Wednesday, June 29, 2011

Israk & Mikraj (Kuliah Rabu)

ISRAK MIKRAJ: URUTAN RINGKAS PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU DALAM ISRAK MIKRAJ KE ATAS RASULULLAH SAW

Hari ini umat Islam seluruh dunia menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama Surah Al-Israk pada 27 Rejab InsyaAllah. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan Hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

1. Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah SAW. Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada keNabian Nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan Nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam.

2. Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum Nabi dinaikkan ke Sidratul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 Surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

3. Sejarah Perjalanan Israk Mikraj - Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh Malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :

I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib, antaranya:-

A. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

B. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

C. Sekumpulan orang-orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

D. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari Neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

E. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

F. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

G. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

H. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

I. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

J. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.

K. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

L. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.

M. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’, aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pada suatu ketika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

a) Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

b) Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

c) Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

d) Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi Idris AS.

e) Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

f) Langit keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan Nabi-Nabi.

g) Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

h) Langit Ketujuh: Baginda naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi Ibrahim AS bersabda:

“Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umat mu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umat mu. Suruhlah umat mu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda : “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.

i) Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

j) Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.

k) Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.

l) Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul - Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

m) Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud.
Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya.

Allah SWT: Ya Muhammad

Rasulullah: Labbaika

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT :
Aku ambil mu sebagai kekasih.
Aku perkenankan mu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umat mu. Aku buka dada mu dan buangkan dosa mu.
Aku jadikan umat mu sebaik-baik umat.
Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat.
Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al Fatihah) yang tidak Aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu.
Aku berikan mu ayat-ayat di akhir Surah al Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”.
Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi mungkar.
Aku kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di bawah panji-panji mu.
Dan Aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul- Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj. Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama Surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia. Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid alHaram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Wallahua’lam.

Jalan-Jalan Cari Pasal

"My Car My Rules"

Begitu bunyi tulisan pada pelekat comel di belakang sebuah kereta Kelisa yang berada di hadapanku di Jalan Pantai Baru pagi tadi.

Boleh...boleh...pergi bikin jalan sendirilah kan kalau nak ikut peraturan sendiri. Kalau setakat dok menumpang jalan yang dibina dengan wang pembayar cukai termasuk Aku, tak usah nak berlagaklah!

Sebenarnya dah tak terhitung perangai-perangai buruk di jalan yang Aku jumpa. Setakat ini alhamdulillah, boleh sabar. Minggu lepas, ada sebuah kereta kat depan Aku ni, tak tentu arah nak masuk jalan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Nyaris nak langgar seorang mamat motor ni. Hemp...mamat tu bengang, terus bagi 'isyarat tangan'. Aiyoooo...

Semalam balik daripada mesyuarat di Phileo Damansara, mengekor belakang sebuah kereta mahal. Punyalah lembab yang amat. Aku tak tahu apa masalah dia. Ayah Aku kayuh basikal pun lagi laju daaaa. Last-last dengan Aku sekali kena hon dek kereta-kereta kat belakang. Hampesssss!!!

Hari tu pun jumpa kereta lembab juga. Macamanalah tak lembab, dok sibuk belai-membelai. Dah satu hal pulak Aku nak tengok. Bukan Aku nak tengok, udah kereta tu kat depan. Terpandanglah. Kang Aku pandang ke lain, bam ke pulak! Naya je. Nasiblah line clear, potong terus je. Korang ni...tengok-tengoklah tempat kot nak bermesra pun...menyusahkan orang je!

Tapi yang best tu, bila angin satu badan kat jalan dalam kawasan kediaman sendiri. Pagi-pagi ni bila kereta bergerak keluar, mestilah nak pergi kerja, hantar anak sekolah dan sebagainya. Aku sangka, mestilah kereta tu akan bergerak. Kalau dalam mode 'menunggu' pun, lazimnya, kereta tu duduk di tepi. Ini satu kereta ni, sudahlah nak keluar pun teragak-agak lagaknya, lepas tu tak sampai 50 meter berhenti cokoh tengah-tengah jalan....aiii...Mentanglah kereta Aku kecik, dia ingat kiri kanan pun Aku boleh celah tak ada masalah. Tak mainlah! Engkau kalau nak jalan keluar, buat cara nak keluar. Kalau tak nak keluar, pi duduk tepi sana. Aku drive ala-ala nak gigit belakang dia...lepas tu berhenti betul-betul belakang dia. Hahah...gabra...gabra...lepas tu barulah tergedik-gedik nak ke tepi. Apppaaaarraaaaa!!!

Itulah, kalau masing-masing suka hati ikut kepala sendiri macam tu lah. Tak langsung nak fikir tentang orang lain. Agak-agak kalau susah sangat, pindah masuk hutan jer lah wehhhh...

Thursday, June 23, 2011

Terbako'

Berminggu-minggu yang lalu, saya menerima panggilan untuk mengikuti satu kursus wajib yang ditetapkan bagi perkembangan kerjaya saya. Saya mencatat butiran yang diberi dan mengingatkan diri saya untuk mengesahkan penerimaan sebelum tarikh mati, kalau tidak, kos akan dicaj kepada pejabat saya.

Tiba-tiba 'dejavu'.

Entah macamana, saya terasa-rasa macam sudah pernah menghadiri kursus ini.

Mujurlah, saya ada menyimpan sijil-sijil kursus yang saya telah hadiri. Betul telahan saya, saya memang telahpun selesai kursus yang itu.

[ Pelik, saya pulak kena cek rekod sendiri...nasib saya simpan, kalau tidak...]

Lalu saya menghubungi penyelaras kursus untuk memaklumkan perkara itu. Saya fikir, tentulah mereka yang bertanggungjawab itu patut berasa gembira kerana saya memudahkan kerja mereka dan membantu perbelanjaan berhemah dengan menggugurkan kos yang tidak perlu.

Bagaimanapun, hati kecil saya telah tergerak untuk tidak mendiamkan perkara ini begitu sahaja kerana penyelaras kursus tersebut tidak pula memberi pengesahan bertulis yang saya tidak perlu hadir lagi. Saya memaklumkan bahagian pentadbiran sokongan agar berjaga-jaga jangan sampai menerima invois yang bukan-bukan pula.

[ Nampak benar saya tak berkeyakinan dengan kerja orang-orang ini...heheheh ]

Saya tahu minggu ini adalah minggunya untuk saya mengesahkan kehadiran sekiranya saya tak pernah ikuti kursus ini. Saya boleh buat bodoh saja dengan menghadiri kursus ini buat kali kedua. Saya boleh saja bersikap tidak peduli...eh...eh...bukan saya yang hendak pergi, orang latihan yang suruh. Mereka lebih patut mengetahui rekod saya kerana mereka yang sepatutnya merancang dan melaksanakan program pembangunan kerjaya yang diatur untuk saya. Tempat latihan pula memang dekat dengan rumah. Boleh keluar berdondang sayang pukul 8 pagi dari rumah. Balik pulak, sebelum pukul 5.45 dah boleh sampai. Yahuuuu...Dua hari tak masuk pejabat...yahuuuu lagi sekali...Tapiiii...tak bolehlah buat macam tu!!! Menangguk di air yang keruh namanya! Tak sesweeiiii ok...!

Tak sangka betul. Setelah mengambil inisiatif dan langkah memaklumkan kesilapan yang berlaku...pagi-pagi tadi saya masih dihubungi seseorang menanyakan jadi atau tidak saya hadir pada tarikh-tarikh tersebut. Nasib baik saya tak menjerit balik, "You tell me lahhhh!!!".

[ Saya mana berani marah orang kan, kan, kan...huhuhu....]

Kenalah terangkan balik. Sempat lagi, "Nak salinan sijil saya ke...saya boleh fax kan kalau perlu...". Hahaha...

Aku pikir dah selesailah tu.

Ek eleh...korang ni, saya tak tahu nak cakap apa lagi dah...petang ni saya tengok kat inbox Outlook saya, mereka masih tergamak menghantar email lagi kat saya memaklumkan perubahan tempat kursus...

Patut ke tak patut saya marah???

Wednesday, June 22, 2011

Menanti Di Alam Barzakh - Far East



Ku merintih... aku menangis...
Ku meratap... aku mengharap...
Ku meminta... dihidupkan semula
Agar dapat kembali ke dunia nyata

Perjalanan hidupku melengkapi sebuah kembara
Singgah di rahim bonda sebelum berangkat ke mahsyar
Diperhitung amalan penentu syurga atau sebaliknya

Tanah yang basah berwarna merah
Semerah mawar yang juga rimbun
Tujuh langkahpun baru berlalu
Seusai talkin bertambah syahdu
Tenang dan damai dipusaraku
Nisan batu menjadi tugu
Namun tak siapapun tahu resah penantianku

Terbangkitnya aku dari sebuah kematian
Seakanku dengari tangis mereka yang ku tinggalkan
Kehidupan disini bukan satu khayalan
Tetapi ia sebenar kejadian

Kembali roh kembali...
Kembalilah ke dalam diri
Sendirian sendiri...
Sendiri bertemankan sepi
Hanya kain putih yang membalut ditubuhku
Terbujur dan kaku jasad didalam keranda kayu

Ajal yang datang dimuka pintu tiada siapa yang diberitahu
Tiada siapapun dapat dicari
Tiada siapa yang terkecuali
Lemah jemari...
Nafas terhenti...
Tidak tergambar sakitnya mati...
Cukup sekali tak sanggup lagi ku mengulangi...

Jantung berdegup kencang
Menantikan malaikat datang
Menggigil ketakutan dalam pekat di pandangan

Selama ini diceritakan
Kini aku merasakan di alam barzakh jasad dikebumikan

Ku merintih... aku menangis...
Ku merata... aku mengharap...
Ku meminta... dihidupkan semula
Agar dapat kembali kedunia nyata.

Tuesday, June 21, 2011

Ronda-ronda Masjid Negara

Dua hari lepas Aku asyik berulang-alik ke Masjid Negara. Alhamdulillah, bos okay, jadi untuk dua-dua hari itu Aku ambil cuti half-day. Emak menghadiri Kursus Intensif Haji yang di adakan di Dewan Syarahan, Masjid Negara. Mujurlah, sebab tahun lepas semasa emak dalam senarai stand-by, kursus yang sama di buat di Masjid Saiyidina Uthman Bin Affan, Bandar Tun Razak. Lagilah jauh.

   

Masjid Negara ini bukanlah ikon yang asing. Malahan memang senang dikunjungi. Pengalaman Aku sebelum ini cuma singgah untuk menunaikan sembahyang sahaja. Tak pernah pulak terfikir hendak menjelajah tengok apa yang ada. Jadi, bila kali ini dapat peluang...hemmm, ambil kesempatanlah. Masa tunggu emak habis kursus tu, Aku berpeluang mengunjungi Makam Pahlawan yang menempatkan makam pemimpin-pemimpin negara yang telah banyak menabur jasa.

   

 Di dalam bangunan berbumbung bintang pecah tujuh ini menempatkan makam-makam bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu : ~Tun Dr Ismail - Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal 1973) ~Tun Abdul Razak - Perdana Menteri Malaysia (meninggal 1976) ~Tun Hussein Onn - Perdana Menteri Malaysia (meninggal 1990) ~Tun Ghafar Baba - Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal 2006)


 

Menariknya, beberapa buah liang lahad juga telah siap sedia dibuat menunggu penghuni baru. Maklumlah, lantai marmar sebegini, tak akanlah setiap kali ada pengkebumian, setiap kali kena dipecahkan. Kalau Akulah tahu kat mana kuburan untuk Aku, sudah siap sedia tunggu hendak timbus tanah sahaja...heeeemmmmmm... 

Di bahagian luar juga ada terdapat beberapa buah makam lagi milik tokoh-tokoh negara yang memberikan sumbangan besar kepada negara.


   

 Mengikut senarai dalam wikipedia.org, mereka yang diberi penghormatan dikebumikan di sini ialah : 1) Tan Sri Syed Jaafar Albar - Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (meninggal 1977) 2) Tan Sri Syed Nasir Syed Ismail - Speaker Dewan Rakyat (meninggal 1982) 3) Tun Sardon Jubir - Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (meninggal 1985) 4) Tan Sri Mohd Noah - Menteri Dalam Negeri dan Speaker Dewan Rakyat (meninggal 1991) 5) Tan Sri Abdul Kadir Yusuf - Menteri Undang-undang, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara (meninggal 1992) 6) Tan Sri Mohd Khir Johari - Menteri Pendidikan (meninggal 2006) 7) Tun Dr.Fatimah Hashim - Menteri Kebajikan Masyarakat (meninggal 2010) 8) Tun Ghazali Shafie - Menteri Luar (meninggal 2010) 9) Tun Omar Ong Yoke Lin - Yang di-Pertua Dewan Negara (meninggal 2010) 10)Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia 
 (meninggal23 Disember 2010)


 


Suasana sunyi dan sepi. Mudah-mudahan damai di sana. Dari Makam Pahlawan, Aku membawa anak-anak ronda ambil gambar sekitar kawasan perkarangan masjid. Tertarik pula dengan dinding mozek di bahagian bawah Dewan Syarahan.


   

 Kawasan masjid agak lengang. Masa ini belum masuk waktu Asar lagi.


Menara yang cantik berlatarbelakangkan cahaya mentari yang menyinar. Memang panas lit lit jugalah hari itu.

  

 Sukalah garisan-garisan tangga dan menara ini.

   

 Lagi sudut pandangan hadapan masjid. Kiranya Aku berdiri antara Masjid Negara dan Pusat Islam yang menempatkan JAKIM dan TV Al-Hijrah.

   

Teringat masa melawat Masjid Negara pada tahun 1995 dulu dengan rombongan AJK Pengurusan Kolej TNB. Sekarang Masjid Negara lebih cantik perkarangannya sebab dah dibuat facelift beberapa tahun lalu.

 

 Budak-budak seronok bergambar.

   

 Bergambar lagi dengan fesyen yang sama. Berlatarbelakangkan bangunan KTMB.
   

 Aiyoh...awak berdua ni, tak ada gaya lain ke? Aiman cakap, "Ibu, kapal terbang saya (kapal terbang kertas yang sanggup diangkut ke sana ke mari) pun nak bergambar jugak". Hence, the 'standard' pose.

   

 Alamak...sah! Nampaknya lepas ini ibu kena bagi idea barulah macamana hendak mempelbagaikan posing depan kamera nih! Hehehe...

   

 Hisham cakap, "Ibu, bangunan itu cantik, kan? Ibu tangkaplah gambar". Memang pun, dalam cuaca cerah begini, hilang kesuramannya. Nampak menyerlah pulak.

   

 Di sinilah stesen TV Al-Hijrah beroperasi. Pernah teringin nak uji bakat jadi pengacara...hahaha...tapi semuapun nak 30 tahun ke bawah...aiyoooo...

   

Oh ya, dah kebetulan kat Masjid Negara, Aku singgah tengok barangan cenderamata yang dijual. Objektif utama dah tentulah mendapatkan fridge-magnet. Yeayyyy...dah jumpa yang berkenan di hati. Harganya RM4.40. Dah lekat kat peti ais semalam. Dan yang best lagi, gerai tu pun ada jual setem-setem lama yang dipek dalm jumlah yang agak banyak. Tak sempat belek lama sebab budak-budak ni pantang lepa berlari entah ke mana...rasanya RM18 setiap satu. Tak boleh jadi ni, kena pi lagi.
 Hehehe...

 

Seronok juga dapat selitkan program outing walaupun impromtu dan tak menyeluruh sangat. Yang penting, masa bersama anak-anak telah diisi dengan sebaiknya dan dalam masa yang sama dapat peluang berbakti pada emak juga...Dengar cerita kursus perdana nanti dekat Putrajaya bulan September. Huh, ke Putrajaya le pulak lepas ni...

Anak Ayah

Macam terpukul pula membaca catatan terbaru Seripagi tentang Babahnya. Dedikasi ikhlas yang sungguh mengharukan. Hari Bapa pun baru sahaja berlalu. Tidak seperti Hari Ibu, terus-terang cakap saya tak buat apa-apa pun untuk Ayah. Not even a wish!

Sebenarnya, saya tidak mahu terikat meraikan jasa-jasa emak dan ayah pada hari-hari tertentu. Setiap hari bersama mereka adalah istimewa. Mereka wajar diraikan setiap hari. Tetapi dengan pemilihan hari-hari tertentu yang sudah dikomersialkan dengan hebatnya, kadang-kadang kita akur juga...maklumlah, kalau sudah menatap akhbar disuapkan kisah dan promosi, pun sama di saluran televisyen...tentu tercuit juga keinginan.

Macam hari Ibu dulu, memang ya, saya ada belikan emak sebiji kek dan sekuntum bunga carnation merah. Saja hendak hiburkan hatinya. Apatah lagi adik beradik lain semenjak pagi lagi sudah menghantar ucapan. Dan saya seperti biasa, adalah jenis yang sukar meluahkan walaupun saya mempunyai sensitiviti yang tinggi.

Saya selalu ketawakan ayah bila tengok gambar muda-muda dia. Bukan apa, yang dalam gambar itu sungguh tegap dan tampan sekali. Bergaya dengan spek mata hitam zaman a-go-go. Berbaju belang, berseluar yengki...opppsss...terlebih sudah! Jauh benar bezanya dengan fizikal ayah sekarang. Badannya susut dah nampak tulang sahaja. Cengkung serba serbi. Semangat sahaja yang kuat dan...degil! Walaupun dia tak larat, tetap nak tunjuk kuat juga.

Masa kecil-kecil dulu, saya memang rapat dengan ayah. Maklumlah, 5 tahun lamanya menjadi anak bongsu dalam keluarga. Bila ayah balik dari sawah, dan sesudah membersihkan diri dan mula berehat, sayalah yang akan datang dengan sikat ditangan. Saya bertugas menggaru belakang dan memicit badan ayah. Saya akan pijak dan meniti badan ayah daripada belakang badan hingga ke kaki. Ayah akan pura-pura yang kononnya saya ini sangat 'berat'...dan saya akan pijak lagi lebih kuat!

Malam-malam hari, saya akan intai tengok ayah keluar atau tidak. Kadang-kadang selang beberapa hari, ayah suka keluar ke kedai makan berhampiran untuk minum secawan teh. Dan semestinya saya akan pastikan ayah bawa saya bersama. Saya akan pesan laksa dan air botol. Air botol masa tu kira 'cool' lah. Best masa pilih apa yang berkenan daripada deretan botol yang dipamerkan. Yang mahal F&N lah...kalau botol legap tu...murah jer. Tapi selalu, yang botol legap tu ler yang saya dapat. Kalau emak hendak tidur di rumah tok, saya akan ikut ayah balik ke rumah kami sebab saya kesian ayah tinggal seorang. Saya suka duduk di pelantar basikal sambil ayah mengayuh dan bersiul lagu kegemarannya. Saya suka tengok kelip-kelip berterbangan di kiri-kanan lorong dan rumpun gelenggang yang rimbun. Masa titi panjang masih ada, adakalanya ayah akan turun dan tolak basikal sebab ada renggang. Saya pula dah semestinya tak mahu turun.

Bagi saya, ayah adalah seorang 'superhero'. Hendak apa-apa minta aje. Dapat belum tentu. Tapi ayah tak akan marah pun walau saya meminta itu ini. Kalau boleh ditunaikan, dia akan segera bagi jawapan. Kalau tak dapat, dia diam saja. Nasib baiklah saya tak mendesak dan cepat lupa apa yang saya hendak.

Saya ingat lagi masa saya berkursus di Marang, Terengganu di penghujung zaman universiti dulu. Kursus motivasi yang dianjurkan oleh bakal majikan saya. Dalam satu sesi, kami diminta memberitahu ayah masing-masing yang kami sayangkan mereka. Kami diminta memaklumkan reaksi yang diterima. Semalaman saya berfikir hendak buat macamana. Ketika masa semakin suntuk, saya bercadang hendak mereka-reka sahaja. Tetapi saya terfikir, mengapa tak buat? Apa yang menghalang saya daripada melakukannya? Memang saya sukar meluahkan...tetapi rasa ingin tahu saya juga tinggi.

Saya telefon ayah.

Saya merepek-repek cerita itu ini. Saya rasa ayah mesti ingat saya demam sebab saya tak pernah ajak dia bercakap panjang begitu...ayah seorang yang pendiam juga dan dia memang tak banyak cakap dengan anak-anak.

Tiba-tiba, "Ayah, Ya sayang ayah". Terkeluar juga. Saya rasa macam terkeluar intan sebesar penumbuk daripada mulut saya. Susahnya...

Reaksi? Tak ada reaksi.

Ayah diam.

Dan saya cepat-cepat menamatkan perbualan.

Saya tak perlu mendengarnya. Saya tahu ayah sayangkan saya. Tak perlu cakap pun tak apa. Saya selalu percaya, kasih sayang itu lahirnya daripada hati yang tulus dan dizahirkan dengan perbuatan.

Sebenarnya ayah diam sebab...
1) Anak aku ni sihat ke tak?
2) Betul ke apa yang Aku dengar?
3) Tergamam...tak tahu nak jawab apa.

Saya tetap sayang ayah saya...dengan cara saya yang tersendiri. Saya tahu mulut saya sudah lama terkunci semenjak itu tetapi saya yakin ayah faham.

Kalaulah ayah membaca blog ini...heheheh...

Perhentian - Wings



Cari perhentian di mana nak berhenti
Camar kesucian satu cinta abadi
Di mana dia
Sedang aku terlena

Aku yang terjatuh
Tercicir entah dimana
Hilang dalam jasad sendiri Oh.. Oh..
Aku yang mencuba
Cari dan kutip kembali
Ku basuh dengan peganganku

Hari berganti masihkah aku di situ
Memerhatikan segala dalam pandangan
Kekaburan
Melihat diri sendiri