Wednesday, December 03, 2014

Nota Penawar

Di dalam kelas pengajian Hadith (Kitab Riyadhus Shalihin), kami masih berada di bawah tajuk Sabar. Hari ini Ustaz bacakan hadith ke-38, 39 dan 40. Dalam hadis ke-38, disebut tentang kisah Ibnu Mas’ud r.a (Abdullah Bin Mas’ud) yang mengunjungi Rasulullah S.A.W dan mendapati Baginda sedang mengalami demam panas yang kuat. Kata Ustaz, Ibnu Mas’ud antara kelebihannya ialah beliau merupakan antara sahabat Nabi yang sering/kerap masuk menemui Rasulullah di rumah Baginda. Cerita tentang Ibnu Mas’ud ini, kata Ustaz, beliau memiliki sepasang betis yang halus/kecil. Maka pada suatu hari yang kuat anginnya, Ibnu Mas’ud telah terjatuh kerana tidak mampu menahan tolakan angin. Sahabat-sahabat yang melihat telah mengetawakan beliau. Lalu Baginda Rasul menegur perbuatan tersebut dan bertanya, “Apakah kalian mentertawakan betisnya? Demi Allah, sekiranya ditimbang sebelah betis Abdullah dengan Jabal Uhud, nescaya lebih berat betis Abdullah (kerana beratnya kebaikan/pahala beliau). Demikian catatan ala kadar yang terdengar pada pendengaran saya. Ini bukan merujuk bulat-bulat kepada sumber asal cerita ini, ya.

Itu berat betis Abdullah Bin Mas’ud. Di akhirat nanti, ada manusia yang badannya besar dan gemuk, tetapi bila ditimbang ternyata sebelah sayap nyamuk pun lagi berat. Yang besar dan gemuk itu akhirnya hanyalah kosong semata-mata kerana sedikit/tiada amalan yang bermanfaat untuk dijadikan sandaran. Kita bagaimana? Bila kita naik penimbang, sudah tentu kita sangat risau kalau berat badan bertambah. Habis segala ubat herba terlajak laris kita telan untuk ‘menten’ badan. Bagaimana dengan berat iman, yang menyusut dan tidak meningkat? Apakah kita risau? Setelah sekian lama hidup, bila kita perhatikan – rupa, bentuk badan kita sudah berubah. Bukan itu sahaja, kediaman kita berubah, cara pengangkutan kita berubah – segala-galanya berubah. Tapi iman kita? Adakah ada perubahan? Ataukah sama macam dulu-dulu dok solat sehari 5 waktu semenjak zaman akil baligh? Kalau sama, kata Ustaz, alamatnya bahaya. Itu tandanya kita sudah tertipu dengan dunia. Kita hanya sibuk dengan perubahan fizikal dan material tetapi lupa dengan perkembangan iman. Orang yang terbaik, ialah orang yang semakin hari semakin bertambah baik (meningkat) imannya (jadi janganlah risau dengan berat badan…errkkk…). 

Baik, berbalik kepada hadis tadi di mana Ibnu Mas’ud mendapati Rasulullah sedang demam kuat, lalu beliau menegur, mengapakah begitu teruk keadaan Baginda? Baginda memberitahu bahawa begitulah keadaannya untuk Baginda sebagai Rasul Allah, musibah yang Baginda alami bagaikan bebanan yang menimpa dua orang manusia. Sahabat yang cerdik ini merumuskan, kalau begitu tentulah pahala yang Baginda terima juga dua kali ganda? Kalau kita tentulah kita rasakan kasihan atau tak adil Rasul dapat musibah berganda. Itulah nikmatnya bila Allah sayang. Maka, Allah beri musibah. Lagi berganda musibahnya, lagi banyak pahalanya. Bila Nabi sakit, kesakitan itu bukanlah sebagai satu kafarah tetapi ianya adalah pahala kerana status Nabi yang maksum, terpelihara daripada berbuat dosa. 

Pengajaran bagi hadis ini, apa sahaja musibah yang menimpa manusia – kemudian dia sabar dan mengharapkan pahala, maka dia akan mendapatkan dua faedah iaitu : Pertama, musibah itu akan menghapuskan dosa dan keduanya, musibah itu pasti akan menyebabkan pahalanya bertambah sehingga meninggikan darjatnya. Untuk membantu kita bersabar bila ditimpa musibah, kata nasihat daripada para salafussoleh – Apabila ditimpa musibah, tersenyumlah dan ingatilah empat perkara berikut :

1. Musibah yang menimpa itu, adakah yang dialami itu lebih berat daripada musibah yang dialami orang lain? Ada orang rumahnya dimasuki pencuri, lalu dia bersedih. Mujur dia teringat betapa ada orang lain yang lebih malang apabila bukan sahaja disamun, malahan turut dibunuh. Justeru, tidak perlulah bersedih.

2. Yang memberi musibah itu adalah Allah. Bila Allah beri musibah, itulah tanda Allah sayang kepada kita dan mahu menaikkan darjat kita. Bergembiralah!

3. Ingat kepada dosa-dosa yang diampunkan oleh Allah dengan sebab kita bersabar dengan musibah yang menimpa. Bukankah itu sesuatu yang baik? Maka, apa perlunya bersedih?

4. Ingat kepada ganjaran pahala hasil daripada kesabaran. 

Bila mengingati banyaknya faedah yang dinikmati hasil kesabaran atas musibah, jelas, perasaan untuk bersedih dan menangisi kepedihan itu tidak perlu dilayan lagi. 

Yang patut kita risaukan ialah musibah di akhirat. Musibah di dunia ini , sifatnya sementara. Silih berganti. Terkadang kena, terkadang tak kena. Jadi, janganlah risau kepada benda yang sementara tetapi risaulah kepada yang kekal. 

Jangan ‘risau’

Kata Saiyidina Ali Bin Abu Talib tentang risau – al hamu – adalah tentera daripada tentera Allah yang dahsyat. Bagaimana ‘dahsyat’nya risau?

Gunung-ganang yang sebegitu kuat, bisa dipecahkan oleh besi. Maka, besilah yang lebih kuat. Akan tetapi besi yang kuat itu ternyata bisa dileburkan oleh api. Maka, apilah yang lebih kuat. Lalu apabila air disiramkan ke atas api, lalu terpadamlah api. Jadi, air adalah lebih kuat. Sekuat-kuat air tetap sahaja ia dikendung/dibawa oleh awan . Dan awan menyangka ia lebih kuat . Sayangnya, angin boleh menggerakkannya ke mana-mana. Maka, anginlah yang lebih kuat. Akan tetapi, angin boleh ditahan oleh manusia dengan tangan dan kain. Maka, yang demikian itu, manusialah yang lebih kuat. Tidak. Belum lagi. Ada yang lebih kuat daripada manusia. Ia itulah tidur. Tidur? Ya, tidur. Sebab dalam kelas pun boleh tidur (apa? Hahaha…Ustaz buat lawak menyindir). Tidur memang kuat tetapi ada lagi yang lebih kuat. Itulah namanya ‘risau’ sebab apabila risau – tidur pun boleh terjaga. Itulah tentera yang kuat.

Dasyat betul penangan risau ini, kan?

No comments: