Wednesday, May 09, 2012

Alkisah Politik

Berlatarbelakangkan situasi politik dalam negara kini, saya terkenangkan masa lalu ketika saya masih kecil dan mentah untuk memahami tentang banyak perkara. Ketika itu saya dalam darjah 1. Dekat-dekat hendak pilihanraya. Meriah sungguh. Ada sekali tu saya balik sekolah, sepanjang jalan saya tengok bendera dacing berwarna biru digantung merentangi jalan tiang ke tiang. Sesekali diselang-seli dengan bendera hijau dengan bulatan putih di tengahnya. Yang menampal poster dan bendera pun banyak juga. Habis bertampal gudang padi Tok Wan saya. Beranda rumah kampung saya pun penuh bertampal dengan poster YAB Perdana Menteri masa itu, Dr. Mahathir Mohammad. Itu merupakan pilihanraya pertamanya semenjak menjadi Perdana Menteri.

Tahun demi tahun berlalu. Kemenangan demi kemenangan diraih oleh Kerajaan Barisan Nasional. Saya kira keluarga saya, datuk nenek saya , semuanya menyokong Barisan. Tapi kehidupan kami macam itu juga, maksud saya, tak adalah dapat jalan tar pun depan rumah. Malahan saya masih belajar di bawah cahaya pelita minyak tanah ketika dalam darjah 3. Kami masih mandi air telaga. Ayah masih mengangkut air paip bertong-tong menggunakan basikal tuanya. Tak ada dapat habuan tanah sekangkang kucing sekalipun. Jadi, saya pasti keluarga saya tidak punya apa-apa motif menyokong kerajaan selain daripada keinginan untuk melihat keamanan dan kesejahteraan negara.

Emak saya agak bersemangat bila bercakap hal-hal perpaduan bangsa. Memandangkan tiada wang ringgit yang boleh disumbangkan, emak memberikan kudrat yang ada untuk masuk kampung berkempen. Kesian emak, bukan sekali dua kena kejar dengan parang oleh penyokong parti lawan. Setahu saya emak cuma bermodalkan air liur. Tak ada pula dia bawa kain batik atau kain pelikat. Seringgit dua ringgit pun dia tak mampu hendak hulur. Emak yang penat, bukannya ada dapat duit apa-apa pun. Tak ada rasuah. Tak ada kena basuh otak. Masa itu saya selalu tertanya-tanya kenapa penyokong parti bulan itu sangat berbeza. Saya pelik kerana mereka enggan hadiri majlis kenduri yang orang kami buat. Kalau kematian pun macam itu. Cuma yang hairannya, meskipun tentangan mereka ketara, mereka tetap beroleh manfaat. Kalau jalan kami berlubang-lubang, jalan mereka sudah beberapa kali berturap. Paip air boleh tarik masuk sampai depan tangga. Tiang lampu pun sama. Buat apapun mereka tetap begitu juga, yang ada dalam kepala hanyalah bulan yang mengambang penuh.

Tahun demi tahun saya membesar. Dunia saya berkembang. Saya mendapat banyak input-input dan maklumbalas dari banyak sumber. Sempadan semakin kecil. Segalanya semakin mudah diperolehi. Maklumat demi maklumat. Hanya tinggal betul atau tidak sahaja. Namun, ketika itu, adalah lebih mudah mengiakan apa yang orang kata. Siapa-siapa yang mampu tampil dengan keyakinan tinggi, dialah yang menyerlah. Terasa betul. Terasa yang lain-lain salah belaka.

Era pemberontakan. Diam-diam saya rasa segala apa yang ada masih belum mencukupi. Saya mula merasakan ada benda yang tidak betul. Lalu saya melawan dalam diam. Kemuncaknya saya pernah ikut kawan-kawan di kampus menyatakan perasaan. Itu cerita tahun 1997-1998 rasanya. Entah kenapa. Nasib baiklah saya tidak begitu berani orangnya...nak berani apa...makan minum pun kerajaan tanggungkan? Nanti kalau kena apa-apa...siapa hendak bertanggungjawab? Tahu pulak fikir macam tu. Walaupun darah muda, saya memilih untuk melakukan perkara yang kurang mudarat kepada keluarga. Kalau tak buat orang kata saya dikira berdosa kerana tidak menegakkan hukum Allah. Jadi, saya tidak mahu berdosa. Walaupun mungkin saya berdosa kerana melawan cakap emak yang mempertahankan pendiriannya.

Undian pertama saya...kesian Emak, berbuih-buih mulut menekankan kepada pentingnya perpaduan dan kesepaduan ummah. Saya buat pekak badak. Saya faham apa yang Emak mahukan. Saya juga faham apa yang memotivasikan Emak untuk berpegang teguh kepada pendiriannya. Saya pula tak sudah-sudah mencetak cerita-cerita tentang orang itu tak betul, orang ini gila kuasa, orang itu buat jahat sebagai bukti yang dengannya kita perlu lakukan perubahan menolak kemungkaran. Padahal entah betul atau tidak. Saya pun bukan kenal siapa orang itu...orang yang kita kenal pun belum tentu kita tahu semuanya. Aduhai...saya jadi penyebar fitnah pula gara-gara terlalu bersemangat hendakkan perubahan cepat.

Ternyata segala hingar-bingar itu hanyalah demi kelangsungan perjuangan politik sahaja. Bak kata perpatah, gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah.

Suatu ketika, mantan Perdana Menteri menjenguk kampus kami. Walaupun macam-macam orang kata dia, kuku besilah, gila kuasa dan sebagainya...sebetulnya saya secara peribadi sangat suka kepadanya. Saya suka cara dia bercakap. Saya kagumi buah fikirannya. Itu menjadikan saya rasa panas punggung hendak juga tengok dia. Bila saya tahu dia nak singgah di Mall, saya terus ke sana. Cuma nak tengok, kata hati saya. Bukannya hendak sambut dengan bunga pun...nak tengok saja...pujuk hati kecil saya. Ramainya orang. Bersesak-sesak. Saya tahu hajat saya bakal tak kesampaian. Ketika saya memutuskan untuk beredar, bas yang membawanya kebetulan lalu. Dan kebetulan juga dia berdiri di tangga. Melambai-lambai. Saya tengok dia. Dia tengok saya. Saya lupa yang saya melambai-lambai balik macam budak kecil dapat coklat. Saya balik berjalan kaki dengan senyum puas. Biarlah apa orang hendak kata, saya memang suka dia. So, what???

Perkara yang betul harus dilakukan dengan jalan yang betul juga. Ketika saya membetulkan pendirian saya, saya tidak berpegang kepada cakap-cakap orang. Cakap-cakap ini banyak yang tak betul daripada betul. Lebih baik diam dan lihat. Saya tanyakan diri saya, kalaulah saya berkuasa dalam satu-satu jawatan...apakah saya tidak akan utamakan kaum kerabat saya? Saya gelak sorang-sorang. Dengan pastinya saya akan lantik suami saya jadi CEO. Juga akan lantik adik kakak saya pegang jawatan-jawatan penting. Saya kira itu lumrah manusia. Kita mahu dikelilingi dengan orang-orang yang kita percayai. (Moralnya, jangan pegang kuasa...kalau tak pandai hendak jaga dengan amanah).

Makan rasuah. Kaki perempuan. Gila judi.

Siapalah kita untuk membuka aib orang. Baik pihak yang mana-mana sekalipun. Memang mual membaca akhbar sekarang. Macam-macam cerita ada. Semua pakat-pakat nak londeh. Semua pakat-pakat menelanjangkan satu sama lain. Dan akhirnya...kita semua hanya menang sorak. Hanya puas hati. Yang lain-lain akan ketawakan kita. Mereka gelak-gelak tengok kebodohan kita. Sedih kerana dengan melibatkan diri sebegitu, kita telah tidak mencerminkan pegangan agama suci yang kita anuti. Sudahnya siapa akan percaya yang Islam itu adalah agama yang benar kerana perbuatan kotor dan busuk yang kita paparkan itu.

Demi kebaikan bersama, lupakanlah persengketaan ini. Fikirkanlah kebaikan ummah. Janganlah begitu pentingkan diri sendiri. Lihat yang mana lebih memudaratkan. Tak apalah kalau kita tak dapat kuasa pun, janji ummah terbela. Yang melanggar hukum Allah itu, biarlah Allah yang menghukumnya. Selagi kita tidak lihat dengan mata kepala kita sendiri, janganlah hanyut dibuai budaya fitnah-menfitnah. Sukakah kita makan daging saudara sendiri???

Ada seorang menulis di ruangan forum bertanyakan, "Kejam sangatkah Malaysia?". Betul, saya setuju. Kejam terhadap siapa? Kejam yang bagaimana? Menyamakan situasi kita dengan Syria adalah salah. Mengikut cerita ustaz yang belajar di Syria, kebangkitan di sana bermula apabila sekumpulan anak-anak kecil yang suka-suka menconteng dinding dengan tulisan yang mereka selalu nampak di tv (kebangkitan di negara-negara Arab terdahulu)...malang sekali saya tak ingat frasa itu...ditangkap dan diseksa. Budak sekolah rendah rasanya. Kuku mereka dicabut. Kulit mereka disiat. Mereka dibunuh. Mulanya hanya anggota keluarga yang datang menuntut keadilan. Namun tidak diendahkan. Lama kelamaan, jiran-jiran pula datang menyokong lalu semakin lama gerakan ini semakin menular. Perlu diingat yang Syria diperintah secara kuku besi. Ulama dibunuh dan dihapuskan. Mereka memang tidak pandai melawan. Malahan sejak kecil lagi diajar supaya cintakan pemimpin. Anak kawan ustaz saya yang belajar di tadika (lebih kurang) di sana, bila nampak muka Bashar Al Assad di tv, terus dia peluk tv tu dan kata..."abi...abi...". Bayangkan...dahsyat tak dahsyatnya cara mereka kawal rakyat. Itu kat sana. Yang kat sini tiba-tiba claim ada persamaan tu apa hal? Jangan main sedap ikut-ikut je...

Saya juga sedih melihat Fatwa diperlekehkan. Saya faham sudut pandangan itu. Mungkin ada elemen politik, mungkin juga tidak. Namun, kalau kita pun tak tahu...janganlah suka-suka meletak hukum.Jangan hanya suka-suka memetik kata orang itu, orang ini kalau kita tak faham konteks. Kalau kita yang Islam ini mempersendakannya , letak di FB dan biar kawan-kawan bukan Islam lain sama-sama 'naik syeh' mengetawakan kita...di mana maruah kita sebagai penganut Islam?

Saya tahu saya tidak pandai berpolitik. Saya juga tidak pernah membayangkan hendak memperkatakan perkara seperti ini. Berat. Saya doakan semoga umat Islam akan bersatu walau apapun kepercayaan politik mereka.

Mungkin perubahan yang dingini itu tidak akan berlaku serta-merta. Tapi yang pasti, kalau sesuatu itu mahu diubah, kita sendiri harus terlebih dahulu berubah. Kalau mahukan kerajaan yang adil, jadilah rakyat yang adil juga. (Walaupun hatiku sakit dengan banyaknya potongan cukai itu...namun tak menjadi sebab untuk tidak melihat kepada perkara-perkara baik lain). Jadilah manusia yang bersyukur kerana apapun yang sedang dinikmati ini adalah dengan izin Allah.

Fikir-fikirkanlah. 

No comments: