Wednesday, October 28, 2026

Cerita Dalam Lif

 Dari lif parking lagi, dua orang wanita yang berada di hadapan saya rancak bersembang. Saya ingatkan apabila ada orang lain masuk dalam ruang lif yang sama, mereka akan memperlahankan sedikit suara atau sekurang-kurangnya menyambung perbualan itu kemudian. Rupanya tidak. Lagi rancak adalah! πŸ˜‚

Perbualan mereka pula sangat jelas, sebutir-sebutir. Bukan saya nak mendengar cerita orang, tetapi nak buat macam mana? Kalau dah rancak sangat bersembang tanpa menghiraukan orang di sekeliling, mahu tak mahu, terdengarlah juga.

Kisahnya, si A tak puas hati dengan si B yang sibuk bertanya dia pergi mana, sedangkan hari sebelumnya dia WFH. Lebih kurang begitulah bunyinya, “Dah tahu kan aku WFH semalam. Asal aku tak ada aje, sibuk tanya. Yang dia tu kalau tak ada, tak adalah pula kecoh-kecoh.”

Begituuuu. Hahaha!

Belum habis lagi kisah si A dengan si B, beralih pula kepada cerita orang yang nak ambil cuti. Tahulah anniversary dia hujung minggu ini, tetapi kenapa nak ambil cuti bermula hari Khamis lagi? Nak buat apa agaknya? Gah sangat sambutan anniversary dia! Huhuhu... πŸ˜‚

Ya Allah, lambat pula perjalanan lif pagi ini. Padahal nak turun ke level -1 sahaja pun! Rasa macam lif ini sengaja memperlahankan perjalanannya supaya saya dapat mengikuti episod seterusnya. Hahaha!

Nak dijadikan cerita, dua orang wanita tadi rupanya turut naik lif yang sama untuk ke level kayangan. Ahhh, sudahhh! Panjang lagilah nampaknya sesi sembang pagi mereka.

Tapi, bukan saya seorang sahaja yang menjadi third wheel pagi itu. Seorang lagi wanita masuk ke dalam lif yang sama. Jadi, kami berempatlah dalam lif tersebut.

Saya fikir, dengan bertambahnya orang dalam lif, mungkin mereka akan memperlahankan suara atau menghentikan sekejap perbualan. Sekurang-kurangnya, hormatlah sedikit privasi orang lain, kan?

Rupanya tekaan saya meleset lagi.

Bersambung wehhhh! πŸ˜‚

Adoiii... terkulat-kulatlah dua orang yang tak ada kena-mengena ini mendengar cerita sensasi pagi-pagi. Nak buat muka macam mana pun tak tahu. Nak pandang kiri, kanan, atas atau bawah, semuanya rasa serba tak kena. Hahaha!

Tetapi, di sebalik rasa geli hati dengan situasi pagi itu, saya terus mengingatkan diri sendiri: Janganlah sampai kita terlalu seronok bercerita tentang orang lain sehingga terlupa siapa yang berada di sekeliling kita.

Tak kisahlah sama ada cerita itu benar-benar berlaku atau sekadar berdasarkan persepsi sendiri. Apabila kita bercakap tentang orang lain secara terbuka, lebih-lebih lagi di tempat awam dan dalam suasana profesional, kita sebenarnya sedang memperlihatkan sesuatu tentang diri kita sendiri.

Bagi saya, perbuatan begitu membuatkan kita nampak kurang manis, kurang profesional dan, maaf cakaplah, kurang berkelas.

Bukanlah bermaksud kita langsung tak boleh berbual atau berkongsi cerita dengan kawan-kawan. Biasalah, kita manusia. Ada kalanya kita nak meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman atau bercerita tentang sesuatu yang berlaku di sekeliling kita. Saya pun bukanlah malaikat yang tak pernah tersilap kata.

Cuma, ada bezanya antara berkongsi cerita dengan melampiaskan rasa tidak puas hati, apatah lagi apabila cerita itu melibatkan orang yang tiada di situ untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Ada perkara yang tak perlu pun diceritakan kepada semua orang. Kalau benar-benar perlu berkongsi, cukuplah dengan orang yang dipercayai dan dalam ruang yang sesuai. Itu pun bukan bermakna perbuatan mengumpat atau membicarakan keburukan orang lain menjadi sesuatu yang baik. Kita tetap perlu tahu batasnya.

Bukan semua yang kita tahu perlu kita ceritakan. Bukan semua yang kita rasa perlu kita luahkan. Dan bukan semua yang kita fikir tentang orang lain perlu dijadikan bahan perbualan.

Kadang-kadang, diam itu lebih baik. Bukan kerana kita tiada cerita, tetapi kerana kita tahu tidak semua cerita perlu keluar daripada mulut kita.

Yang lebih menarik, kejadian pagi itu membuatkan saya terfikir sesuatu.

Kalau perkara sekecil pengambilan cuti atau sambutan anniversary pun boleh menjadi bahan bualan orang, apatah lagi segala kekurangan dan kelemahan diri kita yang jauh lebih banyak ini.

Bayangkan!

Kita mungkin rasa perkara yang kita lakukan itu biasa-biasa sahaja. Tak ada apa-apa yang istimewa pun. Tetapi, dari sudut pandang orang lain, perkara yang sama mungkin ditafsirkan dengan cara yang berbeza. Ada yang melihatnya secara positif, ada yang mempersoalkannya, dan ada juga yang menjadikannya bahan cerita.

Begitulah manusia. Kita tak mungkin dapat mengawal bagaimana orang lain melihat, mentafsir atau menilai diri kita.

Hakikatnya, kita tidak sempurna dan kita juga tidak akan mampu memuaskan hati semua orang.

Ada orang suka cara kita bekerja, ada yang tidak. Ada yang senang dengan cara kita berkomunikasi, ada yang rasa kita terlalu itu dan terlalu ini. Ada yang memahami tindakan kita, ada pula yang membuat kesimpulan tanpa mengetahui keseluruhan cerita.

Kita tak boleh memaksa semua orang bersetuju dengan kita. Kita juga tak boleh mengharapkan semua orang menyukai kita. Setiap orang mempunyai cara berfikir, perspektif, pengalaman hidup dan corak tingkah laku yang berbeza-beza.

Jadi, apa yang boleh kita buat?

Bagi saya, perkara paling munasabah ialah belajar mengawal diri sendiri.

Kita mungkin tak mampu mengubah sikap orang lain. Kita juga tak mempunyai kuasa untuk mengawal setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita. Tetapi, kita masih mempunyai pilihan tentang bagaimana kita mahu bertindak balas terhadap sesuatu keadaan.

Kalau orang suka bercakap tentang kita, kita tak semestinya perlu membalas dengan melakukan perkara yang sama. Kalau orang salah faham tentang kita, kita boleh menjelaskan sekadar yang perlu. Kalau orang tetap mahu menilai kita berdasarkan perspektif mereka sendiri, belajarlah untuk menerima bahawa itu di luar kawalan kita.

Yang penting, jangan sampai kita terlalu sibuk memikirkan apa yang orang lain katakan sehingga kita sendiri terlupa untuk memperbaiki diri.

Dan jangan pula kerana kita pernah menjadi mangsa cerita orang, kita akhirnya melakukan perkara yang sama kepada orang lain.

Perbaiki apa yang boleh diperbaiki. Kawal apa yang boleh dikawal. Selebihnya, belajarlah untuk melepaskan.

Saya menulis ini bukan untuk menghukum dua orang wanita yang saya temui pagi tadi. Mereka mungkin ada cerita dan alasan mereka sendiri. Saya pun tak tahu keseluruhan keadaan sebenar. Saya cuma berkongsi satu kejadian kecil yang membuatkan saya berfikir tentang diri sendiri.

Sebab itu, sebelum kita sibuk melihat kekurangan orang lain, sesekali pandanglah juga ke dalam diri sendiri. Bukan untuk merendahkan diri, tetapi untuk menyedari bahawa kita juga mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Kita semua sedang belajar menjadi manusia yang lebih baik. Ada kalanya berjaya, ada kalanya tersasar. Yang penting, jangan berhenti bermuhasabah.

Akhirnya, kita tak boleh mengawal apa yang orang fikir atau katakan tentang kita. Tetapi kita boleh memilih untuk menjadi manusia yang lebih berhati-hati dengan kata-kata, lebih bijak membawa diri dan lebih matang dalam menghadapi perbezaan.

Kita tak mampu mengawal mulut orang, tetapi kita masih bertanggungjawab terhadap mulut sendiri.

Begitu juga dengan kehidupan. Kita tak boleh mengawal semua yang berlaku, tetapi kita boleh mengawal cara kita bertindak balas.

Dan bagi saya, itu pun sudah cukup besar untuk kita usahakan setiap hari. ❤️

No comments: