Friday, November 19, 2010

Menghadapi UjianNya

Seseorang menulis di dinding FBnya, "Apabila Allah sayangkan seseorang hamba, maka Dia akan mengujinya".

Setiap seorang daripada kita akan diuji.

Ayat 214 surah Al-Baqarah menyebut firmanNya yang bermaksud, "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat".

Hanyalah dengan ujian itu dapat membezakan amalan dan ketaqwaan manusia. Sama seperti peperiksaan yang kita harungi di sekolah. Peperiksaan dibuat untuk menilai tahap kefahaman dan kecemerlangan seseorang pelajar. Aapakah usahanya mengulangkaji siang malam, pergi tuisyen, buat homework, berbincang dengan guru dan rakan itu bakal membuahkan hasil? Itu yang banyak persediaan. Yang tak ada persediaan, nak uji dengan apa? Dok baling dadu je kerojenya...baling dengan pemadam papan hitam baru tahu!

Sama juga dengan ujian Allah. Sebab itu Dia suka menguji hambaNya yang bertaqwa. Yang ada banyak kelengkapan. Sejauh mana keimanannya, sejauh mana keikhlasannya, bolehkah dia bertahan dalam keadaan sakit menderita...adakah dia akan berhenti daripada mengerjakan solat atau dia akan tetap mengerjakan solat walaupun dalam keadaan berbaring?

Yang tak ada apa-apa kelengkapan tu, nak uji dengan apa ya?

Bagaimana Allah menguji hambanya? Tentulah dengan bermacam-macam cara. Diuji hambaNya itu berdasarkan kesanggupannya. Tidaklah seseorang itu diuji dengan sesuatu yang dia tidak sanggup pikul. Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 286. Jadi, kalau kita rasa apa yang berlaku itu teruk...janganlah lagi fikir begitu. Berlapang dadalah. Sesungguhnya kamu mampu menghadapinya.

Bagaimana seharusnya kita bersikap apabila dihadapkan dengan ujian? Saya terbaca suatu berita kematian seorang pelajar tingkatan 2 akibat lemas. Apabila diajukan pertanyaan kepada ibunya, si ibu menjawab, "Saya redha dengan pemergiannya". Alangkah indahnya kesabaran itu. Sememangnya kita dituntut untuk bersabar sebagaimana firmanNya yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (Surah Al-Baqarah, ayat 153).

Firman Allah, "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran".

Begitu janji Allah dalam ayat 186, Surah Al-Baqarah. Dia menyuruh kita bersabar menghadapi ujian. Dan Dia membekalkan kita dengan senjata untuk memperkukuhkan kesabaran itu, dengan cara, berdoa. Mintalah kepadanya.

Akhir kalam, mudah-mudahan ujian yang menimpa semakin memantapkan keimanan dan mendekatkan kita kepada Allah SWT. Berlapang dadalah dengan ujian. Kalau Allah sayangkan kita, lepas selesai satu ujian...Dia akan menguji kita lagi. Justeru, perkemaskan amalan supaya kita dapat melepasi apa jua rintangan dan halangan.

No comments: