Wednesday, February 06, 2013

Menyegerakan Taubat

Sebenarnya, ujian yang Allah beri kepada kita itu ada bertempoh. Ada pengakhirannya. Ada yang diuji untuk sehari semalam sahaja. Ada yang beberapa hari. Saya pernah jatuh tangga dan langsung tak mampu berdiri.  Mengesot untuk bergerak sebab terlalu sakit hendak menjejakkan tapak kaki ke lantai. Mujur seorang bidan kampung yang pandai mengurut telah membetulkan kaki yang terseliuh walaupun dalam keadaan saya berlinangan air mata menahan sakit. Ujian itu cuma sehari semalam kerana keesokannya saya memaksa diri berlari dalam bendang yang sedang kering kontang. Dengan izin Allah, kaki tersebut pulih seperti biasa kerana saya tidak sanggup berjalan terhencot-hencot untuk balik ke kampus dalam masa beberapa hari itu.

Tak pula saya terfikir yang bagaimana agaknya kalau...kalau ditakdirkan Allah saya tidak boleh berjalan seperti biasa. Bagaimana agaknya?

Ada orang diuji dalam tempoh yang lama. Bertahun-tahun hidup susah. Belum pernah merasa senang. Tetapi alangkah besarnya ganjaran pahala yang diperolehinya bilamana dia dapat menahan sabar menjalani kehidupannya. Siapa tahu cuma tinggal lagi beberapa ketika untuk ujian itu tamat. Hanya perlu istiqamah dan terus mengharap kepada Allah.

Sesungguhnya tidaklah sesuatu itu Allah jadikan kekal begitu sahaja, sebaliknya akan sentiasa ada perubahan. Bersangka baiklah dengan Allah.

Ada orang, dia boleh sabar hidup susah berbelas-belas tahun. Namun, sayang sekali...kesabarannya bukanlah kerana Allah. Dia bersabar kerana itu sahaja pilihan yang dia rasa ada. Justeru, bila terbuka peluang, walaupun peluang itu berupa perkara yang haram, kesabaran yang dipegangnya itu sirna terus. Di penghujung ujian tersebut, dia akhirnya mencatatkan keputusan 'gagal'. Memang sangat-sangat rugi. Kerugian yang sangat besar. Menukarkan intan permata dengan kaca yang tidak bernilai hanya kerana kaca itu terlihat indah berkilau di bawah terik matahari, sedangkan yang berharga itu masih tersembunyi.

Kerana itulah, kita perlu kepada ilmu kerana ilmu akan membantu kita mengukuhkan iman, justeru membolehkan kita membuat keputusan yang berlandaskan kepada kepentingan Allah dengan membelakangkan kemahuan nafsu. Sebetulnya, pilihan yang kita ada cuma 2...jalan yang benar dan jalan yang salah. Jalan yang benar itu seringkali memerlukan kepada pengorbanan, ianya jalan yang sukar lagi menyusahkan sedang nafsu tidak suka kepada perkara-perkara yang susah. Nafsu suka jalan shortcut yang mudah.

Baik. Terpulanglah.

Ada saya terbaca (entah di mana), seorang hamba Allah berkata, "Kalau kamu boleh menjamin yang kamu akan hidup esok hari, silalah perbuat semahumu".

Siapa yang boleh dengan yakin mengatakan dia masih akan bernafas esok lusa, masih bernyawa seminggu lagi? Dua minggu lagi? Sebulan? Setahun lagi?

Tidak. Tidak ada sesiapa pun yang tahu saat kedatangan ajalnya melainkan Allah.

Dari itu bersegeralah kepada keampunan Allah. Ketahuilah bahawa yang menjadi penghalang kepada taubat itu, antaranya, ialah panjang angan-angan. Iaitu manusia yang merasakan umurnya masih muda dan kematian itu masih terlalu jauh. Justeru, dia tidak merasa keperluan untuk segera bertaubat lantas menunggu masa senggang di usia tua (saatnya sudah pencen) untuk mula memberi perhatian kepada perancangan kehidupan akhiratnya nanti.

Tidak kira siapapun kita, apa pangkat dan apa jawatan...pasti di pengakhiran hidup kita mahukan kematian yang husnul khatimah. Kalaulah betul kita mengaku Islam dan percayakan kepada Hari Akhirat.

No comments: