Thursday, May 02, 2013

Ubati Hati

Hati manusia boleh jadi keras macam batu. Boleh jadi juga lebih keras daripada batu.

Siapa yang kata macam tu?

Firman Allah dalam ayat 74 surah Al-Baqarah yang bermaksud :

 " Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan".

Kenapa batu?
Ada lagikah benda yang lebih keras daripada batu?
Bagaimana dengan kayu? Tidakkah kayu itu keras?
Ya, kayu memang keras. Tapi kayu yang keras, bila dibakar akan luluh menjadi arang. Menjadi abu.

Bagaimana dengan besi? Tidakkah besi itu keras?
Benar, besi memang keras. Namun, sekeras-keras besi masih boleh dilentur dan dibentuk bila dipanaskan.
Sedangkan batu, begitulah keadaannya. Walau dipecahkan sekali pun, ia cuma pecah berderai. Namun tetap juga ia batu waima kecil saiznya.

Jadi, terbukti batu memang keras. Lalu, bila Allah katakan, ada lagi yang lebih keras daripada batu...???...adakah? Dan bila jawapannya adalah 'hati' manusia...apa rasa kita? Hati manusia lebih teruk 'keras'nya berbanding batu.

Ya, mengapa tidak. Sungguhpun batu itu keras, ada yang dicelah-celahnya boleh dilalui air. Ada satu kisah Nabi Musa dan kaum Bani Israel yang kehausan dalam pelarian dek dikejar Firaun dan bala tenteranya. Lalu mereka meminta Nabi Musa berdoa kepada Allah. Allah menyuruh Nabi Musa memukulkan tongkatnya pada sebuah batu yang menyaksikan 12 mata air terpancar daripada batu itu.

Itu batu. Tetapi hati manusia...ada manusia yang tergamak menyeksa manusia lain. Lihatlah bagaimana penyiksaan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di negara-negara yang bergolak. Bagaimana tentera-tentera Syria menangkap dan mendera para ulama yang ditawan. Dibunuhnya dengan perlahan-lahan, sedikit demi sedikit supaya kesakitan itu dirasai. Kejam bukan? Mengapa mereka boleh menjadi sekejam itu? Kerana hati mereka sudah jadi keras!

Hati kita bagaimana? Kita tidak sekejam itu. Tapi tetap sahaja kita 'kejam' kerana banyak menzalimi diri sendiri. Bagaimana caranya kita menzalimi diri?


Manusia dikatakan menzalimi dirinya sendiri apabila sikap dan tindakan yang dilakukannya dalam kesedaran, menempah kehinaan dalam hidup didunia dan azab sengsara diakhirat kelak. Dirinya terzalim kerana terpaksa menanggung akibat buruk akibat tindakan diri-sendiri, bukan dari campur tangan orang lain keatasnya. Jadi dia bukan dizalimi (oleh sesiapa) tetapi menzalimi diri sendiri.Manusia tergolong dalam golongan mereka yang menzalim diri sendiri kerana melanggar syariat Allah, zahir mahupun batin. Dengan itu menyebabkan dirinya terjebak dengan dosa. 

Firman Allah:
Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah, maka dia adalah dari orang-orang yang zalim.” - Al Maidah: 15


Kata Ustaz, sesiapa yang membaca Al-Quran, namun sedikit pun hatinya tidak rasa tersentuh...ketahuilah, hatinya itu telah menjadi keras.

Kalau hati belum tersentuh bila membaca Al-Quran, belum mampu merasa kelazatannya...janganlah berputus asa. Marilah kita terus beristiqomah dan mengharapkan semoga Allah permudahkan untuk kita. Biar Al-Quran menyembuhkan hati kita yang sakit...jangan sampai Al-Quran menjadi hilang fungsinya seperti firman Allah dalam ayat 44 surah Al-Fushshilat yang bermaksud. "...Katakanlah "Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh". Justeru mereka tidak dapat mendengar dengan jelas lagi tidak berupaya untuk memahami kepada apakah mereka itu diserukan. Yang demikian itu, menjadikan Al-Quran tidak dapat memberi petunjuk kepada mereka. Nauzubillah.

No comments: