Saturday, March 09, 2024

Bila Waktu Telah Terhenti

Tengahari Jumaat lalu, Telipuk mendapat khabar duka yang Cik Boss telah kehilangan seorang insan yang beliau sayang. Allah lebih menyayangi insan tersebut yang telah terlantar sakit semenjak beberapa ketika. Sebenarnya hubungan Cik Boss dengan insan tersebut memang unik bagi Telipuk kerana jarang Telipuk jumpa orang yang betul-betul ikhlas, menjaga dan melayan macam keluarga terhadap insan lain yang langsung tiada pertalian darah. Telipuk banyak mendengar dari Cik Boss kisah arwah ini jadi bila arwah telah tiada, Telipuk rasa terpanggil untuk mengiringi insan yang luar biasa ini ke tempat persemadian abadi. Bagi Telipuk, pastilah ada amalan arwah yang menjadikannya sangat bertuah dan disayangi.

Mengimbas diri sendiri, walaupun Telipuk ini ada keluarga dan sanak saudara yang ramai, belum pasti lagi apakah Telipuk dapat keberuntungan macam mak cik ini. Pendek kata, jangan perasan kita ada segala-galanya maka segala-galanya akan baik untuk kita. No. No. Semuanya atas perkenan Allah Yang Maha Kuasa jua. Tak kiralah kau siapa, pangkat apa, rumah sebesar mana, duit sebanyak mana sekali pun, kalau kau Allah panggil balik, kain kapan tu je lah yang kau mampu bawak bersama. Lain-lain tinggal. Saat ini kau tak perlukan pun segala harta dan wang ringgit. Yang kau perlukan adalah doa sebab kau dah tak boleh nak buat apa-apa lagi, masa kau di dunia dah luput.

Kalau ikut perkiraan atas kertas, insan macam arwah ini mungkin entah di mana sepatutnya menghabiskan hayat terakhir kerana difahamkan dia sebatang kara. Namun asbab kebaikan dan keikhlasannya, Tuhan menghadirkan insan-insan asing yang tak ada pun kena mengena...nak kata bau-bau bacang pun tak ada. Sehingga bila beliau terlantar sakit, dijaga di hospital swasta. Dijenguk dan diperhatikan setiap hari. Dijaga dan disantuni dengan baik. Semoga Allah mengurniakan balasan pahala yang besar kepada keluarga Cik Boss atas kebaikan yang diberikan. Kalau tanya Telipuk, ikhlas cakap yang keluarga sendiri pun kadang macam tak mampu nak layan macam ini, apatah lagi orang kannn. Jadi, kesimpulan yang Telipuk belajar dari kisah ini ialah, kita hendaklah berbuat baik sesama manusia tak kira siapa...usaha untuk jadi baik. Sebab kita tak tahu penghujung kita macam mana, semoga asbab kita buat baik itu Allah akan permudahkan urusan kita dalam segala hal. 

Istimewanya arwah ini sehingga Allah jemput dia balik pada hari Jumaat yang penuh berkah dan dengan kalimah syahadah yang terucap sebagai kalimah terakhir. Itu saja sudah cukup mengharukan. Jadi, Telipuk ke Shah Alam walau sedar hari tu hari Jumaat yang bakal hadir bersama kesesakan jalan kerana bila berpatah balik ke Kuala Lumpur nanti, pastilah tak dapat dielakkan. Telipuk cuma berdoa semoga hajat baik Telipuk itu Allah gantikan dengan sedikit kemudahan. Ketika sampai di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, akak Lotuslily dah ada dengan topi bucketnya. Nampak dia tertunduk-tunduk membelek barisan kubur di hadapan. Owh, rupanya sedang mencari kubur bondanya. jadi, Telipuk terus join sama. Baru nak cakap, eh takkan kau lupa mana satu kubur mak kau kak Lotuslily oiii...rupanya begitulah, di sini saban hari banyak kematian. Cepat benar berubah, baris demi baris kuburan baru muncul. Ketika Lotuslily menunjukkan kuburan arwah anaknya yang Telipuk juga ada datang berziarah dulu...terkejut rasa...eh kat situ ke? Bukan lapang ke tempat tu? Terbeliak mata Telipuk. Lapang mendenya...tu dah penuh weyyy. Patutlah susah nak cam. 

Jenazah tiba sekitar jam 4. Hujan mengiringi perjalanan akhir. Tak ramai, kami adalah dalam 15 orang begitu. Tapi urusannya cepat dan pantas. Alhamdulillah, selesai satu bab. Melangkah pulang, memang ada rasa ragu ketika membuka applikasi waze. Satu jam lebih. Tak pelik, memang dah jangka. Tak apa, janji selamat semuanya. Alhamdulillah juga, perjalanan balik tak adalah susah pun. Walau dalam hujan dan walau ada beberapa sesi 'estimated time in traffic 11 minutes' macam tu...Telipuk okay saja. Waze hantar ikut NKVE, keluar ikut Subang. Sebelum exit Damansara, jalan memang a bit lembab gara-gara ada treler rosak menghadang lorong kiri. Tapi tak pe, Telipuk stay lorong kanan je terus menghala ke Kuantan. Keluar Jalan Duta sebab Duke dah merahhhhhh. Kat Jalan Sultan Azlan Shah (jalan Ipoh) pun sedikit perlahan, tapi ok je tak lama sangat. Sampai rumah just lepas sikit je pukul 6. Alhamdulillahi 'ala kulli hal.

Semoga bila tiba time Telipuk kembali nanti, akan ada juga insan-insan yang tak putus-putus mendoakan Telipuk. Mungkin kita tak blood related, tapi kita semua insan milik Tuhan dan kita semua saudara seagama. In shaa Allah.


Bukan Ku Tak Sudi

Telipuk masih ingat lagi ketika mula-mula belajar sunnah dan tadabbur Al-Quran dengan Ustaz Muein. Rasanya sekitar 2006. Ustaz selalu pesan, kalau nak minta syurga tu, mintalah syurga yang paling tinggi. Firdaus namanya. Memang Nabi pun mengajarkan begitu. Tiba-tiba umatnya pula tak ikut. Bukan tak mahu, tapi malu sebab rasa tak layak. Cepat Ustaz menempelak...wahhh kalau bab dunia kita berlumba-lumba nakkan yang terbaik, tapi bab akhirat acuh tak acuh. Masa tu Telipuk dengan Sirap Madu cuma mampu tersengih-sengih. Di belakang Ustaz, kami membuat kupasan pandangan. Kami berdua kata, jangankan Firdaus...kalau dapat tempat yang sipi-sipi , asalkan masuk kawasan syurga mana-manapun kami rasa sudah cukup. Telipuk kata, tak dapat istana tapi dapat duduk kat perdu pokok dalam syurga pun alhamdulillah bagi Telipuk. Kiranya asal jangan kena tempias bahang neraka. Macamana nak cakap ye? Bukanlah niat tu tak mahu Firdaus, nakkkkk. Tapi rasa macam tak terjangkau. Lepas-lepas tu memang baca dan minta jugak doa untuk mendapatkan Firdaus. 

Hari ini Telipuk teringat kembali alasan kenapa Telipuk rasa perdu pokok tu memadai. Tengahari tadi Telipuk nak keluar, jadi Telipuk masuk ke kereta yang berjemur tengah panas tu. Maklum sajalah kan , sekarang musim panas El-Nino tu ye tak...bila buka je pintu kereta, mengucap panjang rasa. Bahangnya rasa macam nak melompat lari keluar. Belum seminit duduk nak hidupkan enjin bagai, dah rasa tak sabar-sabar nak cepat-cepat sejuk. Telipuk pun membayangkan, macamanalah Telipuk mampu nak bertahan dalam neraka kalau....nauzubillahi min dzalik...gila kauuuu. Astaghfirullah, janganlah kesudahan yang buruk menanti diri ini. Lalu perdu pokok itu kembali tersemat dalam ingatan Telipuk, sanggup Telipuk terima asalkan bukan jahannam. Bukanlah syurga itu tidak menggiurkan, tapi neraka itu sesungguhnya sangat-sangat menakutkan. 

Wednesday, March 06, 2024

Rindu

 Sesekali bila terasa rindu untuk mencoretkan sesuatu di sini...Bila dijengah, wah, sungguh benar-benar berdebu blog Telipuk ini. Hendak dipadamkan, terasa sayang. Maklumlah, coretan di dalam blog ini sesungguhnya membantu Telipuk mengimbau dan belajar banyak benda juga. Manusia katakan. Sering saja terlupa akan apa yang pernah terjadi dulu. Peristiwa itu kalau ianya meninggalkan kesan, memanglah mudah nak ingat. Cuma masalahnya, cara bereaksi dan tindakan sesudahnya itu biasa tak ingat pun. Jadi, kadang-kadang bila baca balik sesuatu catatan itu...agak kelakar bila Telipuk bertanyakan diri sendiri...eh, macam tu eh? Iya ke aku fikir macam tu ? Oooo...patutlah masa tu aku buat macam itu ini. Hahaha...refleksi diri tak pasal-pasal. Eh baguslah kan, kita kan belajar dari pengalaman. Makanya, hujung-hujung Telipuk memang tak termampu nak menguburkan blog ini. Ini pun Telipuk dah peram lama, memang ada buat sedikit entri tahun lepas, tapi Telipuk tidak pamerkan blog ini kepada umum. Ada kawan tanya, bila nak ON...rindu nak baca...hahaha...ada yang rindu jugak eh? Perasan baguslah sekejap. 

Akhirnya pagi ini Telipuk masuk tengok dan hemmm...oklah, boleh kembali mencatat. Sebab apa? Sebab Telipuk tak suka menggunakan Facebook, ramai sangat kawan hahahaha. Itupun Telipuk dah remove ramai dan maintain tinggal dalam 400 orang ke...tu pun ramai kot...Telipuk bukan buat bisnes ke apa ke nak kenal ramai-ramai orang...Last-last bila nak share something rasa tak best pulak. Telipuk tetap kekalkan Facebook untuk tujuan nak senang dapatkan maklumat je. Senang nak masuk kuliah online. Tapi sekarang dah ada Insta dan Tik Tok jugak. So, tak banyak aktiviti kat Facebook. Insta a bit better sebab masa dari awal pun Telipuk tak accept ramai follower, jadi senang nak kawal. Macam Facebook tu masa join kan kita menggila accept dan nak kawan dengan ramai orang - maklumlah, kawan sekolah tadika lah, kawan itu , kawan ini...tapi bila dah stabil ni macam tertanya jugak...perlu ke? Now bila Telipuk remove friend macam eh risau pulak orang fikir apakan...tapi tak pelah, redah je sebab bukan kenal sangat pun. Anyway, orang Libra macam Telipuk ni memang biasanya punya circle of friend yang kecil amat je...tiberrrrrrr....;). Tik Tok tu pulak Telipuk memang late adopter, asal join sebab geng PhD suruh follow tips sorang Dr ni...then bila tragedi 7 Oktober berlaku, Telipuk memang mengadap ikuti perkembangan di sana. Lepas tu mula pandai tengok itu, tengok ini...yelah, algorithm kan...tengok video kucing , sebab senangkan pendek-pendek videonya. Last-last now dok masuk kedai pulak gara-gara terbeli set cadar mudah, dapat harga 1 sen wey lepas tolak macam-macam diskaun...uiihhhh gila sekejap jadinya hahahahaha...begitulah kisahnya penglibatan Telipuk di media sosial. 

Telipuk rasalah, bila lama tak menulis...memang selalu tumpul idea. Dan bila menulis rasa tak lancar sebab idea tersangkut. Semenjak dua menjak kembali menulis, walau genre nya berbeza...memang trigger balik semangat nak menulis kembali kat sini. And knowing me, (yang jenis hangat-hangat taik ayam ni), the moment perasaan tu datang...baiklah kau terus luahkan. Kalau tak memang tak menjelma sampai ke sudah. Jadi, yeah...why not. Just share some thoughts here...feel so good already! 

Jom tengok, berapa lama pulak kali ini hahahaha...



Sunday, August 20, 2023

Manisnya Musibah

 Bukan senang untuk seorang ibu mengungkapkan kata 'syukur' ketika ditanya wartawan yang menemuramah usai pengkebumian jenazah anaknya. Namun itulah yang keluar dari mulut ibu kepada salah seorang mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina. Kata-kata yang indah dan mengharukan. Dan seorang ayah menyatakan ini adalah ketentuan Allah maka kena terima qada' dan qadar Allah. Seorang abang pula menyebut betapa jika usia menjadi ukuran, seharusnya dialah yang pergi dahulu. Namun ternyata mati itu bukan syaratnya tua. Ajalnya sudah tiba lalu kepada Allah dia harus kembali. Kata si abang itu lagi, kematian adiknya bukanlah sesuatu yang harus ditangisi, sebaliknya ia harus dicemburui. Peribadi arwah ternyata seorang yang menyenangkan, tidak pernah langsung bercakap kasar terhadap kedua ibubapa. 

Lalu Telipuk yang semenjak beberapa hari ini tidak culas menunggu siaran berita, hari ini juga diam-diam menyeka airmata. Betapa terharunya. Dan sungguh Telipuk bangga dan takjub dengan reaksi mereka. Inilah yang membezakan antara insan yang muslim dengan yang kufur dalam menerima kematian sebagai ujian di dunia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA , beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia Baginda menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf RA kepada Baginda maksudnya, " Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah?". Maka sabda Rasulullah SAW, "Wahai anak Auf, sesungguhnya ia adalah rahmat". Kemudian Baginda bersabda, "Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhkan kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih". (Hadis riwayat Al-Bukhari). 

Kesedihan itu bukanlah sehingga meratapi kematian dengan tindakan yang bercanggah seperti menangis dengan suara yang kuat atau meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan , menarik rambut dan lain-lain perbuatan yang keterlaluan. Tegahan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir : mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat". (Hadis riwayat Muslim).

Semoga Allah gantikan musibah ini dengan sesuatu yang lebih baik yakni menganjarkan pahala yang berlipat ganda atas kesabaran dalam mengharungi ujian.



Friday, August 18, 2023

Muram

Hari yang sentimental betul. Dengan cuaca yang redup muram. Sayu je. Tumpah jugaklah airmata ni beberapa kali. Tak tau le , sedih bebenor rasanya. Betullah ajal maut tu kan ketentuan Illahi. Bukan tak paham...paham. Cuma dah namanya manusia...kalau robot tu lainlah kan. Tengok video dan baca komen kat Tik Tok pun boleh mengundang airmata. Siapalah yang sangka kan? Kalau ikut bacaan logik kita...memang tak terfikir. Perjalanan yang sepatutnya biasa-biasa dan tak ada apa-apa, boleh pulak jatuh kapalterbang. Itulah namanya kemalangan. Macam kita memandu kereta, dah jaga kiri kanan depan belakang....terfikir ke nak jaga atas? Benda yang tak dijangka tapi itulah yang Allah tetapkan. Dan ada seorang ibu memanjatkan kesyukuran kerana kenderaan yang membawa anak-anaknya pulang dari sekolah terselamat. Melalui jalan yang sama namun nasib tidak sama , dipisahkan oleh jarak dan ketepatan masa. Benarlah, jika ajal itu sudah sampai tidak akan diganjakkan walau barang sesaat dua. 

Semua yang kita saksikan ini sesungguhnya adalah kebenaran yang sangat jelas. Bahawa kematian itu benar. Dalam 2 bulan ini, Telipuk sudah mendirikan 2 kali solat jenazah. Kalau perkataan kematian itu ditanyakan kepada Telipuk akan hakikatnya, pastilah Telipuk jawab dengan yakin yang ianya sangat benar dan pasti berlaku. Cuma tak tahu bila. Mati memang pasti mati. Masa dan bagaimana itu Allah sahajalah yang tahu. Itu yang hairankan....dah tahu ke situ bakal pergi, kenapa macam masih gaya tu macam tak ingat nak balik eh? Persiapannya ala kadar. Asal ada. Asal buat. Awak solat? Eh solatttt...tak tinggal weyyy, sehari 5 kali penuh. Puasa pun tak tinggal. Tapi takat itu je la. Buat lebih-lebih tak nak. Semua sekadar cukup syarat. Tapi nak macam-macam eh....nak syurga firdausi bagai...haaaa....lu sendiri pikir la eh. Nak tulis banyak-banyak pun macam tak reti dah ni.

Sesungguhnya hanya kepada Allah lah kita semua akan dikembalikan. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa dan menempatkan roh saudara kita yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Amiiinnn.


Sunday, January 01, 2023

Jalan-Jalan Jepun

Entri tertunda ini Telipuk karang pada 28 Disember lalu. Pada hari kejadian, Telipuk dan anak-anak membuat keputusan makan di luar. Destinasi yang di tuju kali ini ialah Lotus Rawang (Tesco). Sebab Telipuk rasa macam nak makan pasembor yang sedap kat food court di sini. Sekali bila sampai, Telipuk tukar selera mintak kueyteow sup di gerai sebelah hahaha...Bukan apa, masa berdiri meninjau bahan pasembor tu, tetiba teringat senarai kalori kat gerai minuman. Telipuk kan order teh tarik...haaa berapa dah tu? Nak makan pasembor lagi? Sila lah insaf. Tu pasal lah tukar arah hahahaha.

Selepas makan kami bergerak ke tingkat 1. Sajalah jalan-jalan kasi hadam makanan tu kannn. Mula-mula singgah tengok kucing kat kedai pet. Satu kemestian kalau datang sini, mesti nak jugakkk tengok kucing tu. Aiii greammmm aiihhhh!!! Lepas tu kami masuk ke kedai Jalan Jalan Jepun (JJJ). Haaaa...dulu tak ada tau kedai camni. Besorrr. Di sini dijual pre-loved barangan dari Jepun. Macam bundle lah kan? Ramai rupanya peminat. Macam-macam ada. Pinggan-mangkuk, barangan hiasan, kasut, baju, beg, alatan sukan, barangan bayi, stuffed toys, gundam, kamen riders hahaha...ultraman mana? ultramana mana? Doraemon ada jumpak! Seronok jugaklah tengok...tennis racket yang nampak still elok sekitar harga RM40...ishhh geramnya (macamlah ko main tennis!). Set kayu golf pun ada nih....(kalau beli just utk suka-suka boleh la kan...belajar golf kat Tasik Puteri selepas pencen...#buangtebiat.... hahahahaha).


Telipuk singgah dekat rak pinggan mangkuk dan cawan. Hemmm....belek sana belek sini. Menarik jugak eh.



Pinggan kecik ni comel kan...ada 5 beradik ni, berlapis-lapis kat belakang depa lekat. RM25 jer...hahahaha. Rasa nak beli je. Tapi pikir-pikir, nak buat apa la pinggan-pinggan ni, yang kat rumah pun berlambak. Ishhh...dah...dah...letak balik!



Hat ni pun cek macam berkenan juge hehehe...Ada 6 bijik nih. Kembung perut minum teh hijau hahaha. Saja je suka. (Dahhh...jangan nak membeli ye...tak de gunanya , buat menyemak rumah je).



Omooo ommoooo....santekkk! 



Noritake tu hahahaha...tapi set tak lengkap lah. RM10 harga cawannya ni. Still in good condition, nampak macam baru pun. Kena pandai cari dan pilih lah. Patutlah ramai je yang khusyuk memilih supaya berbaloi-baloi membeli kan. Kena ada kemahiran dan ketelitian dalam membuat pilihan. Mungkin ada 'permata' yang terselit. Actually, ada juga jenis gelas yang mungkin ada suka beli untuk koleksi. Contohnya aneka jenis gelas Coke (Coca Cola) dengan rekabentuk yang tersendiri. Hello Kitty pun ada. Collectibles macam ni mungkin ada peminat.

Oh ya, Telipuk beli alas untuk sangkar kucing. Ala...RM5 je....so okaylah. Itu barang-barang baby sebenarnya. Tak kisahlah, my cats are my babies hehehehe. 


Kompang Dipalu Lagi

Alhamdulillah, sempurna sudah majlis walimah anak ke-2 arwah abang Telipuk yang berlangsung pada 23 Disember 2022. Kami tak buat besar-besaran pun. Hanya pasang sebuah khemah sahaja dan jemputan sekitar 200 orang iaitu saudara-mara, jiran tetangga dan kenalan rapat. Walaupun rasa risau takut makanan tak cukup (biasa cater untuk skala besar kann hahaha), alhamdulillah, memang ngam-ngam ho. Last tetamu datang sekitar pukul 4 petang masih dapat merasa lauk kenduri. Kali ini memang tuan rumah pun dapat semangkuk je baki ayam masak merah. Ayaq asam habis, daging kurma habis...nasi pun habis jua sempatlah dapat sepinggan buat ulang makan malam. Jadi, tak ada berlaku pembaziran. 


Majlis sambutan di sebelah pihak lelaki berlangsung pada 31 Disember 2022, bertempat di Taman Malinja, Jalan Langgar, Alor Setar. Selang seminggu la Telipuk mengukur lebuhraya. Tak apalah, asalkan semua gembira. Tak kena pulak kalau tak balik. Masa balik kenduri di Bagan Tiang tu boleh tahan sesak highway tu...makan masa 5 jam jugak nak sampai. Balik kali ini alhamdulillah, tiada masalah kesesakan. Mungkin sebab cuti panjang selepas Krismas yang bersambung dengan tahun baru, ramai yang sudah membuat perjalanan pergi/balik. Cumanya masa nak ke Aloq Setaq tu traffik memang banyak tapi masih bergerak. Makan masa 2 jam untuk sampai. Tapi kami sempat singgah melegakan urat sendi dan minum Costa Coffee di Stesen minyak Shell RnR Gurun. Sajalah sebab pengantin nak berarak pukul 1 tengahari, haaa sampai awal pulak kang. Rombongan kami cuma 2 biji kereta je...Telipuk bawa 5 penumpang and kakak Telipuk tiga beranak naik kereta satu lagi. Lain-lain tak dapat join atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tak apalah, sebab majlis di tempat sendiri dah selesai. Janji dengan pengantin untuk tunggu di Masjid Nurul Ehsan yang terletak berhampiran dengan rumah. Telipuk puji masjid ini memang mempunyai halaman yang sangat luas dan bersih. Kemudahan tandas pun Telipuk bagi gred A+. Cantik dan bersih. Rasa sangat-sangat selesa.



Pengantin datang je terus kami berkonvoi ikut belakang. Sampai je terus disambut meriah dan bergambar dulu sebelum dijemput makan di meja yang disediakan. Sempurna sungguh aturannya. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.


Bergerak keluar sekitar jam 2.15. Kami singgah semula di Masjid Nurul Ehsan untuk menunaikan solat zohor. Jalan sesak menuju ke exit highway. Dan sesak berperingkat-peringkat di setiap tol. Maklumlah banyak pulak tolnya...Tol Alor Setar(U), lepas tu Tol Sg. Dua, lepas tu Tol Juru...Nasib baik la lorong RFID lapang. Kalau tidakkkk...hemmmm bila tahun nak lepas. Tapi tak kisahlah sebab kami bukan rushing pun, nak balik Parit Buntaq je...busuk-busuk kot ye pun nak jem 3 jam je ahaksss...tak lah macam sangkut di area Sungkai/Bidor/Gopeng tu...huhuhuhu.



So, dengan termeterainya ikatan pernikahan ini, kesemua anak perempuan arwah abang Telipuk telah selamat bergelar isteri orang. Tinggal yang bongsu je, tapi tak pe, yang tu lelaki. Bila tak ada mak ayah disisi ni, harapkan mak pak sedara memantau, apa sangatlah. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kebaikan yang banyak dan memberkati kehidupan mereka semua. Aamiinnnn.