Hari Khamis lepas, semasa kelas Bahasa Arab, Ustaz sempat merujuk ayat 131 dari Surah Thaahaa. Tujuan asalnya ialah untuk melihat contoh isim (kata nama) 'bunga' iaitu zahrah. Jadi, penggunaannya terdapat di dalam ayat tersebut di mana Allah berfirman, yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal".
Ayat ini Allah tujukan kepada Nabi Muhammad S.A.W (dan termasuklah juga kita umatnya) yang menegah Baginda daripada berasa 'teringin' dengan kekayaan dan kesenangan duniawi yang dimiliki oleh orang kafir Quraisy seperti harta Abu Suffian yang kaya-raya itu. Allah mengingatkan bahawa segala kesenangan itu hanyalah bersifat sementara dan merupakan perhiasan yang tidak kekal. Seperti bunga yang cantik, indah dipandang mata tetapi akan layu jua. Bahkan segala kemewahan itu bukanlah suatu kurniaan yang patut dibanggakan kerana ternyata bersamanya terkandung ujian yang besar yang bakal dipertanggungjawabkan di hari Kiamat kelak. Justeru, orang-orang yang beriman seharusnya bijak berfikir dengan memilih kesabaran di atas kesusahan dalam memperjuangkan iman kerana sesungguhnya ganjaran yang besar menanti di akhirat nanti. Ganjaran yang jauh lebih baik lagi kekal selamanya. Bersabarlah, dan jangan mudah terpesona dengan gemerlap dunia nan sementara ini.
Lalu ketika saya melewati ayat-ayat di penghujung Surah Al-Qashash saya menemukan firman Allah yang menguatkan penegasanNya akan kedudukan dunia dan akhirat yang terlalu berbeza untuk diperbandingkan. Alangkah ruginya kalau dorongan nafsu masih saja mewujudkan kealpaan padahal sangat jelas antara keduanya mana satu seharusnya dijadikan pilihan.
Ayat 60 yang bermaksud :"Dan apa saja (hal-hal duniawi seperti pangkat, kekayaan, keturunan dsbnya) yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya, sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?"
Ayat 61 yang bermaksud : "Maka apakah orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga) lalu ia memperolehnya, sama dengan orang yang Kami berikan kepadanya kenikmatan hidup duniawi (maksudnya, orang yang diberi kenikmatan hidup duniawi, tetapi tidak mempergunakannya untuk mencari kebahagiaan hidup akhirat), kemudian dia pada hari kiamat termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam neraka)?"
Samakah?
Bahkan, jauh panggang dari api. Manakan sama habuan duniawi dengan ganjaran akhirat!
Kemudian, saya melewati kisah Qarun yang sombong angkuh dek melimpah ruahnya kekayaan dimiliki sehinggakan kunci-kunci gedung harta-bendanya sungguh berat untuk dipikul oleh beberapa orang yang gagah perkasa. Sayang, Qarun sombong dengan nikmat duniawi. Dia mendabik dada mengatakan segala harta tersebut adalah diperolehi atas kebijaksanaan dan ilmu dimiliki padahal semuanya adalah pemberian Allah.
Melihatkan kelebihan Qarun itu, orang-orang yang terpesona dengan dunia pun saling berharap semoga-moga mereka juga memiliki seperti apa yang Qarun miliki kerana merasakan perolehan sedemikian merupakan suatu keberuntungan yang sangat besar (ayat 79). Namun, sebilangan orang-orang yang beriman mengatakan bahawa kekayaan tersebut (ditambah dengan kesombongan Qarun) adalah suatu kecelakaan yang besar. Mereka menegaskan bahawa pahala Allahlah yang lebih baik dan pahala Allah tidak mungkin dapat diperolehi tanpa melalui jalan kesabaran (ayat 80).
Lalu ketika Allah membenamkan Qarun beserta harta-hartanya, berkatalah orang-orang yang dulunya mendambakan kekayaan seperti Qarun dengan penuh keinsafan, "Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya dan menyempitkannya. Kalau Allah tidak melimpahkan kurniaNya ke atas kita, benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah)" (ayat 82).
Ada pelajar yang bertanyakan tentang zuhud. Adakah zuhud itu bermaksud menolak dunia? Melupakan dunia dan memfokus kepada akhirat semata-mata?
Kata Ustaz, tidak. Zuhud maksudnya bukanlah menolak dunia mentah-mentah. Dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Kalau jambatan itu kita robohkan, mana mungkin kita dapat menyeberang untuk sampai ke akhirat? Begitu perumpamaannya. Yang dimaksudkan dengan zuhud oleh seseorang itu ialah apabila dunia langsung tiada di dalam hatinya. Bermakna, dia boleh saja mencari kekayaan dan mengumpul harta. Namun harta-harta itu langsung tidak dicintainya, malahan , pada bila-bila masa dan ketika, sekiranya diminta memberi pinjam atau bersedekah, dia langsung tidak berfikir panjang terus menginfakkan hartanya untuk keperluan mereka yang memerlukan. Tidak ada istilah rasa sayang dengan harta. Tidak hairan langsung dengan wang yang banyak. Malahan harta yang ada itu digunakan untuk menaikkan darjatnya di akhirat nanti. Itulah zuhud.
Bukanlah zuhud itu dengan cara hidup di pondok buruk. Berpakaian compang-camping dan jauh daripada kemudahan asas. Pakai selipar yang harganya RM5 sepasang. Bila orang minta pinjam selipar itu, dia tak pula mahu beri. Itu bukan zuhud. Itu kedekut! Kalau kita semua hidup begini, enggan mencari kekayaan yang Allah sediakan, bagaimana kita mahu membangunkan ummah? Bagaimana kita mampu mengeluarkan zakat dan sedekah dalam keadaan hidup serba kekurangan kerana kebencian terhadap dunia?
Firman Allah dalam ayat 77 surah Al-Qashash yang bermaksud : " Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".
No comments:
Post a Comment