Thursday, August 27, 2020

Sebenarnya begini, bukan begitu

Ada satu kejadian pagi ini yang sangat membuka mata hati dalam membantu mengenali dan memahami manusia. Sesuatu yang bukan tidak diketahui namun kurang mendapat perhatian. Kita selalu dianjurkan untuk tidak mudah bersangka buruk atau mudah menjatuhkan hukum dalam menilai seseorang manusia. Mungkin kita rasa ianya mudah untuk dilakukan, namun dalam banyak keadaan sebenarnya kita tak mampupun meletakkan diri pada kedudukan seseorang itu sehingga menyebabkan kita cenderung memberi penilaian tertentu berdasarkan pengamatan kita semata.Justeru, akan sentiasa ada ruang untuk kesilapan berlaku.

Perkara ini terjadi kepada diri Telipuk sendiri. Pendek kata, kisah benar...hahaha. Macam ni ceritanya. Selepas agak lama tak menjejak tayar kereta ke basement parking L-4, Telipuk hari ni teringin pulak nak parking di situ. Sebenarnya nak sengajakan diri terserempak dengan kawan baik geng Bakit...ada benda Telipuk nak bagi kat dia , jadi kalau park dekat-dekat senanglah nak pass barang...bukan ringan nak jinjing ke sana ke mari kannn. Dia pulak datang awak, memang cenderung parking kat situ. Lately , Telipuk sekitar jam 8 baru sampai, jadi tak berani nak ke L-4, takut penuh sebab bersekali dengan tenant. Okay, tak apa, dah siap parking kotak yang sesuai Telipuk putuskan untuk naik ke pejabat dulu. Nanti baru turun jumpa kawan sebab nak makan sekali, later baru gi transfer barang.

Masa naik lif tu, dari L-4, berdua dengan seorang wanita. Sebab masing-masing dah rupa macam surgeon, tak nampaklah saling berbalas senyum ke tak hahaha...Anyway, seperti biasa leka je membelek handphone kat tangan. Bukan apa, nak bukak aplikasi COVID-19 siap-siap, senang nak hantar daily report. Kalau tak, asyik la terlupa nak update. Sampai kat L-2, pintu lif terbuka. Ada 3 orang lagi penumpang nak masuk. Telipuk ni dengan niat suci cepat-cepat tekan butang untuk pastikan pintu lif terbuka, nak bagi orang masuklah kan. Tekan tekan, ishhh awat la pintu lif nak tutup jugak, lepas sorang penumpang masuk, sib baik tak tersepit. Bila dia masuk dia tekan butang satu lagi...dalam kepala Telipuk, eh, kenapa nak tutup...kan ada 2 orang lagi belum masuk. Telipuk pun tekan lagi butang tu dengan niat nak override orang tu. Mata kabur Telipuk (berkabus daaa pakai mask ni...hampeh) macam nak terbelalak tengok butang yang Telipuk tekan. Allahuakbar...Telipuk tekan butang 'close' rupanya. Mamat yang lepas masuk tadi tu yang actually try to override Telipuk dengan menekan butang 'open'. 

Adoiiii...Terus Telipuk pun cakap alamak...sorry...saya salah tekan rupanya...ingatkan open tadi. Aduhhh...malu siutt. Kalaulah ada pemerhati yang hanya melihat tapi tidak menangkap kata-kata Telipuk tu tentulah dia punya pandangan dan kesimpulan, apalahhhh buruk benar perangai mak cik ni, so selfishhhh! Dan begitu juga salah sangka Telipuk ingatkan orang lelaki tu nak cepat-cepat tutup lif, rupanya dia nak menahan pintu lif dari tertutup. Alangkah lemahnya manusia ini, sentiasa ada salah dan silap. Kalaulah kita ni tak berlapang dada...atau ego, haruslah banyak masalah tak selesai. Itu baru masalah lif. Belum lagi masalah lain-lainnya. Sekecil-kecil masalah boleh jadi besar bila kita terus melulu menjatuhkan hukum dan enggan mendengar atau menerima penjelasan. Jadi, kita sukar untuk mengubah pandangan. Satu perkara yang orang tu tersalah, selama-lamanya kita sudah cop eh kalau dengan dia ni kau kena jaga-jaga sikit. Padahal mungkin dalam satu-satu situasi adakalanya cara bereaksi atau tindak balas itu membuahkan tanggapan yang tidak benar sedangkan kalau diperhalusi, ada sebab musabab lain di sebaliknya. Masalah kita ialah bila kita ni mendengar dengan niat nak membalas, bukan dengan niat untuk memahami.

Jadi pagi ini Telipuk betul-betul merasakan perasaannya melakukan sesuatu bukan dengan niat jahat namun terlihat di mata orang begitu. Melainkan orang tersebut bertanya atau mendapat penjelasan, barulah boleh faham kenapa dan mengapa sesuatu itu berlaku seperti yang jelas tertangkap dek mata kasar. Namun bagi yang malas dan terus nak buat kesimpulan, amat malanglah kerana gagal menyingkap kebenaran sehingga boleh pula menimbulkan salah faham.

Sungguh, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang manusia nyatakan atau sembunyikan meski jauh terbenam dalam hati. Siapalah kita manusia untuk menghukum sesama sendiri sesuka hati. Dan hanya kepada Allah jua kita berserah atas segala hal. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kuasa Allah Yang Maha Esa. 


No comments: