dan terpaksa membuat pusingan semula untuk masuk ke Jalan Sentral 5. Bila sudah dapat masuk jalan itu, masalah parking pula. Tak dapat parking di Mercu UEM. Jadi, Aku kena pusing lagi.

Yang bagusnya tu, bila pusing keluar Aku sudah salah ambil jalan keluar ke Jalan Tun Sambathan. Kemudian, lagi lebai malang sebab terlajak sampai terlepas susur keluar ke Jalan Bangsar, sebaliknya Aku terus ke Jalan Tun Tan Cheng Lock. Dari situ, memang tiada pilihan selain terus ke hadapan sehinggalah melalui Pasar Seni, Kota Raya dan Jalan Tun Perak. Malangnya Aku tersangkut agak lama di situ dek kesesakan pagi hari kala pemandu-pemandu berlumba-lumba ke tempat kerja. Hendak ketawa pun ada, hendak menangis pun ada. Apa boleh buat, tiada gunanya menangisi susu lembu yang sudah tumpah...heheh....

Bila dapat masuk melalui Dataran Merdeka itu barulah terasa boleh bernafas semula. Masa itu cuma tinggal beberapa minit sahaja sebelum acara bermula. Jadi, Aku bulatkan tekad akan parking di tempat parking kereta umum yang pertama Aku jumpa tanpa mempedulikan jauh atau dekat jarak ke Mercu UEM. Aku dapat masuk ke basement parking Plaza Sentral. Lama juga mencari ruang dan membiasakan diri dengan selok-belok dan jalan sempit macam lorong tikus di dalam sana. Apatah lagi banyak lot yang sudah ditandakan nama. Mujurlah Aku dapat juga tempat parking.

Dipendekkan cerita, syukur alhamdulillah, Mercu UEM hanya berhadapan dengan Plaza Sentral. Terdapat laluan pejalan kaki disediakan dan Aku berhasil sampai sebelum acara bermula. Lega. Itu pengalaman memandu di sana. Rupa-rupanya ramai orang mengatakan mereka menaiki LRT sebab sukar memandu ke sini dan mencari tempat letak kereta adalah antara pengalaman 'ngeri' kebanyakan orang...huh? Kalau Aku tahu, dah sah Aku naik LRT aje.

Oh ya, acara tamat jam 12 tengahari. Kebetulan itu hari Jumaat yang rehat tengahari agak panjang. Dalam berkira-kira mahu pulang ke pejabat, Lotuslily telefon minta Aku tunggu di sana kerana dah lama tak keluar tengahari jadi geng kat office bercadang nak turun makan di Sentral. Eh! Boleh sahaja. Puan Faizah yang ada urusan di KLCC pun sempat join sebab dia tak bawa kereta, naik LRT aje. Lagilah senang, dari KLCC terus datang jumpa kami di KL Sentral. Oleh kerana bukan selalu ke sini, kami bersetuju untuk pergi makan di Kelantan Delight yang terletak di bangunan Sooka Sentral.



Aku sampai paling awal. Almaklumlah, Aku memang dah ada dekat-dekat area Sooka Sentral. Nasib baik Puan Faizah yang naik LRT dari KLCC tu sampai cepat. Kalau tidak mati kutu Aku keseorangan menunggu di Kelantan Delight.



Lepas tu barulah Lotuslily, Rosebud dan Sirapmadu sampai.



Semua orang pun ceria aje, weeiiii...lama betul tak keluar rasanya.



Masa kawan-kawan ajak makan ni Aku dah cakap, Aku tak boleh makan banyak. Tapi diaorang sibuk juga pastikan Aku join lunch ni, kenalah pandai-pandai memilih makanan yang sesuai...theheheh...



Inilah antara juadah tengahari itu. Ini ikan siakap.



Asparagus goreng belacan?



Ayam percik



Kesemua di atas di makan bersama nasi putih dan dikongsi bertiga antara Lotuslily, Rosebud dan Sirapmadu. Puan Faizah yang makan 'main-main' itu tidak mahu makan nasi, hanya mencubit dan merasa bila-bila perlu. Ahaks!

Dan Aku makan ini...tom yam kelapa muda. Lebih banyak hirup kuah dengan isi kelapa sahaja sebab kena minus banyak ekor udang. Heheheh...



Lepas makan, semua tumpang kereta Atoz kecilku. Nasib baik ada geng, kalau tak mau sesat lagi masa nak keluar dari Sentral tu sebab tak pasti jalan mana boleh sampai ke mana. Dan bayaran letak keretanya ialah RM24 huhuhu...nasib baik la Menara TM tu free untuk staff. Kalau tak, naik LRT la jawabnya.

Wednesday, July 29, 2009

Bila Aku Sudah Tiada...

Hanya semasa membaca suratkhabar NST dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur kelmarin barulah Aku tahu bahawa pengarah filem dan iklan terkenal iaitu Yasmin Ahmad telahpun meninggal dunia. Takziah kepada ahli keluarganya.

Tidakkah sedikit sebanyak terkesan di hati kita bahawa siapapun kita, terkenal atau tidak, kaya atau miskin, buruk atau cantik – semuanya bakal melalui satu proses yang sama? Mahu atau tidak kita semua akan menghadapinya. Bersedia atau tidak, kita masih perlu melaluinya. Sepertimana lirik lagu Herman Tino, “Mati adalah pasti, hidup insyaallah”.

Betapa singkatnya hidup! Ianya berlaku pantas. Menurut laporan akhbar yang ku baca, Yasmin rebah semasa sesi pembentangan kertas kerja di TV3 berikutan serangan strok. Berikutan itu, dia dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan di kepala. Seterusnya dia tidak pernah sedar dan bergantung kepada alat sokongan hayat sehinggalah datang ketetapanNya. Tentunya tiada seorangpun di antara mereka yang rapat dengannya dapat membayangkan kejadian sebegini berlaku. Mereka bagaikan tidak percaya. Begitulah ketetapan Allah. Bilamana saatnya telah tiba, janji sudah sampai, maka berlakulah semuanya sebagaimana yang tertulis di Loh Mahfuz. Ianya bukan tentang Yasmin semata. Aku bercakap tentang kematian. Betapa ramai lagi di luar sana yang merasakan seakan-akannya mereka akan hidup selamanya menongkat dunia.

Teringat satu masa Aku membaca sebuah akhbar tabloid hujung minggu. Penghias muka depan adalah seorang gadis cantik yang sedang meningkat naik sebagai pelakon berbakat. Orangnya muda. Bergaya. Namanya, masyaallah, sungguh indah. Lalu bersoal jawablah artis muda ini dengan wartawan. Soalan yang ditanya adalah tentang pertentangan imej yang dibawanya dengan namanya yang indah itu. Apakah dia tidak kisah dikutuk masyarakat kerana gemar berpakaian seksi? Jawapan stereotype yang barangkali keluar tanpa banyak fikir atau kerana kurang ‘peka’ ialah “saya hanya mahu menjadi diri saya sendiri” dengan erti kata lain, “inilah saya”. Dan lebih kurang kata-katanya yang Aku ingat adalah, “inilah masa yang sesuai untuk saya berpakaian begini. Saya masih muda. Bila sudah tua, tentulah saya tidak akan pakai begini. Nampak buruk. Nanti apa pula kata orang”.

Kesiannya! Tahu kah dia berapa panjang hayat dia? Bolehkah dia menjamin bahawa dia akan sempat sampai ke usia warga emas?

Lalu Aku pun terkenangkan diri sendiri. Di sepanjang perjalanan itu. Terfikir bagaimana agaknya.

Katakan Aku mati. Mungkinkah terdengar kata-kata ini?

“Innalillah. Betul ke Anira dah meninggal? Minggu lepas kami keluar makan sama-sama dekat Madam Kwan’s. Bukan main selera dia makan laksa asam”

“Iya? Eh! Dia sakit apa, ya? Tak tahu pula Aku dia ada penyakit?”

“Kesian, anak-anak dia”

Meremang jugaklah bulu roma membayangkan situasi ini. Yang pastinya Aku pasti dengan tidak ragu-ragu, malah jaminan 100% akan melaluinya. Dan masalahnya, sudah bersediakah Aku untuk menghadapNya?

Wednesday's Blues

I am back in the office.

It’s quite a stressful morning. I hope it’ll get better in the afternoon.

I don’t know what the heck is wrong with my laptop. Several few important programs suddenly gone. I could not access my Office Outlook. There are some important emails in the mailbox.

There was a message “this computer does not have an internet connection” when I tried to access my email using Internet. Arghhh! This can’t be happening! Not me!!!

I have to resort using my desktop, which I have not used for quite sometimes. I am waiting for the IT guys to fix the problem. I think my laptop need to be reconfigured.

Another set back is the persistent request from one of the contender for the recent consultancy project to meet up. My boss asked me to handle them. He has no problem if I were to meet them over a cup of coffee in the afternoon. But I feel uncomfortable. I would just prefer them to hand in the proposal. I don’t want to meet them. I don’t want to get to know them. I just declined meeting them today and they asked me for a new schedule tomorrow. Argghhhh!!!

Oh God! This desktop is killing me! Where is the IT problem-fixing guys when I desperately need them???

Monday, July 27, 2009

Cerita Chiang Rai

Sawasdee kaa!

Penatnya baru balik daripada lawatan tidak dirancang ke pasar malam pekan Chiang Rai. Sebelum tu lenguh rahang dan pipi sebab banyak sangat bersembang dalam sesi 'berkawan' dengan orang di majlis makan malam yang berlangsung di Dusit Island Resort.

Alhamdulillah, pipit ini telah berkawan dengan semua enggang yang sudi singgah di dahan pokoknya. Jadi, walaupun singkat, memang banyak dapat kawan-kawan baru dan nampaknya tidak boleh lari dari suasana sebegini. Ingatkan nak berkurung di bilik, tetapi bilikku yang luas itupun tak habis dinikmati sepenuhnya. Hanya jadi tempat tidur sahaja. Selebihnya dipenuhi dengan aktiviti 'berkawan-kawan'.

Sorrylah ahkak lotuslily sebab banyak susahkan akak gara-gara pertukaran penerbangan itu. Khor toat! Harap-harap akak lotuslily menjawab, "Mai ben rai" ... hihihi ... Dan kunun-kununnya ini malam Aku patut duduk menelaah public inquiry paper yang telah dipertanggungjawabkan di atas batu jemala hamba ini, alih-alih dapat pula akses internet berkelajuan. tinggi percuma dari bilik hotel atas ihsan NTC. Khrob koon kaa! Maka tidak boleh tidak Aku melencong masuk ke KLTraffic ini ... ha ... ha ... ha ...

Okaylah, sedikit tentang kunjungan singkat ke Chiang Rai ini. Ini merupakan kunjungan kali kedua. Pernah ke sini 6 tahun lalu. Oleh kerana Aku mengambil penerbangan paling awal ke Bangkok pada pagi Ahad lepas, maka Aku sampai Chiang Rai agak awal juga, iaitu sekitar jam 3. Dari lapangan terbang Chiang Rai yang tidak banyak berubah pun, delegasi yang tiba dibawa ke tempat penginapan iaitu Le Meridien, Amphur Muang, Chiang Rai.

Lebih kurang macam inilah rupa jalan-jalan yang dilalui untuk ke hotel. Sebenarnya pun tak sangka ada hotel besar di dalam tu. Ingatkan, manalah diaorang nak bawa Aku ni.

 .

Hotel ini baru berusia dalam setahun jagung je. Memang baru. Dan cantik. Terletak di tebing sungai dengan konsep seakan-akan terapung. Banyak takungan air dibina mengelilingi hotel ini. Air sentiasa mengalir, berputar-putar. Dengan suasana yang hijau, bunyi air berolak, kicauan burung-burung, geseran rumpun pandan yang wangi dan heliconia yang berjuntai...pergh! memanglah rezeki Aku sampai sini untuk berehat sekejap...ha...ha...ha...Ini pandangan dari lobi hotel. Gambar-gambar ini semua ambil guna telefon bimbit samseng Aku je.



Bilik Aku pula ialah sebuah bilik deluxe yang mengadap taman. Emmmphhh...cantiknya. Rasa macam tak mahu keluar bilik. Di balkoni ada disediakan pangkin untuk beristirehat, oh tidak, tak dapat cari masa nak bersantai kat sini. Ingatkan bolehlah minum jus oren sambil baca buku yang Sirapmadu bagi tu...hampeh betullah!



Inilah laluan di luar kawasan bilik Aku tu. Teringin pula nak makan lopes dan nasi lemak....ate...asyik dok bau daun pandan jer. Ish! Bagus juga ya jadikan pokok pandan sebagai tumbuhan penghias. Kat sini tak nampak, tapi betul-betul di sepanjang balkoni Aku tu, memang dihiasi dengan tanaman pandan.



Bilik ini berharga THB 3000 semalam. Menggunakan kombinasi warna gelap dan cerah.



Termasuklah pemilihan warna untuk meja kerja ini. Malam pertama sampai dekat sinilah Aku bekerja menyiapkan bahan untuk meeting audit bila balik nanti.



Ini pula katil tempat Aku beradu. Malam first tu biasalah, susah hendak tidur. Pusing kiri, pusing kanan, entah pukul berapa baru dapat lelapkan mata. Itupun sekejap-sekejap terjaga.



Kolam renang memanglah cantikkkk. Macam sekata jer dengan tebing sungai. Hemmmppp...tapi tak pelah, manfaatkan bilik air yang disediakan tu sudahlah.



Ingatkan tak sempat hendak pergi mencari fridge magnet, maklumlah besok pagi-pagi sudah berkemas nak balik. Tapi syukur alhamdulillah, dinner habis agak awal dan kawan-kawan ramai ajak pergi keluar. Kebetulan sekretariat bermurah hati menyediakan pengangkutan. Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatanglah. Bak orang mengantuk disorongkan bantal.Tapi rasanya macam kurang meriah pula pasar tu berbanding kunjungan pertama Aku dulu. Barangan pun macam tak begitu pelbagai. Aku pula bukan jenis yang suka beli barang-barang berciri budaya jadi terhad sikitlah pilihan yang ada. Tak kisahlah, yang penting jumpa apa yang Aku hendak.

Lega. Insyaallah, besok petang sampai KL.

Thursday, July 23, 2009

Terbang Pipit Terbang

Catatan dari rumah. Cuti mengejut. Awal minggu tempohari, Mak bagitau nak balik kampung sekejap. Adalah urusan sikit. Semalam Abang ambil cuti hantar Mak balik Perak. Hari ini giliran Aku pula. Cuma hari Jumaat nanti kami dua-dua tak dapat nak ambil cuti. Hari Jumaat selalunya hari yang kritikal bagi tugasan Abang. Aku pula memang dah semenjak lama dulu dijadualkan ke Khazanah Nasional esok. Tak dapat hendak dibatalkan. Harapkan Ayahlah tolong tengokkan Aiman di rumah.

Hari Sabtu nanti insyaallah, balik Perak sekejap sebab nak jemput Mak. Lepas tu bergegas balik KL semula sebab pagi-pagi Ahad tu Aku kena ambil penerbangan ke Bangkok. Just nice sampai Chiang Rai sekitar jam 3.00 petang. Transit 3 jam kat Suvarnabhumi Airport.

Sebetulnya penyertaan industri hanyalah pada hari pertama sahaja di mana kami dipelawa membentangkan kertas kerja cadangan kerjasama antara pihak swasta dengan kerajaan bagi projek-projek ICT ASEAN. Manakala hari kedua dan ketiga nanti menjurus kepada perbincangan berhubung inisiatif-inisiatif serantau yang sedang berjalan atau bakal dilaksanakan. Kedatangan Aku menyertai forum ini lebih kepada 'exposure' memandangkan kami perlu mengumpul banyak maklumat berkenaan penglibatan dan komitmen negara di peringkat serantau khasnya.

Sirapmadu dah bagi stok novel Sophie Kinsella untuk Aku baca di sana. Munchas gracias! Masa first time datang ke sini tahun 2002 dulu, kebetulan banyak pula geng satu kepala...kuranglah kekoknya. Ada geng nak pi merayau bila habis acara.
Kali ini Aku rasa Aku bakal banyak buat hal sendiri sebab saing dari Malaysia kebanyakannya 'dari kelompok enggang' heheh...Aku ni pipit je. Kenal memang kenal tapi macam tak ada banyak 'chemistry' lah...ha...ha...ha...dasar anti-sosial!

Wednesday, July 22, 2009

Ku Rasa KasihNya

Ya, betul. Aku tidak malu mengatakan yang sebenarnya Aku masih sangat baru mengenaliNya. Ku katakan begitu kerana banyak lagi yang Aku tidak tahu tentangNya dan kerna sifat kemanusiaan Aku yang sering saja terdorong melakukan perkara yang tidak mendekatkan Aku denganNya. Aku masih saja sering leka memburu perkara-perkara yang tidak perlu, berbual tentang benda-benda yang sia-sia dan menambah dosa percuma. Jadi, ya, sering saja Aku merasakan tidak cukup. Tidak penuh. Dan mudah-mudahan Aku terus merasai itu, supaya Aku tidak tertipu dengan rasa semuanya tiada masalah. Biar diburu rasa bersalah, asalkan amalan yang tak seberapa lagi banyak lurah dari kemuncak itu berterusan dicatat.

Salah siapa??? Tiba-tiba persoalan itu bertubi menyerbu kotak fikir saat Aku bersandar senang menikmati kuliah Ustaz hari ini. Dari kecil sampai lebih suku abad usia mengenali Islam. Tahu kena sembahyang. Tahu kena puasa. Tahulah sikit-sikit hukum hakam, tapi baru sekarang terasa ada pengisiannya. Kenapa usaha yang bertahun-tahun itu tidak terserap? Pelik juga.

Aku tahu jawapannya. Rasanya. Tetapi tak dapat diluahkan dalam bahasa yang lebih mudah. Mungkin sama dengan makna kurang penghayatan. Mengapa kurang penghayatan? Sebab tak datang rasa kenal. Rasa mesra. Rasa hampir denganNya. Aiii...ko bior betul??? Betullll...mungkin juga rasa ini telah lama berkumpul dalam dada dan hari ini detiknya ia keluar tercatat di lembaran ini. Untuk peringatan diri sendiri. Untuk Aku kenangkan perjalanan yang Aku lalui. Untuk Aku perbaiki. Untuk Aku! Maaflah, tiba-tiba pula rasa begitu individualistik pula. Tapi percayalah, ia lebih mudah begitu. Takut asyik menunding pada orang, tak sedar jari-jari yang lain menunding ke arah diri sendiri.

Ingat lagi masa mula-mula tudung konsisten melekat di kepala. Keputusan yang asalnya dibuat kerana terpaksa. Dibuat kerana tidak tahan dipandang dengan kerling dan disindir tajam senior berjubah dan bertudung labuh. Perubahan yang dibuat dengan ada rasa yang terbuku dihati. Entahkan hampa. Entahkan terkilan. Bila sering asyik disogok dengan dosa. Itu dosa. Ini dosa. Perempuan itu penuh dengan dosa. Sampai terasa hampir putus asa bahawasanya sampai bila pun tak akan mampu ku gapai standard tinggi yang ditetapkan. Memanglah kena hindar dari buat dosa, tapi kalau pendekatan yang diambil lebih berhemah, contohnya membuka ruang kepada keindahan agama itu sendiri dan peribadi mulia penganutnya ia akan menjadi satu detik transformasi yang lebih lancar.

Mujur juga Aku tidak mengalah. Walau selalu rasa diri ini dipandang hina. Raut wajah tidak senang bila Aku yang jahil ini sibuk menempelkan diri. Benar Aku tak pandai ber 'anta' ber 'ente' , tak pandai juga menyebut dalil-dalil, tapi Aku bukannya 'buta' dengan persekitaran. Nasib baik Aku terus juga melangkah, walau bertatih perlahan. Semuanya datang dari Dia. Dia yang menentukan siapa kita disisiNya. Dan Aku telah tahu, bahawasanya Aku cuma perlu meminta denganNya. Aku cuma perlu bercakap denganNya. Bila-bila masa. Tanpa halangan. Cuma sebelum itu terasa terhalang oleh 'kecil'nya Aku. Langsung tak buat. Hello kawan...kalau nak tunggu sempurna sampai bila-bila pun tak buat.

Betul kata Ustaz. Dia Maha Pemurah. RahmatNya sangat Luas. Sekecil-kecil benda baik yang kita buat pun ada ganjaran pahalanya. Nah...apa lagi, ayuh mulakan dengan pembersihan jiwa. Di dalam sana ada segumpal daging. Daging itu bisa menjadi keras jika tidak dilembutkan dengan kata-kata dan perbuatan yang baik. Fokuskan kepada melakukan banyak amalan-amalan yang baik. Jangan berasa jauh dari RahmatNya. Walau apapun orang kata, yang penting kita tahu siapa kita. Dan kita tahu ke mana kita mahu pergi saat hilang segala yang fana. Eloklah hentikan saja tabiat suka menjatuhkan hukum kepada orang lain itu. Janganlah menyangka kita ini lebih baik dari dia. Silap haribulan dia buat larian pecut dalam 100 meter terakhir sebelum tertutupnya pintu taubat , dan bolos masuk dalam keadaan bersih sebersih-bersihnya...kita jugalah yang melopong.

Nasib kita belum tentu lagi.

Insyaallah, teruskan berazam. Setidak-tidaknya.