Wednesday, August 12, 2009

Berjalan Dalam Hujan

Dengan sebelah tangan memeluk rapat beberapa buah dokumen ke dada dan sebelah tangan lagi memegang payung, Aku berjalan mengalahkan perempuan Melayu terakhir dalam hujan. Apa tidaknya, dengan keseimbangan yang terjejas, mudah untuk membuat kesilapan. Permukaan yang licin, air yang bertakung memperlahankan rentak Aku. Aku memang tidak selalu berjalan perlahan begitu. Apa hendak buat, cuaca tidak mengizinkan. Nasib baik ada payung Lotuslily.

Bila sampai ke tempat yang dituju, kasut tumit Aku basah separuh sebab hujung kain yang menyapu air. Hendak disingkap sedikit semasa berjalan nyata tiada upaya kerana kedua tangan sudah punya tugas masing-masing. Tak apalah. Walau dalam cuaca yang kelam membalam dengan gerimis yang tidak diundang ini, Aku tetap sahaja bersemangat menghadapinya. Itulah pentingnya berfikiran positif, kita tidak terheret sama memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan. Jadi Aku hanya memandang ke depan dan membayangkan masalah dapat diselesaikan. Ia membuatkan Aku kekal ceria.

Alhamdulillah, pertemuan di petang ini membuahkan hasil yang memberangsangkan. Perbincangan berlangsung dalam suasana santai dan muhibbah dengan masing-masing menghormati tugas pihak yang lain. Tiada sebab untuk berasa diperlekehkan atau rasa jatuh kerana tiada siapa yang membawa ego masuk ke bilik itu. Semua orang fokus untuk menyelesaikan masalah. Jadi, walaupun seksa berjalan dalam hujan dengan dokumen yang tidak begitu ringan, Aku keluar dengan kepala yang lebih ringan dan hati yang lapang. Aku dapat persahabatan baru dan dapat jaminan bantuan dari mereka yang lebih tahu. Begitulah, jangan sesekali meletakkan diri dalam keadaan 'besar kepala'. Tak pandai mengaku awal-awal, jangan memandai-mandai. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Tidak rugi apa-apa pun.

Insyaallah, rasanya jalan yang terasa sukar mulanya semakin jelas terbentang. Dari sini, Aku sudah tahu bagaimana hendak melaluinya dan apa yang akan Aku temui di sepanjang jalan itu. Semakin ikhlas melibatkan diri dan berani memikul tanggungjawab, rupanya semakin cepat kita dapat belajar. Semoga Aku dapat memanfaatkan pengalaman ini untuk situasi yang lain pula.

4 comments:

Anonymous said...

teringat lagu amelina dengan iwan,

memori daun pisang....hehehe

tapi depa tak pakai payung tapi guna daun pisangja.hehehe.

R n H said...

x pakai boot Ostolia ke? Kalu pakai, baru la x basah..hihihihi

Telipuk Kuala said...

Yalah...memang ada gak rasa terdengar-dengar lagu tu...heheh...

Telipuk Kuala said...

Ram,
Tak masuk aaa boot ngan baju kurung...besok baru ingat nak pakai..almaklumlah casual Friday.