Memanglah ujian yang Allah beri kepada setiap seorang dari kita ni tak sama. Begitu saya termangu kala terfikirkan bagaimanalah nasib seorang sahabat satu tempat kerja yang rumahnya habis musnah keseluruhannya dijilat api tika satu Malaysia masih hangat merayakan Aidil Fitri. Kalau saya berada di tempat dia...bagaimana agaknya? Mampu ke saya bangkit dengan senyuman di muka? Saya tak ada jawapan.
Begitu juga ketika sahabat saya kak Lotuslily yang baik hati tu diuji dengan kematian anak sulungnya. Anak sulung dari 3 beradik. Anak yang usianya baru awal 30an. Antara percaya dan tidak saya menghadiri majlis pengebumian dan tak ada banyak kata-kata untuk diberikan kepada kak Lotuslily yang luarannya tampak gah memamah dugaan yang bukan kecil. Dan sehingga kini kami kerap tersasul...tersasul tentang hari lahir arwah bulan ini...tersasul tentang kisah-kisah arwah yang seakannya masih segar dalam ingatan. Arwah pernah juga membantu saya menguruskan suatu hal...anak yang baik orangnya. Teringat waktu kunjungan saya ke rumah mereka bertahun dulu, arwah tidak segan silu duduk bersama melayan dan makan nasi lemak sambil rancak bercerita. Justeru, apabila hal ini terjadi, membayangkan perasaan seorang ibu itu apatah lagi...sedangkan saya yang tiada apa-apa ini pun terasa. Itu ujian kakak saya seorang ini. Allahuakbar, tak dapat membayangkan kalau ujian sebegitu Allah ajukan kepada saya.
Dan ketika memandang sekeliling, saya nampak sekian banyak ujian yang perlu sahabat2 yang saya kenal tempuhi. Masing-masing dengan cara dan hal tersendiri. Betapa lemah dan tidak berdayanya kita manusia sebagai hamba Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Dia yang Maha Esa. Orang kata berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dengan ujian-ujian seperti ini, ujian yang Allah beri untuk saya rasanya seperti tiada apa-apa yang harus saya rungutkan.
Kata seorang Ustaz dari negara tetangga perihal kisah dia belajar erti redha dari seorang adik kelainan upaya. Setelah sekian lama menderita, tiba suatu ketika si adik dalam kesakitan yang amat sangat lalu si abang bertanya kepadanya."Apa yang membuatkan kamu begitu kuat meneruskan ibadah? Tidak kah kamu terasa seperti ingin mengadu dan meminta supa dihilangkan semua kesakitan ini? Dalam keadaan begini, kamu masih mahu buat itu ini sedang kamu punya alasan untuk tidak melakukannya". Lalu begini jawapan si adik yang ternyata imannya begitu menebal - " Aku bersyukur dijadikan begini. Orang yang sihat itu mereka punya kekuatan untuk membuat amalan yang banyak, sedang aku cuma mampu berbuat sedikit cuma. Aku berharap semoga Allah berkenan menggantikan kesusahan ini dengan ganjaran yang banyak dengan Aku menjadi hambaNya yang redha".
Betul kan? Sangattt!
Bila Allah beri sesuatu, ianya pastilah sesuatu yang terbaik. Lain orang, lain kemampuannya. Kalau Allah beri dia kesihatan yang baik, maka,sewajarnya nikmat kesihatan itu membolehkan dia - ikut logik akal - lebih kuat dan banyak beribadah jika hendak dibandingkan dengan orang yang selalu sakit-sakit. Kaki kuat boleh berjalan sampai ke masjid. Maka, di akhir nanti Allah akan tanyakan ke mana dia manfaatkan kesihatan yang baik itu. Lalu, bagi kes yang seperti adik ustaz itu, Allah beri dia kesihatan dan kemampuan fizikal yang terbatas. Maka, tentulah tidak adil jika dipertanggungjawabkan serupa orang yang sihat seluruhnya. Dalam keadaan terhad itu, masih juga dia mahu buat sehabis baik, mengharapkan ganjaran dari Allah Yang Maha Mengasihani. Harus kita berasa malu kerana tidak punya alasan lagi sering mendustakan nikmat yang Dia kurniakan.
Saya ingin menyimpulkan sebegini : selagimana kita hidup di atas muka bumi Allah, selagi itulah kita tidak akan sunyi daripada ujianNya. Bermula bayi hinggalah ke tua bangka, pasti ujian demi ujian datang silih berganti. Kita akan diuji dengan 4 perkara :
1. Ujian untuk patuh dengan segala suruhan Allah.
2. Ujian untuk menjauhi segala apa jua yang Allah larang.
3. Ujian dalam bentuk nikmat dan kesenangan.
4. Ujian dalam bentuk musibah dan kesusahan.
Jangan harap untuk hidup di dunia bersenang lenang tanpa perlu memikul tanggungjawab. Patut rasa takut dan hairan kalau semuanya terasa nyaman belaka. Lepas ni jangan takut-takut lagi, jangan risau, jangan gundah...hidup mesti terus, ujian mesti ditempoh - cara bagaimana kita menghadapinya itulah (seharusnya dengan sabar dan solat) yang akan memastikan peningkatan darjat dan iman kerana ujian itu, kalau ianya berhasil ditempuhi dengan jaya akan menghapuskan dosa serta membanyakkan pahala (kerana sabar dan redha). In shaa Allah.
No comments:
Post a Comment