Tuesday, November 16, 2010

Korban

Tema hari ini sudah semestinya 'korban'. 'Berkorban apa sahaja'begitu bait lagu P. Ramlee dalam filem Hang Tuah. Sayu sungguh tengok Teja mengunyah sirih jampi buat melupakan Tuah. Itu pergorbanan cinta seorang wira negara yang setia kepada Sultannya.

Cinta dan pengorbanan memang sinonim. Pasal tu pernah ada lagu diberi tajuk "Korban Percintaan" nyanyian Juli Remy...err...Aku pun tak kenal, dengar kat Sinar beberapa kali. Mariani pun pernah korbankan cintanya terhadap P. Ramlee untuk memberi jalan kepada adiknya Saloma. Noorizan juga berkorban meninggal istana dan kemewahan hidup kerana cintakan P.Ramlee...err...itu kisah yang terpapar dalam dokumentari P. Ramlee di saluran History semalam.

Percayalah, setiap seorang daripada kita tentu ada kisah 'pengorbanan' sendiri. Samada untuk kepentingan peribadi atau atas sebab-sebab apa sekali pun.

Dalam semua keadaan, kita berkorban kerana kasih.

Nabi Allah, Ibrahim A.S sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail kerana cintanya terhadap Allah jauh mengatasi cintanya terhadap anaknya.

Ibadah korban yang umat Islam lakukan saban tahun itu sepatutnya juga menjadi lambang kasih sayang sesama saudara seagama. Ianya tanda kita peduli dan kasihkan saudara kita yang susah, biar sama-sama dapat menikmati rezekinya dan seterusnya mengukuhkan tautan persaudaraan.

Sayang sekali jika hikmah di sebalik ibadah korban itu tidak diserap dan dipraktikkan dalam kehidupan. Sayang sekali jika ia menjadi medan perlumbaan mempamerkan 'kemampuan'. Kampung itu, kampung ini bertanding jumlah tertinggi haiwan dikorbankan untuk tahun ini. Orang itu, orang ini sibuk mencanang sumbangannya. Amat malang sekali! Lebih malang apabila agihan tidak sampai ke tangan yang memerlukan. Jadilah ibadah itu satu acara tahunan yang tidak mendatangkan makna. Kalau ianya betul-betul bermakna, saya yakin, kita tidak tunggu setahun sekali untuk 'memberi makan' saudara-saudara kita menerusi acara gilang-gemilang. Kita akan jadikannya satu amalan harian. Barulah umat akan betul-betul bersatu dan kuat. Ini tidak, asal lain kem saja berpecah. Sanggup membenci sesama agama. Kata Ustaz Kazim, kita tidak boleh melaknat siapa-siapa...hatta orang kafir sekalipun. Ini tidak, yang sama agama pun kita laknat. Selagi orang itu mengucap dua kalimah syahadah mengakui Allah sebagai Tuhan Yang Esa, dia tetap saudara kita waima dia itu jahat tingkahlakunya atau kerap membuat maksiat. Alasannya mudah, kerana kita tidak tahu apa akan jadi di kemudiannya kerana hidayah itu anugerah dan hak Allah. Siapa-siapapun yang Dia hendak beri, itu hakNya. Kita yang perasan bagus ni, janganlah over sangat! Hati tu berbolak-balik sifatnya. Siapa yang kawal? Allah! Yang eloknya, selalu kena syukur dengan Hidayah yang Allah beri, minta dikekalkan iman, dimantapkan dan beri kita kekuatan untuk terus beristiqamah. Jangan ingat iman tu datang begitu je bergolek-golek...kalau tidak kerana belas kasihan Dia, jangan haraplah!

Semoga dapat kita sama-sama menghayati makna korban ini selaras dengan tuntutan agama dan insyaallah, mengamalkan dalam hidup kita.

Selamat Aidil Adha.

No comments: