Friday, December 11, 2015

Ingat Mati

Setelah beberapa ketika memikirkan tentangnya, suatu hari, saya akhirnya menjejakkan kaki ke kawasan yang indah namun senyap dan sunyi ini. Hari ini saya hadir sebagai insan yang bernyawa. Masih ada nyawa. Alhamdulillah, semoga Allah beri keberkatan pada usia ini.


Inilah saya perkenalkan lokasi kunjungan saya tempohari, iaitu Tanah Perkuburan Islam KL-Karak atau juga dikenali sebagai Raudhatul Sakinah. 

Hari saya datang tu bukanlah sebab mengiringi jenazah atau hendak melawat kubur sesiapa, tetapi memang sengaja singgah sebab nak tengok kawasan ini. Ini saya anggap sebagai tempat yang berpotensi untuk saya tinggal sebaik menjengah alam barzah nanti. 

Saya fikir, kalau rumah kediaman atas dunia pun kita sanggup datang cari dan survey sebelum buat keputusan untuk beli dan tinggal di situ, apatah lagi dengan kediaman yang kita pasti huni di alam seterusnya. Bukankah kita patut buat perkara yang sama?

Bila sudah sering lalu-lalang depan kawasan Rauhatul Sakinah ini, (kebiasaannya saya lalu untuk ke Giant-Batu Caves) rasa macam teringin pulak nak tinjau. Nampak sangat terurus dan sistematik. Memang dah selalu cakap juga dengan Encik Suami minta dia kebumikan saya di sini kalau saya meninggal dunia nanti. Saya tak nak balik Perak dan juga tak nak di bawa balik ke Melaka. Saya nak kekal di Kuala Lumpur sahaja...ewahhhh...memilih ngkau!!!


Ingat nak tanya dengan petugas di sini, kalau boleh 'booking' ke ? Hehehe...saja nak tahu kotlah ada syarat-syarat tertentu. Tapi tutuplah pula pejabat hari itu. Apapun, saya sudah juga meninjau laman epusara Jabatan Agama Islam Wilayah dan mendapati sebagai warga kawasan berhampiran, in shaa Allah, termasuk dalam kariah yang layak disemadikan di Raudhatul Sakinah.

Apapun siapalah kita untuk menentukan tanah kubur kita kat mana bukan? Ini semua urusan Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui. Sebagai hamba, kita ikut sahaja ketentuan Allah. Mati di mana-mana sahaja bisa terjadi. Mati adalah pasti. Tak kisah bagaimana dan di mana, yang penting mesti mati sebagai hamba Allah yang Dia redha. Yang tu kena diusahakan. Dilipat-gandakan.

Mudah-mudahan Allah permudahkan untuk saya, dan untuk kita semua.

No comments: