Saya belajar satu benda yang saya rasa penting untuk dikongsikan di sini iaitu bagaimana untuk mencapai ikhlas dalam setiap perbuatan. Caranya mudah sahaja, tetapi, saya jamin ianya sangat payah untuk dilaksanakan. Pernah tak berada dalam situasi bilamana kita merasakan kita telah membuat sesuatu dan mengharapkan seseorang 'mengiktiraf' usaha itu atau setidak-tidaknya, kalaupun tiada balasan setimpal harus ada secebis ucapan terima kasih? Biasa, kan? Kalau begitu selalunya kita mengharapkan 'balasan', maka, belumlah lagi kita ini ikhlas dalam perbuatan.
Katalah kita ini dapat rezeki lebih, gaji naik misalnya...kemudian kita nak raikan dengan ajak kawan-kawan makan. Kita ikhlas ni. Tapi, lepas dah makan sedap, kenyang bagai...semua pun berundur minta diri nak balik. Apa rasa kalau dema ni setakat salam-salam je dan beredar ? Tak dengar pun kata-kata 'terima kasih ye belanja saya...murah rezeki awak'. Kalau terbetik dalam hati kita, "ish...kot le nak ucap terima kasih, sepatah pun tak ade..". Itu dah bukan ikhlas lagi. Ataupun kita tanya dekat kawan kita si A yang tadi dok seronok sembang-sembang dengan kawan-kawan lain, "Errr...ada depa kata apa-apa ke pasal saya ajak makan ni? Depa kata apa ye?". Nak juga dengar orang kata apa. Nak juga dapat reaksi manusia. Kita nak dengar apa ye? Nak dengar orang kata, "Baguslah si B ni kan...tak kedekut" @ "Hebatlah si B ni, boleh belanja kita makan kat Paya Serai ni kira kelllaaassss la kan..." .
Alahai...alangkah tertipunya kita. Rugi. Benda yang sepatutnya dapat jadi pahala sudah jadi dosa.
Lain kali, Ustaz kata, jangan berharap orang yang dalam situasi 'penerima' itu ucap terima kasih atau balas balik perbuatan kita. Sebaliknya, kita yang kena ucap 'terima kasih' kepada mereka. Kerana merekalah apa yang kita beri itu menjadi 'hak' kita dalam bentuk pahala. Ganjaran kita bertambah kerana mereka. Ingat, apa-apa yang ada pada kita ini bukanlah milik kita sebaliknya apa-apa yang kita beri/infak itulah sebenarnya harta kita.
Apa yang ada pada kita, kudrat, penglihatan, kepetahan bicara, kepandaian berfikir, ketajaman pendengaran, hatta kekayaan seluruhnya adalah pemberian Allah belaka. Berterima kasihlah & bersyukurlah kerana kita bisa menggunakan segala pemberianNya untuk menambah amal dan pahala. Segala anugerahNya menjadi modal untuk kita melabur demi kesenangan di hari kemudian. Mengapa pula kita bersikap sombong mengaku hakNya sebagai hak kita? Lepas tu tak malu nak suruh manusia lain berterima kasih kepada kita pula?
Kalau saya meminjam duit Ali sebanyak RM500 supaya boleh disedekahkan kepada Abu yang hidup susah, patutkah saya mendambakan ucapan terima kasih Abu kepada saya? Layakkah saya menerima penghargaan itu sedangkan wang itu bukan milik saya tetapi milik Ali? Begitulah sepatutnya kita berfikir dan insaf yang semua yang sedang kita nikmati ini semuanya adalah kurniaan Illahi.
Jangan takut untuk menderma walau tidak terlihat orang atau jangan risau tidak dihargai walau penat menyumbang usaha kerana kita tidak perlukan penghargaan manusia. Cukuplah kita mengetahui yang Allah ada untuk membalas setiap amalan kita hatta yang sebesar debu sekalipun.
Cukuplah sekadar peringatan untuk menjadikan diri lebih ikhlas dalam setiap perbuatan, insyaallah.
No comments:
Post a Comment