Friday, February 08, 2013

Dunia Merayu

Kata Ustaz Badlishah dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam semalam, kita kalau nak pergi berjalan perlu ada bekalan yang cukup. Kalau dalam poket ada RM100, jangan harap boleh sampai ke Jakarta. Kalau dalam poket ada RM5000, pun tak lepas nak sampai Amerika. Dan kata aku pulak, kalau dalam dompet ada RM50, belum tentu lepas nak ke pasar...huhuhu...Pendek kata, apa-apapun kena pastikan bekalan cukup. Itu baru perjalanan dunia tuan puan...dunia yang tak jauh mana tu pun perlukan bekalan, apatah lagi perjalanan jauh ke akhirat...lagi-lagilah perlukan bekalan yang cukup.

Dunia...jadikanlah ia tempat kita bercucuk tanam. Hasilnya untuk dituai di akhirat nanti. Jangan jadikan dunia matlamat kerana dunia hanyalah tempat transit, tempat persinggahan yang sementara. Orang kafir mereka tidak percayakan adanya kehidupan sesudah mati, kerana itu mereka all out untuk kehidupan dunia. Enjoy hidup sepuas-puasnya. Mereka tidak terfikir yang setiap perbuatan mereka itu akan disoal dan mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti...sebab itu mereka bebas berbuat sesuka hati. Tetapi orang Islam tidak, kerana kita tahu setiap amalan kita itu dicatatkan dan di akhirat nanti akan dibuat perhitungan. Tidaklah sesuatu hatta sebesar zarah pun terlepas pandang.

Dunia dikelek, akhirat dijunjung. Janganlah pula menolak dunia seolah-olahnya langsung tiada gunanya, kerana Allah beri kita dunia untuk kita manfaatkan. Untuk kita tebarkan kebaikan dan syukuri nikmatNya. Gunakan setiap kesempatan yang ada selama kita di dunia ini untuk mencari peluang menambah amalan kebaikan dan mencukupkan bekalan kerana dunia ini gelanggang untuk kita mengumpul pahala buat meneruskan kelangsungan hidup di akhirat yang abadi nanti.

Jangan terpedaya dan tertipu dengan rayuan dunia yang menyebabkan kita terpesona serta lalai dalam misi sebenar. Kata Ustaz, di dalam suatu hadis (yang tidak disebut matannya), Rasulullah S.A.W menyebut, barangsiapa yang sebaik dia mencelikkan mata langsung fikirannya terarah kepada perkara-perkara keduniaan lalu lalai mengingati Allah, maka, dia akan ditimpakan dengan 4 macam 'penyakit' iaitu :

1. Ditimpa kebingungan sepanjang hidupnya. Iaitu hidupnya sentiasa letih memikirkan pelbagai masalah. Bingung dan buntu dengan seribu satu permasaalahan. Masalah kerja. Masalah rumahtangga. Masalah sosial. Masalah politik. Masalah itu dan ini. Tak dapat nak rilek fikirannya. Asyik teringat-ingat...masalah negara pun dia nak fikirkan.

2. Allah akan penuhkan hidupnya dengan kesibukan dunia. Dia akan menjadi seorang yang sentiasa sibuk dan terkejar-kejar dengan masa. Dari pagi hari membawa ke malam hari. 24 jam tak cukup untuknya. Macam-macam perkara dia nak buat. Orang ajak pergi kenduri...ajak keluar jalan-jalan pun tak dapat kerana jadual sehariannya sentiasa penuh padat dengan pelbagai hal.

3. Allah akan jadikan dia seorang yang sentiasa bercita-cita tinggi dan mempunyai kemahuan yang besar, namun, kehendaknya itu sentiasa tidak dapat digapai. Dia hanya mampu memburu dan terus memburu, namun buruannya itu tak akan pernah dapat berada dalam genggamannya. Dia akan menjadi seorang yang mengejar 'matlamat' yang sentiasa bergerak dan berubah-ubah.

4. Begitu juga Allah akan menjadikannya seorang yang panjang dengan angan-angan sehinggakan angan-angan itu akan dibawanya langsung ke dalam kubur. Lantaran yang diangan-angankan itu tidak pernah tercapai. Dia terlalu berusaha untuk mengejar impiannya sehingga seluruh kehidupannya dipusatkan kepada usaha-usaha mencapai angannya itu sehinggakan dia terlupa dengan ajal yang semakin menghampiri. Cukup tempohnya, maut datang menjemput tanpa sebarang penangguhan seterusnya menjadikan dia seorang yang rugi kerana anagan-angannya telah melalaikannya daripada membuat persiapan untuk bekalan akhirat.

Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua daripada tipu daya dunia.

2 comments:

sirapmadu said...

Penutup minggu dengan perkongsian yang berbekas di hati..Terima kasih KlTraffic atas perkongsian ini. Moga ada keberkatan dari Allah kepada "yang berkongsi" dan "yang mengamalkan"..amin

Telipuk Kuala said...

Alhamdulillah , kalau kiranya ada yang boleh diambil buat pedoman bersama silakanlah ambil kita sama-sama amalkan, mudah-mudahan bermanfaat.