Thursday, March 29, 2012

Sesekali Terkena

Pukul anak, sindir menantu. Aishhhh...awat la pagi-pagi ni keluaq entri lagu ni pulak. Hahah. Anak tu sudah kena pukul semalam. Kesian anak tu. Tak pasal-pasal. Tapi yang best tu, menantu tak perasan yang dia kena sindir. Hahah...hantu punya menantu!

Jadi pagi ini, seseorang telah mengambil inisiatif untuk 'read between the line'. Apalagi, melompatlah menantu itu sebab dia pun terkena sekali. Pergh...pedih juga tu kan, ish...ish...ish....

Sebelum saya pergi melalut itu, eloklah dijelaskan maksud peribahasa Melayu 'pukul anak, sindir menantu' itu. Maksudnya ialah menegur seseorang secara tidak langsung di mana teguran itu dihadapkan kepada orang lain. Aiii...tu le hebatnya orang Melayu, dia tak 'direct', berkias-kias, sopan gitu! Yang tak best tu mesej tak sampai. Haru! Haru! Len kali hang cakap tu biaq teghang no...tok sah nak soghok-soghok. Ni dok main cak, cak...aku pun tak paham. Hahaha...sabaq no, hari-hari dok hadap Ustaz Don jadi lagu ni la. Keluaq balik segala 'khazanah'...ni baghu dia oghang utagha pior !

Sat na, bagi lentoq lidah balik...sat gi hangpa penin kepala pulak...

Saya teringat lagu (song) ni, "Sesungguhnya lidah itu lebih berbisa dari segala senjata yang ada.(2X). Oleh itu, sebelum berkata, berfikirlah dulu akan akibatnya...". Dalam kes ini, lidah dan juga mata pena mengambil tempat yang sama. Saya selalu fikir saya sudah kenal orang seperti itu. Dan saya tak pernah terfikir yang disebaliknya, orang boleh (tergamak) buat seperti itu. Terutama mereka yang sudah kita masukkan dalam kategori 'kawan'. Jadi, bila angin tak ada, ribut tak ada...tahu-tahu, tanahnya runtuh...musykil juga, kan? Apahal? Meroyan ke apa?

Well...nak sindir, sindirlah. Nak kata apa sekalipun, katalah. Banyak keadaan saya rasa, diam itu adalah lebih baik daripada memanjangkan cerita. Tak payah defensive sangat, buat tak tahu aje. Tak kelas lah nak berbalas-balas pantun. Sorry, not my style.

Tahu sama tahu sudahlah ya.

Peace yo! (meniru kata feveret cucu Lotuslily)

Monday, March 26, 2012

Tujuan vs Keperluan

Seminggu tak masuk pejabat, bila duduk menghadap laptop, rasa 'blur' aje. Hahah...tak tahu hendak mula yang mana dulu.Nasib baik tak ada mesyuarat dijadualkan hari ini, bolehlah perlahan-lahan selesaikan. Saya mulakan dengan buat entri blog dulu ajelah, baguih dok ada! Bukan apa, sampai pagi tadi ada kelas ganti bahasa Arab. Walaupun saya sudah 30 minit terlewat, saya masuk juga dan sempat berada pada ketika Ustaz memberi sedikit tazkirah ringkas. Jadi, saya nak kongsikan yang itu untuk memberi peringatan kepada diri sendiri terutamanya, kalau saya tidak turunkan di sini saat segala-galanya masih segar dalam ingatan, saya pasti semuanya akan berlalu begitu sahaja di akhir nanti.

Surah Al-Qashash ayat 77, Allah berfirman yang bermaksud :

" Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan".

Intisari penting ayat ini ialah kita harus tahu membezakan antara tujuan/matlamat hidup dan keperluan hidup. Apa tujuan/matlamat hidup kita? Tak lain dan tak bukan ialah menuju kebahagiaan akhirat. Dan dalam perjalanan menuju negeri abadi itu, kita perlu kepada peralatan atau keperluan yang akan membantu kita mencapai matlamat. Keperluan hidup itulah yang merangkumi apa-apa yang Allah telah sediakan atau anugerahkan untuk kita berupa harta, anak pinak, pasangan, kebijaksanaan fikiran, kesihatan tubuh badan dan lain-lain nikmat duniawi.

Jom kita aplikasikan ayat ini dengan melihat bagaimana kita manusia telah menjadi keliru dalam memahami tujuan hidup dan keperluan hidup. Contoh mudah, makan dan minum. Apakah ia tujuan atau keperluan hidup? Sudah tentu jawapannya keperluan hidup. Sedangkan tujuan hidup kita ialah mencari keredhaan Allah dengan mematuhi segala apa yang diperintahkan juga segala laranganNya. Maka, kalau kita boleh bezakan tujuan dan keperluan ini, kita akan pastikan makanan dan minuman yang kita makan itu halal agar kita mendapat keredhaan Allah. Kita tidak ambil benda-benda yang memudaratkan seperti rokok, dadah dan arak kerana ianya bertentangan dengan apa yang Allah perintahkan.

Betapalah kita ini tertipu apabila menjadikan keperluan hidup sebagai satu matlamat. Contohnya, kerja kita. Pekerjaan adalah keperluan hidup. Kita perlu bekerja untuk mencari rezeki. Pekerjaan adalah satu alat. Apa matlamat kita? Menjadikan pekerjaan kita itu satu ibadah yang dengannya kita beroleh pahala. Sayangnya hari ini, kita bertungkus lumus bekerja untuk mendapatkan keperluan lainnya iaitu harta dan wang ringgit. Kita bekerja untuk menjadi kaya dan ternama. Kita menggunakan alat untuk mendapatkan suatu alat lain. Dan kita jadilah alat lain itu tujuan hidup kita. Maka jadilah kita manusia yang menghambakan diri kepada dunia. Kerana apa? Kerana kita salah meletakkan tujuan. Kerana kita mensasarkan kepada matlamat yang salah. Padahal dunia dan segala isinya sememangnya telah Allah sediakan, Allah siapkan untuk kita. Allah beri pada kita. Supaya kita gunakan segala pemberianNya itu untuk meraih habuan yang lebih besar di kemudian hari. Sayang sekali kita salah faham.

Kerana itu jangan berasa gusar bila Allah menguji kita. Allah tahu fitrah manusia yang sukakan benda-benda kesenangan. Sebab itu, Allah memberi kita ujian supaya dengan ujian itu Allah hendak lihat apakah kita cintakan dunia ataukah kita cinta kepada pemilik dunia itu. Contohnya kisah Nabi Ibrahim A.S. Bagaimana Allah menguji Nabi Ibrahim dengan perintah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. Bagaimana sikap Nabi Ibrahim? Walaupun dia sayangkan anaknya , dia memilih untuk mengorbankan Ismail (anak adalah keperluan hidup) dan mengutamakan keredhaan Allah (mematuhi perintahNya adalah tujuan hidup). Lalu di atas kekuatan iman Nabi Ibrahim, di saat-saat mata pedang sudah berada di batang leher Ismail, Allah tukarkannya dengan kambing. Ibrahim lulus ujian. Dia tidak hanya berhasil mendapatkan dunia (anaknya) tetapi juga dia mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat sana. Begitulah sepatutnya manusia memanfaatkan keperluan hidup bagi mencapai tujuan hidup.

Apabila Allah menyayangi seseorang hamba, Allah akan mengujinya dengan sebab ujian sebegitu selalunya akan menjadikan hamba yang tersepit diasak ujian itu kembali mencari Tuhannya. Kembali rapat dan dekat dengan Tuhannya. Kembali menadah tangan memohon doa siang dan malam. Allah sangat suka bila hamba-hambaNya kembali kepadaNya. Maka diujinya dengan sekian macam kesusahan. Badan yang sihat segar menjadi sakit. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, hilang dilarikan ombak. Ada yang mati kemalangan. Ada yang mati kebakaran. Begitu Allah menguji kita. Kadang-kadang bukan setakat sudah jatuh, malahan ditimpa tangga juga. Mengapa Allah tidak uji kita dengan kemewahan. Ketahuilah, yang diuji dengan kesenangan itu lazimnya mudah lupa, mudah hanyut dibuat kenikmatan di dunia. Apakala diuji sebegitu, haruslah kita merasa takut kerana kemewahan dunia menjauhkan kita daripada mengingati Allah. Membuatkan kita sibuk dengan urusan dunia sampai akhirnya kita langsung terlupa dengan si pemberi kekayaan itu. Bukankah itu dengan jelasnya meletakkan diri kita dalam kedudukan hamba yang Dia tidak cintai?

Justeru, bertenanglah dengan apa yang kita ada. Kalau tidak punya harta, kita masih ada nikmat yang lain. Badan yang sihat misalnya harus digunakan sebaik mungkin untuk memperbanyakkan ibadat kepadaNya. Kalau sudah terlantar di pembaringan nanti, sudah tidak berguna lagi.

Yang penting, fahami tujuan dan keperluan hidup. Jangan jadikan keperluan hidup sebagai tujuan hidup. Perkahwinan misalnya adalah keperluan hidup. Kalau perkahwinan itu dijadikan matlamat hidup...maka itulah yang nak kawin dengan yang cun saja, nak kawin dengan yang berharta sahaja...tak tengok pun ada ke tidak kriteria yang Allah gariskan. Macamanalah perkahwinan itu boleh membawa kita lebih hampir kepada matlamat mencari keredhaan Allah. Sama juga dengan anak-anak. Anak-anak adalah harta dunia. Keperluan yang kalau kita asuh mengikut acuan Allah, maka mereka akan menjadi penyejuk hati. Yang akan menjadi anak-anak soleh dan solehah yang akan mendoakan kesejahteraan kita di dunia dan akhirat, insyaallah.

Begitulah lebih kurang apa yang dapat saya rumuskan daripada tazkirah pendek tetapi bila dikupas menjadi panjang berjela, hari ini. Segala yang baik itu adalah datangnya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri.

Wallahualam.

Tuesday, March 20, 2012

Doa Dhuha - UNIC

Oleh kerana minggu ini saya terlibat dengan projek 'penterjemahan' di Damansara Perdana, saya berpeluang keluar rumah lewat sedikit sekitar jam 8.30 pagi. Alhamdulillah, kebetulan kena pada masa emak masih di kampung jadi tidaklah saya terkocoh-kocoh sangat menguruskan anak-anak ke sekolah dan tak risau tempat parking masih ada lagi ke tak...hahaha...kat DP memang dah tentu tak ada parking kosong...cuma selalunya mesti ada kereta yang keluar, jadi sabar menunggu sahajalah.

Dan alhamdulillah, sempatlah menonton Al-Hijrah sebentar...dapatlah satu rancangan Fatabiouni dan dapat dengar alunan doa ini...jom berdhuha dulu sebelum keluar melunaskan kewajipan sesama manusia!

Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuha-Mu
Kecantikannya kecantikan-Mu…Keindahannya keindahan-Mu
Kekuatannya kekuatan-Mu…Kekuasaannya kekuasaan-Mu
Perlindungannya perlindungan-Mu…

Ya Allah jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi keluarkanlah…Jika sukar permudahkanlah
Jika haram sucikanlah…Jika jauh dekatkanlah

Berkat waktu dhuha
Kecantikan-Mu keindahan-Mu kekuatan-Mu kekuasaan-Mu
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada
hamba-hamba-Mu yang soleh

Saturday, March 17, 2012

Muhasabah Cinta - EdCoustic

Memulakan pagi dengan merdu suara anak-anak muda melagukan lagu ini dalam rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah.


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Wednesday, March 14, 2012

Anehnya Mimpi



Di dalam mimpi itu, saya dan beberapa orang kawan seperti sedang mengikuti suatu lawatan ke sebuah kampus pengajian. Kami di bawa melawat dari satu fakulti ke satu fakulti. Bergerak dari satu tempat ke satu tempat menaiki kenderaan seperti roller coaster. Saya tidak ingat rupa binaan landasannya bagaimana tetapi memang kami terolang-aling naik turun dan membelok dalam keadaan terbalik. Padahal satu-satunya roller coaster atau binaan seumpamanya yang saya pernah naik seumur hidup, hanyalah di Sunway Lagoon...itupun kalaulah ia boleh dipanggil begitu.

Tiba-tiba kenderaan kami terhenti dan kelihatan sekumpulan pelajar lalu melintasi tempat saya berdiri. Kesemua mereka memakai pakaian yang berwarna seragam. Kain berlatarbelakangkan warna gelap dengan kuntuman-kuntuman bunga besar berwarna coklat cair.

Waktu itulah kami duduk berkumpul bercakap-cakap entah tentang apa dan Ustaz Muin muncul dengan pembaris panjang ditangannya mengajarkan kami bahasa Arab. (Aduhhh...tahulah minggu ini ustaz batalkan semua kelas sebab cuti balik kampung!). Dalam dok sedap belajar tu, muncul seorang pelajar lelaki berpakaian aneh. Aneh kerana dia tidak menyarungkan pakaian itu sebaliknya hanya diikat menutupi bahagian depan badan. Dia lalu melintas di hadapan saya. Dan ketika itu kain yang dipakainya tertanggal.

Oppsss...!!!

Saya terkejut beruk!

Dan itu telah membangunkan saya daripada mimpi buruk itu...heheh...nasib baik, saya tak nampak apa-apa okay...apa daa punya mimpi!!!

Mimpi masuk kampus?
Menjadi-jadi semenjak saya membatalkan terus hasrat hendak menyambung pelajaran. Adakah berlaku pertentangan di dalam sana?

Mimpi jumpa Ustaz?
Saya memang ada berhasrat hendak menelaah buku bahasa Arab saya dan membuat sedikit latihan sementara ada masa dek penangguhan kelas minggu ini. Tetapi entah mengapa hasrat semenjak minggu lepas itu belumlah lagi tertunai.

Mimpi jumpa orang pelik?
Apa yang hendak dipelikkan, di alam realiti pun ramai manusia yang pelik. Yang cakap depan lain, cakap belakang lain. Yang bertopeng. Yang lidah bercabang.

Hemmm...jadi kesimpulannya...

Kehidupan ini sama macam mimpi, ada indah ada buruk...dan setiap satunya berlaku tanpa dapat dihalang, mungkin juga tidak difahami. Apapun kehidupan harus diteruskan. Walaubagaimana susah dan tidak munasabah sekalipun ia.

Selamat 'bermimpi'!

Friday, March 09, 2012

Perkongsian Jumaat

Apabila sesuatu itu tidak kita perolehi padahal daripada penilaian yang dibuat sepatutnya tiada masalah mendapatkannya, ketahuilah bahawa belum ada rezeki untuk kita. Atau juga perkara itu barangkali tidak baik untuk kita lalu Allah tidak makbulkan doa kita. Atau juga ada perkara lain yang lebih baik yang Allah sediakan untuk kita sebagai ganti. Dan boleh jadi juga Allah sangat suka mendengar rintihan dan doa kita lalu Dia tangguhkan kurniaNya ke suatu masa yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Jadi, la tahzan. Janganlah bersedih. Janganlah berasa kecewa. Janganlah sekali-kali berputus asa.

Teruskan berdoa. Teruskan meminta. Jangan hanya berdoa bila kita rasa perlu. Bila rasa tidak ada keperluan, tak ada doa. Jangan juga berhenti meminta. Jangan hanya minta rezeki naik pangkat atau minta dapat jodoh yang baik tetapi mintalah agar Allah tetapkan hati kita di atas agamaNya dan sampaikan kita ke syurgaNya. Berdoalah supaya Allah lembutkan hati kita agar mudah memaafkan orang. Mintalah agar Allah hilangkan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati kita. Supaya kita boleh berlapang dada dengan kelebihan orang lain dan supaya kita sendiri melihat kepada orang yang dalam kekurangan, lalu menjadilah kita manusia yang sentiasa mensyukuri dengan apa jua nikmat dan pemberian yang Allah berikan untuk kita. Hatta kalau apa pun tidak kita punyai, ketahuilah Dia tetap memberi kita keupayaan untuk menyedut udaranya dan bernafas. Kita masih punya nafas yang kita hela bagi meneruskan kehidupan di muka bumi ini dengan iziNya. Dan selagi ada ruang dan peluang itu, gunakanlah dengan sebaiknya untuk mencari bekal agar kita tidak rugi. Sudahlah susah merana atas dunia, susah merana juga di akhirat. Sangat celakalah hidup yang begitu. Dan kalau berdoa itu, jangan lupa berdoalah sama untuk saudara-saudara kita. Islam ini kuat atas dasar persaudaraan, jadi, janganlah hanya mementingkan diri sendiri. Kalau kita tidak mampu melakukan yang lebih baik dalam berdakwah, setidak-tidaknya berdoakan agar Allah memberikan mereka nikmat iman yang alhamdulillah sedang kita nikmati. Itulah yang sebaik-baiknya.

Saya katakan begitu kerana semalam saya terbaca kisah pengislaman seorang pemuda di negara barat. Dia berhijrah setelah bosan dengan kehidupannya yang penuh dengan tuntutan memenuhi kehendak nafsu sahaja sehingga ianya membuatkan dia hilang punca. Ternyata apabila mengenali dan mendalami Islam, Islam memberikannya jawapan tentang banyak soalan. Cuma cabaran yang dihadapinya pada suatu ketika ialah apabila dia mendapati orang-orang Islam lebih suka mengkritik satu sama lain sehingga menenggelamkan isu-isu pokok yang lebih kritikal.Misalnya, amalan ini lebih baik daripada amalan itu. Atau amalan ini adalah bidaah dan sebagainya. Sedangkan tuntutan lain yang lebih penting seperti mendalami dan memahami Al-Quran, tuntutan untuk saling bantu-membantu sesama saudara seagama serta menjaga silaturahim itu diketepikan. Lalu akhlak yang ditampilkan nampak 'hodoh' sedangkan Islam itu agama yang penuh dengan kebaikan dan keindahan. Mungkin sebab sebeginilah yang menyumbang kepada 'Islamophobia' kerana penganut-penganut Islam gagal mencerminkan peribadi Muslim yang boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Jadi, di hari baik penghulu segala hari ini marilah kita beristighfar dan muhasabah diri semula serta berdoa agar kita tidak terpedaya dalam memburu kehidupan akhirat yang lebih baik. Takut-takut kita sekadar syok sendiri, merasakan kita ini lebih baik daripada orang lain. Riak namanya. Takut kalau-kalau kita sudah berpuas hati dengan amalan yang dilakukan sehingga kita rasa tak apa untuk berhenti berehat sebentar sebab perasan amalan sudah banyak.

Semoga dapat dipenuhi hari-hari mendatang dengan azam mahu melakukan yang lebih baik berbanding hari semalam.

Ayuh!

Wednesday, March 07, 2012

Ulul'albab

Sebelum saya terlupa dan hanyut dengan tugasan duniawi, moleklah kiranya saya berkongsi sekadar yang mampu tentang kuliah Rabu saya tengahari tadi. Selalunya kami akan membawa buku 'teks' wajib hari Rabu iaitu Memesan Kursi Tertinggi. Ustaz mulakan dengan 2 ayat dari surah A-Li'Imraan. Bila dikupas-kupas langsung selesai satu jam.

Dua ayat tersebut ialah ayat 190 dan ayat 191. Dalam ayat-ayat ini Allah S.W.T menerangkan tentang ciri-ciri orang yang berakal yakni golongan Ulul'albab. Berikut terjemahannya :

Firman Allah :

Ayat 190 : "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal"

Ayat 191 : "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka'."

Jadi, siapa itu golongan Ulul'albab? Yang dikatakan Ulul'albab itu ialah mereka yang hatinya sentiasa ingat kepada Allah walau dalam keadaan apa sekali pun. Tiadalah mereka ini leka dan lalai daripada mengingatinya. Adapun yang dikatakan menyebut nama Allah itu bukanlah maknanya berzikir semata-mata...malahan kalau kita meluangkan masa memerhatikan alam yang ternyata setiap sesuatunya sangat menakjubkan itu dan dengan mengamati itu membuatkan kita semakin mengagumi Penciptanya, maka itu juga dikira sebagai amalan menyebut dan mengingati Allah.

Dan bila kita melihat keajaiban Allah ini...ucapkanlah doa yang terkandung di penghujung ayat 191 itu yang berbunyi, "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". Janganlah tengok langit mendung..."aiii...nak hujan lagi gamaknya petang ni"...tu markah dia kosong. Pandang, renung...fikirkan betapa hujan itu sangat diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan dan bagaimana kitaran hujan itu juga memberi manfaat yang besar kepada kehidupan kita manusia. Lalu ucapkanlah doa itu. Besar pahalanya!

Ustaz juga pesan, semasa kita mendirikan sembahyang...cuba bayangkan betapa Allah sedang melihat kita dan bila kita ucapkan istiazah, "Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam itu" tetapkan azam dan bulatkan tekad untuk melawan syaitan yang sentiasa cuba mengelirukan kita. Berazam untuk mempersembahkan sembahyang yang terbaik dengan penuh khusyuk. Jangan sebut 'syaitan direjam' lepas tu dok membayangkan balasan syurga kalau kita berjaya kalahkan syaitan. Mula berangan berlari berkejaran dengan bidadari, duduk makan yang lazat-lazat...dan syok sendiri sampai terlalai nak pastikan jiwa kita hadir menyembah Allah dengan sepenuh khusyuk. Kalau macam inilah, alamat syaitan senyum-senyum sahaja...biaq pi la dia ni sembahyang, dia sedap berangan...okay la tu. So, jangan tertipu.

Antara tips hendak khusyukk dalam sembahyang. Pertama, pastikan pakaian dan tempat sembahyang kita bersih. lepas tu pastikan kita berwudhuk dengan sempurna. Dan yang pentingnya, jangan jaga kulit luaran sahaja...yang dalaman itu haruslah yang terbaik. Hati kita kena bersih. Kalau harap pakaian sahaja bersih bersinar-sinar, tapi hati kotor dan busuk, memang tak akan mencapai tahap yang dikehendaki. Kebanyakan kita (saya...saya...)macam itulah, sembahyang asal siap sahaja...janji buat. Terlupa yang sembahyang itu kita persembahkan untuk siapa? Kalau hadiah untuk manusia kita beri yang cantik dan mahal, balut dengan kertas elok lagi...begitulah sembahyang kita, malahan patut lebih lagi. Barulah tercapai matlamat sembahyang dan menjadilah sembahyang itu benteng yang teguh.

Rasanya penerangan ustaz lagi mendalam dan menyentuh jiwa, rasa macam nak tertelan lidah sendiri pun ada...hahahah...terutama yang bila kena tang muka sendiri...haduiii...anyway, harap perkongsian tak sepertinya ini bermanfaat. Tak banyak, sikit pun jadilah. Insyaallah.