Akhir-akhir ini saya banyak menggunakan kaedah 'redah je' dalam kebanyakan perkara yang bila difikir berulang-ulang kali mendatangkan kesan 'kecut perut'. Kecut perut itu lazimnya berlaku apabila saya terpaksa menceburkan diri dalam bidang yang baru dan tidak banyak diketahui. Dengan kata lain, tanpa pengalaman dan pengetahuan mendalam, adalah sukar untuk saya menjadi seorang 'pejuang' yang baik dalam 'pertempuran' itu.
Apabila berada dalam situasi seperti itu, saya mula kelam-kabut mencari 'alatan dan perisai'. Masa banyak terbuang memikirkan kesudahan yang bukan-bukan atau membuat persediaan yang seringkali tersasar. Mungkin sebab saya tidak suka berasa tewas atau ditewaskan. Atau mungkin saja saya terlalu memikirkan persepsi orang terhadap saya. Lalu saya pun fikir-fikir lagi. Bodohnya saya, kenapalah saya peduli sangat dengan mulut orang. Dah tentu saya tidak boleh mengawal pemikiran orang. Saya hanya boleh mengawal diri saya dan cara bagaimana saya memberikan reaksi. Saya ada pilihan di situ.
Jadi , sekarang, saya enggan membenarkan fikiran saya terbelenggu oleh imbasan-imbasan awal yang belum tentu sohih. Ia lebih mudah begitu. Hasilnya, saya rasa lebih bersedia untuk berlapang dada menerima teguran dan memperbaiki diri. Saya mula menerima positif segala tugasan yang baru walaupun saya tidak arif tentangnya. Saya berjumpa dengan mereka yang faham dan berbincang tentangnya. Tak sangka rupanya saya pernah memiliki rasa 'ego' (atau yang sewaktu dengannya) yang boleh tahan juga. Mujurlah pengalaman mematangkan diri. Walaupun lambat, setidak-tidaknya saya diberi peluang dan mengambil peluang untuk berubah, sedikit-sedikit...insyaallah.
Dan kaedah 'redah' ini saya gunakan juga dalam situasi seperti ini...
Baru-baru ini saya diberi slot untuk menerangkan tentang bidang di bawah seliaan saya kepada sebuah anak syarikat yang berhajat mendalami lebih lanjut aspek kawalselia sektor telekomunikasi. Ianya hanyalah sebuah majlis kecil yang disertai lebih kurang 30 lebih peserta sahaja. Tetapi oleh sebab saya pun sudah lama tidak berdiri memegang mikrofon depan ramai orang, maka saya pun terasa sedikit 'risau'.
Segala bahan sudahpun disediakan. Saya langsung tidak membuat persediaan lain melainkan handout yang dicetak kononnya untuk dibaca di rumah, tetapi hakikatnya terperap dalam kereta sehari sebelum majlis berlangsung. Kemudian, saya memutuskan untuk mengikut sahaja rentak hari. Saya tanamkan dalam hati saya bahawa kedatangan saya adalah untuk membantu rakan-rakan yang telah bertungkus-lumus memastikan acara berjalan seperti dirancang dan saya sebenarnya ada di situ bukan hendak menunjuk pandai. Saya cuma menjalankan tugas saya menyampaikan dan berkongsi apa yang saya tahu tentang bidang ini dengan harapan ia akan membantu peserta-peserta memahami tentang peranan dan tugas serta kesan aktiviti kawalselia ke atas operasi perniagaan.
Tiba-tiba rasa 'risau' itupun hilang.
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah, saya dapat berkongsi dua perkara dalam masa 30 minit tanpa banyak masalah. Saya tidak dapat mengawal diri saya memasukkan unsur-unsur humor di mana-mana yang dapat. Mula-mula kecut lepas tu sibuk dok buat lawak pula kat depan tu...ish! ish! tak sedar masa berlalu dan terasa berat nak lepaskan mikrofon. Melampau betullah saya ni!
Di meja makan, saya ditanya seorang kawan dari divisyen lain.
"Boleh tak kalau kami minta hang buat presentation topik ni untuk sesi awareness kami nanti?
Dalam hati, "Err...errr..."
Lepas tu Aku 'redah' je menjawab, "Boleh, apasalahnya kita bekerjasama. Tak apalah, nanti kalau ada keperluan tu, hang bagitau boss Akulah dulu. Kalau dia ok, Aku tak ada masalah".
Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan kerja saya di kemudian hari. Aminnnnn.
No comments:
Post a Comment