Friday, February 25, 2011

Kemaafan Dendam Yang Terindah

Hari ini hari Jumaat. Seperti hari-hari terdahulu, semenjak beberapa bulan yang lalu...ada kalanya saya teringatkan awak. Saya tak pasti awak baca atau tidak blog saya ini...tapi memandangkan awak pun sudah lama mengetahui kewujudan saya menerusi kerja-kerja 'penyelidikan' awak...saya yakin, awak tentu boleh jumpa blog saya. Maaflah kita tak bertemu dalam keadaan yang lebih baik. Alangkah baiknya kalau saya tak kenal awak seperti itu, atau mungkin tersangat baik kalau saya tak pernah tahu. Malangnya, suka tak suka , kita sudah kenal sesama kita walaupun tak pernah berjumpa bertentang mata.

Hari ini hari Jumaat. Saya ingin awak tahu di hari mulia penghulu segala hari ini yang saya telah memaafkan awak seluruhnya. Saya tidak mahu hidup menyimpan dendam terhadap awak. Cukuplah dengan apa yang saya rasa. Saya tak mampu menghukum hidup saya dengan tidak memaafkan awak atas apa yang telah berlaku. Seumur hidup, saya tidak pernah membenci satu manusia pun sebagaimana saya bencikan awak . Seumur hidup, tak pernah ada seorang manusia pun yang pernah membuatkan saya berada di tahap paling 'hina' dalam sejarah hidup saya. Awak adalah insan yang terpilih untuk menyedarkan saya betapa kecilnya saya bila berdepan dengan ujian Allah. Kebencian saya terhadap awak beransur-ansur hilang apabila saya mula memahami sedikit demi sedikit apa yang Allah inginkan saya sebagai hambaNya lalui. Proses itu sangat menyakitkan, tapi saya mampu tersenyum hari ini kerana buat pertama kalinya saya faham mengapa dan kenapa saya ada di dunia ini. Ya, untuk membantu saya memahami yang kasih sayang paling agung adalah kasih sayangNya. Bahawasanya hanya apabila cuma ada Allah dan RasulNya di hati saya, maka, apa yang berlaku itu sakitnya hanya seperti sakit ditusuk duri semalu.

Astaghfirullah al azim...saya mohon ampun kepadaNya di atas kealpaan saya selama ini. Saya harus berterima kasih kepada awak kerana kehadiran awak telah menyedarkan saya tentang banyak perkara. Tentang kesilapan-kesilapan saya. Bahawa saya silap terlalu menyayangi dan percaya kepada sesama insan sehingga terlupa menjaga hubungan saya denganNya.

Awak...sebagai saudara seagama, saya berdoa semoga awak juga nampak apa yang saya nampak. Saya sendiri tidak boleh membayangkan keadaannya sekiranya saya berada di tempat awak. Kerana itu, saya akan terus berdoa dan beristiqamah mudah-mudahan saya tidak jadi kagum dengan nikmat semasa yang saya ada sehingga menyangka keadaan yang sama tidak mungkin menimpa saya. Saya sangat takut kerana saya tidak mahu menjadi insan yang memalit warna hitam di kanvas putih hidup insan lain. Saya tak mampu memikul beban rasa bersalah seumur hidup saya. Cukuplah dengan apa yang sudah saya lakukan selama ini.

Awak...ketahuilah yang saya tidak pernah memaksa siapa-siapa membuat keputusan kerana saya. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah urusan kehidupan saya ini. Sebetulnya saya tak pedulipun kalau awak tetap tega hendak menyempurnakan kehendak awak...bagi saya, apa pun yang berlaku adalah dengan kehendakNya dan insyaallah, saya tak akan buat kerja gila berdemonstrasi depan rumah awak. Saya juga tak akan simbah cat merah pada pintu rumah awak juga kereta MyVi awak. Pendekata, saya tak akan cuba musnahkan impian awak. Cuma....saya tak tahu, apakah awak masih menyimpan impian itu kerana ianya impian yang dikongsi bersama sepatutnya, bukan? Harap awak faham, apapun keputusan dan keadaan yang berlaku sekarang...tak ada kena mengena dengan saya.

Saya minta maaf kalau tindakbalas awal saya dulu menghantui awak. Sebetulnya saya tidak pernah bersikap begitu. Apa pun saya banyak bermuhasabah dan saya tidak menyalahkan awak 100%. Dalam 2 tahun kebelakangan ini memang saya sedang berusaha untuk lebih menghayati makna kehidupan saya, barangkali betullah apa yang berlaku ini bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman saya tentang qada dan qadar Allah. Satu latihan praktikal yang Allah turunkan untuk menguji saya yang serba dhaif itu. Saya bukan manusia yang sempurna, saya akui saya gagal pada ujian pusingan pertama tetapi alhamdulillah, saya gembira dengan pencapaian saya hari ini. Alhamdulillah.

Oleh kerana hidup ini umpama roda yang berputar, sekejap ke atas dan sekejap ke bawah...dan rapuhnya ketetapan hati manusia yang sekejap kuat, sekejap lemah...saya risau saya leka dan alpa. Perkara yang terjadi kepada awak boleh saja terjadi kepada saya. Nauzubillah. Betul kata ustaz saya, mana yang lebih patut saya gusar...ujian yang berlaku itukah atau ujian terhadap keimanan saya? Bagaimana kalau Allah menguji iman saya? Rasa macam kena tempeleng!(Bahkan berlebihan lagi). Kemudian, saya teringat lagi sebuah hadith yang ustaz saya bacakan dalam satu kuliah.

Daripada Ibnu Mas'ud RA katanya :Rasulullah SAW telah memberitahu kami dan dialah orang yang berkata benar: “Sesungguhnya seseorang kamu akan dikumpulkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk air mani. Kemudian ia akan menjadi segumpal darah seperti itu (40 hari), kemudiannya menjadi segumpal daging seperti itu (40 hari). Kemudian Allah akan mengutuskan kepadanya malaikat, lalu dia akan meniupkan roh kepadanya dan malaikat itu diperintahkan untuk menulis empat perkara: Tentang rezekinya, amalannya, ajalnya dan samada celaka atau bahagia. Demi Yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya pasti ada seseorang kamu yang (pada awal kehidupannya ia) beramal dengan amalan ahli syurga sehingga ia telah dekat untuk memasuki syurga sekadar satu hasta, tetapi takdir telah mendahului ia ( yang pada akhir kehidupannya) lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu ia memasukinya. Dan sesungguhnya pasti ada seseorang kamu yang (pada awal kehidupannya) ia beramal dengan amalan ahli neraka sehingga ia telah dekat untuk memasuki neraka sekadar satu hasta, tetapi takdir telah mendahuluinya padaakhir kehidupannya) lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia memasukinya.” [Muttafaqun ‘alayh]

Hadith itu sangat menggerunkan saya kerana saya tidak tahu apa sudahnya saya. (Allahlah Yang Maha Mengetahui). Jadi, saya fikir, ada perkara lain yang lebih penting untuk saya fokuskan sepanjang usia saya yang masih bersisa ini, maka, saya putuskan untuk lupakan apa yang telah berlaku. Saya kena banyak lagi belajar. Saya kena buat banyak benda yang saya belum ada kekuatan untuk buat. Tiba-tiba masalah kita menjadi terlalu kecil untuk saya pedulikan.

Justeru, sekiranya betul awak ada membaca blog ini...semoga awak faham keadaan saya dan saya doakan yang terbaik untuk awak kerana awak tetap saudara seagama saya.

6 comments:

Lotuslilly said...

Dear Telipuk,
Syabas kerana anda adalah salah seorang insan yang terpilih untuk diuji oleh Allah dengan cara begitu. Kita diuji kerana Allah sayangkan kita dengan cara itu ianya dapat menaikkan darjat kita, memberi pahala dan mengampuni dosa-dosa kita dan kita kena redho kerana it's part of qada dan qadar. Melupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan adalah yang terbaik walaupun ianya sukar.

Telipuk Kuala said...

Ishhh...ini yang rasa nak bagi standing ovation kat akak Lotuslily nih...hehehe...

Tak ada apa-apalah akak...its just part of redeeming myself...rasa tak kena bila ada benda yang masih 'terbuku'...that entry sort of flushing all those pains in one go...ahhh...legaaaaaa!

sirapmadu said...

Aku nak ucapkan tahniah sebab hang telah berjaya melepasi tahap ujian yang agak berat..semoga kita sentiasa berada dalam lingkaran kasih sayang Allah.

-sirapmadu-

Telipuk Kuala said...

Takut Aku memikirkan ujian-ujian lain di depan sana yang menanti...teringat kata-kata hikmah Solusi yang memberikan perangsang yang besar maknanya..."Usah dipinta kecilkan ujian, tetapi pintalah dibesarkan iman".

Anonymous said...

Teringat pula tips 'seseorang'yang murah rezekinya dam senang laluan hidupnya....
i) Jangan sesekali menganiayai orang
ii) Tiada dendam di hati, memaafkan orang sebelum kita tidur malam

Cuba teka siapa saya...he he he.....

Telipuk Kuala said...

Hahaha...rasanya sudah terang lagi bersuluh tu, datang lampu spotlight suluh bijik mata...

Tapi, secara teorinya betullah tu...
Cuma yang menjadi permasaalahan ialah bila kita tak sedar kita pula aniaya orang...itu yang pentingnya ada kawan2 yang boleh tolong tegur dan ingatkan kita.

Lagi satu, ada pesanan yang I ingin pegang kuat iaitu, lupakan kesalahan orang, tapi jangan pernah lupa kesalahan yang kita pernah buat pada orang...ingat-ingat selalu supaya tak lupa diri.