Friday, July 31, 2026

Hidung Tinggi

Pernah tak anda jumpa orang yang kalau berborak, semua benda dia tahu, semua benda dia ada, dan jawapan dia sentiasa serba-serbi dialah yang 'terpaling' gituuuu. Tak ke time tu kita rasa macam haishhh...kenapalah aku terserempak dengan makhluk ni, kan patut tadi lalu jalan lain aje kan...hahahaha

Penyakit ini namanya 'sombong'. Juga disebut sebagai 'angkuh', 'besar kepala', 'arrogant', 'berlagak' dan seumpamanya. Dalam dunia hari ini, kadang-kadang garisan antara "yakin diri" dengan "sombong" itu nipis sangat. Tapi dari sudut kemanusiaan dan keagamaan, sombong sebenarnya satu bahaya senyap yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia dan paling menakutkan, hubungan kita dengan Allah SWT. Uiiii...bahayaaaaa.

Kalau kita fikir balik, dosa pertama yang berlaku kat alam semesta ini bukannya mencuri atau membunuh. Dosa pertama yang direkodkan adalah dosa sombong. Masa Allah perintahkan semua makhluk sujud tanda hormat kepada Nabi Adam AS, Iblis secara rasminya menjadi peneraju atau "pengasas" sifat sombong ini. Dialog Iblis ringkas je bila diarah sujud. "Aku lebih baik daripada dia! Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah!" (Surah Al-A’raf: 12).

Iblis rasa darjat dia lagi tinggi sebab dia diciptakan daripada api, manakala Nabi Adam "cuma" daripada tanah. Tanah yang dipijak-pijak, tanah yang kotor lantas dipandang rendah lagi hina. Dek kerana sifat mendada dan ego ini, Iblis yang dulunya ahli ibadah terus ditendang keluar dari syurga dan dimeterai sebagai penghuni neraka selamanya. Hanya disebabkan satu rasa sombong, tak pasal-pasal habis hilang semua 'track record'  kebaikan dia. Seram, kan? (Dan bodoh sebab degil, ketegaq tak mau ikut perintah Allah!)

Selain kisah kesombongan Iblis, Al-Quran sebenarnya dah bagi banyak contoh 'real-life' pasal nasib orang yang simpan ego sebesar gunung. Kesudahan mereka semua lebih kurang sama. Berakhir dengan tragis. Antaranya kisah Firaun. Firaun ini tahap sombong dia dah tak boleh bawa bincang. Bukan setakat rasa diri dia pandai, tapi sampai mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kata Firaun, "Akulah tuhan kamu yang paling tinggi!" (Surah An-Nazi'at: 24). Kesudahannya, Allah tenggelamkan dia dalam Laut Merah bersama tenteranya. Bila dah nak lemas baru nak mengaku percaya pada Tuhan Nabi Musa, tapi masa itu jawapannya...sayang semuanya sudah terlambatttt...!

Selain Firaun, Qarun juga seorang yang sombong. Qarun ini kaya dia luar biasa. Kunci gudang harta dia sahaja kena diusung oleh beberapa orang lelaki gagah. Tapi bila orang tegur supaya jangan sombong dan ingat Allah, dia jawab: "Harta ini aku dapat sebab ilmu dan kepandaian aku sendiri!". Punyalah sombong tu, langsung tak sebut Allah . Ending dia macamana pulak? Allah telankan Qarun hidup-hidup bersama dengan semua harta-benda dan mahligainya ke dalam bumi. Sebab itu sampai sekarang kalau kita jumpa harta tertanam, kita panggil "harta Qarun" .

Ingat tak cerita dalam Surah Al-Kahf pasal lelaki yang ada dua kebun kurma dan anggur yang subur? Dia berlagak dengan kawan dia yang miskin. Katanya, "Harta aku lagi banyak dari kau, pengikut aku lagi ramai. Kebun aku ni takkan musnah punya!". Macamlah dia boleh kawal apa yang bakal berlaku. Sekelip mata dalam masa semalaman sahaja, Allah hantar ribut dan musnahkan kebun dia sampai habis licin. Tinggallah dia gigit jari sambil menyesal.

Nak gambarkan orang sombong ni mudah saja, orang sombong ni selalunya menjadi orang terakhir yang perasan diri dia sombong. Ia ibarat ketiak berbau. Orang kat sekeliling kita dah nak terpengsan tahan nafas, tapi kita rileks je angkat tangan borak macam biasa. Uwekkk!

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sombong itu adalah "menolak kebenaran dan memandang rendah pada orang lain."Bila kita mula rasa: "Alah, dia tu budak baru, tahu apa?", "Pendapat aku je betul, orang lain semua merapu." atau "Dia kaya sebab kabel, aku kaya sebab usaha sendiri."...Haa... berhati-hatilah. Itu tanda-tanda awal "virus" Iblis dah mula nak bertunas dalam hati kita.

Masalahnya, sifat sombong ini bukan sekadar ada dalam sejarah atau cerita lama. Kita selalu je terserempak dengan "spesies" ini dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam persekitaran tempat kerja. Pernah tak jumpa bos atau rakan sekerja yang sombong sebab pangkat dan kuasa? Jenis yang bila kita baru nak buka mulut bagi cadangan atau idea kreatif, dia terus potong cakap, "Tak payah, cara tu tak menjadi. Ikut cara aku!" Bila hal ini jadi kebiasaan, kesannya sangatlah 'lelah'. Anak buah terus hilang semangat nak berbincang, daya kreativiti terpadam, dan akhirnya semua orang pilih untuk 'play safe' jadi senyap je dalam mesyuarat. Mesyuarat pejabat pun bertukar jadi sesi monolog seorang pengerusi!

So, kalau berhadapan dengan situasi macam ini, apa yang patut kita buat agaknya? Orang kata ada beberapa kaedah atau strategi halus yang boleh dipraktikkan bagi mempertahankan daya kreatif dan kesihatan mental tanpa perlu berperang ego:
Antaranya :

1. Gunakan Taktik "Puji Dulu, Selit Kemudian"

Orang yang tinggi ego selalunya dahaga pengiktirafan. Sebelum kemukakan pandangan anda, puji atau validate dulu poin dia. Contoh, "Saya setuju sangat dengan objektif yang bos cakap tadi. Untuk kukuhkan lagi, apa kata kalau kita selitkan sikit elemen X ini?" Bila dia rasa idea asal dia dihargai, dia kurang rasa terancam untuk dengar idea anda.

2. Sandarkan Pada Data, Bukan Rasa-Rasa

Bila bercakap dengan orang yang sombong kuasa, elakkan guna ayat "Saya rasa..." sebab mereka mudah patahkan. Guna ayat yang disokong bukti seperti, "Berdasarkan data laporan bulan lepas...". Agak sukar untuk sesiapa menyangkal fakta bertulis.

3. Pick Your Battles

Kena ingat bahawa tak semua isu kita kena pertahankan sampai letih. Kalau hal itu kecil dan tak beri impak besar, biarkan sahaja dia dengan egonya. Simpan tenaga dan kreativiti anda untuk cadangan atau projek yang benar-benar penting.

4. Don't take it personal !

Ingat, cara dia potong cakap atau abaikan pandangan anda sebenarnya mencerminkan ketidakstabilan ego dia sendiri, bukannya nilai keberadaan atau tahap kepandaian anda. Bila kita faham masalah itu datang dari dalaman dia, kita takkan mudah terasa hati.

5. Jangan Biarkan Kreativiti Anda Mati

Kalau pintu idea di pejabat disekat rapat, cari saluran lain. Tulis blog, buat projek sampingan, atau kongsi buah fikiran anda di ruang lain. Jangan biarkan ego seorang bos membendung potensi sebenar anda.

(cakap memanglah senangkan....)

Cubalah muhasabah diri kita. Bila kita rasa nak bangga diri sama ada sebab pangkat, rupa, harta, atau ilmu, cuba tarik nafas dalam-dalam dan ingat balik. Masa kita lahir dulu, kita tak bawa seurat benang pun. Bila kita mati nanti, kita cuma dibungkus kain kafan putih tanpa poket.  Kalau Allah tahan oksigen 5 minit sahaja, kita dah tak boleh buat apa-apa. Jadi, apa sangatlah yang kita nak sombongkan? Tak rugi pun jadi orang yang rendah diri (tawaduk). Orang yang tawaduk ini, makin dia tunduk, makin orang hormat dan sayang. Paling penting, Allah akan angkat darjatnya.

Semoga hati kita sentiasa dipelihara daripada cebisan sifat sombong, walau sekecil zarah. Sebab syurga itu terlalu indah untuk dilepaskan hanya disebabkan satu ego yang tak ke mana.

Wallahu a'lam.


No comments: