Punyalah banyak berita-berita lain yang boleh dipaparkan untuk manfaat pembaca, 'ramuan beracun' ini jugalah yang dipilihnya.
Aku tidak berminat hendak mengulas panjang isu ini. Apapun ia mengingatkan Aku kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku dalam bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah. Antara intipati perjanjian yang dibuat antara kaum Quraisy Mekah dengan Nabi Muhammad S.A.W selaku pemimpin penduduk Islam Madinah ialah :
"Mana-mana orang Islam Madinah yang lari ke pihak Quraisy Mekah, maka dia tidak perlu dikembalikan kepada kaum Muslimin; akan tetapi sekiranya ada di antara orang Quraisy Mekah yang lari ke pihak Islam Madinah, maka individu itu perlulah dikembalikan semula kepada pihak Mekah".
Ramai yang menyangka, termasuklah sahabat-sahabat Baginda Rasulullah S.A.W sendiri, bahawa ia adalah satu perjanjian yang berat sebelah dan hanya menguntungkan pihak Quraisy Mekah. Akan tetapi, terdapat hikmah yang besar di sebalik perjanjian ini. Gencatan senjata 10 tahun itu telah membolehkan syiar Islam dikembangkan dengan lebih meluas, malahan penduduk Islam dapat pula hidup dalam keadaan aman dan damai. Dan yang paling penting sekali, perjanjian ini membawa kepada suatu peristiwa yang lebih besar kemudiannya iaitu Peristiwa Pembukaan Kota Mekah yang gilang gemilang.
Kalau tengok yang tersurat, memanglah nampak mengalah. Tetapi itulah antara tanda kebijakan Rasulullah S.A.W sebagai seorang pemimpin, pembuat strategi yang bijak. Mengapa pula Baginda tidak kisah dengan pemergian penduduk Islam Madinah ke Mekah dan tidak mahu menuntut mereka dipulangkan?
Ini kerana Baginda tahu, hanya golongan yang masuk Islam kerana terpaksa atau munafik sahaja yang akan melarikan diri dari Madinah atau ingin murtad. Bagi umat Islam Madinah, golongan-golongan musang berbulu ayam ini memang tidak diperlukan. Malah lebih baik mereka tiada kerana mereka ini bolehlah diibaratkan seperti musuh dalam selimut yang boleh menggugat kekuatan Islam dari dalam. Apabila mereka dengan sukarela pergi, bukankah itu lebih baik kerana seorang demi seorang musuh dalam selimut sudah tiada?
Apahal pula dengan penduduk Mekah yang lari meninggalkan Mekah kerana ingin menyertai Rasulullah dan muslimin Madinah? Kenapa perlu mereka dikembalikan kepada Quraisy sedangkan jelas mereka itu berpegang kepada agama Allah. Tidak mengapa. Manusia yang di dalam hatinya hanya ada Allah dan RasulNya, insyaallah, kuat dan teguh pendiriannya. Akidah mereka tidak mudah goyah. Malahan mereka sanggup mati sekalipun. Sekiranya mereka ini terus ditahan di Mekah, lama-kelamaan mereka pula akan menjadi seperti agen penyebar Islam dari dalam. Peribadi mulia mereka sebagai muslimin akan mempengaruhi pula keluarga dan sahabat dikeliling mereka. Akhirnya mereka pun akan menjadi seperti 'musuh dalam selimut' di kalangan kaum musyrikin Mekah.
Tersebut kisah seorang Quraisy bernama Abu Baseer r.a yang melarikan dari puak Quraisy dan menyatakan keimanannya kepada Rasulullah S.A.W. Namun, setelah dua orang wakil Quraisy datang menuntutnya kembali, Baginda S.A.W melepaskan Abu Baseer untuk dihantar pulang. Ketika di perjalanan, Abu Baseer telah membunuh salah seorang daripada puak Quraisy tersebut, dan melarikan diri sekali lagi ke Madinah.
Namun, Nabi tetap tidak mahu menerimanya, kerana jika Baginda S.A.W terima, maka perjanjian tersebut telah dilanggari. Mendengar berita bahawa dia akan dihantar sekali lagi ke puak Quraisy di Mekah, maka Abu Baseer telah melarikan diri ke suatu tempat bernama Saiful-Bahr.
Golongan Islam yang masih tertindas di Mekah akhirnya melarikan diri juga ke Saiful-Bahr dan menyertai Abu Baseer, lalu membentuk satu kumpulan dan koloni di situ. Atas dasar membalas dendam ke atas penindasan yang dilakukan oleh puak Quraisy terhadap mereka, mereka telah memintas rombongan-rombongan perdagangan Quraisy.
Perkara ini membingungkan puak Quraisy. Mereka tidak boleh berperang, dalam masa yang sama, puak Islam di Saiful Bahr sendiri tidak tertakluk kepada Perjanjian Hudaibiyah, kerana mereka bukan penduduk Madinah!
Akhirnya, atas desakan tersebut, kaum Quraisy MERAYU kepada Nabi saw supaya menerima puak Islam di Saiful Bahr tersebut sebagai penduduk Madinah, dan puak Quraisy bersetuju untuk mengubah klausa perjanjian, di mana sesiapa dari Mekah yang datang ke Madinah tidak perlu dipulangkan kembali.
Maka, dengan bertukarnya klausa perjanjian itu, tahun berikutnya (tahun ke-7 Hijrah) menyaksikan TIGA orang besar dari puak Quraisy Makkah memeluk Islam; mereka ialah ‘Amr bin Al-’As, Khalid bin Al-Walid dan ‘Uthman bin Talhah.
Akhir kata, mari berselawat ke atas Nabi S.A.W yang mana atas usaha dakwah Baginda, Islam tersebar di dunia sehingga kita juga dapat kecapi nikmatnya. Alhamdulillah. Tak perlulah kita melatah dengan permainan psikologi kaum musyrik di zaman kita ini.
Sebahagian bahan berkenaan kisah Perjanjian Hudaibiyah ini diambil daripada http://warungkampung.wordpress yang banyak merujuk kepada buku "Genius: Muhammad bin Abdullah", "The Sealed Nectar (Al-Raheequl Makhtum)", "The Battles of The Prophet S.A.W").
No comments:
Post a Comment