Hari ini kami masih menyambung bab membicarakan tentang ibadah qurban dan hikmahnya. Tapi biasalah, sempat juga Ustaz membuat perkaitan di sana sini sehingga merasakan seperti kena 'lempang' kat pipi. Aduhhh...rasa pedih dan berbisa sekali...huhuhu...
Ustaz bercerita pengalamannya bersembahyang di sebuah surau yang mana penghuninya kebanyakan adalah terdiri daripada bangsa Arab. Yang menariknya, pada setiap kali berjemaah subuh di situ, ada seorang ayah berserta 3 orang anak lelakinya yang masih muda belia datang berjemaah. Terlihat pada mereka kesan tarbiah Islamiyah yang hebat. Anak-anak kecil itu sebaik si bapa mengangkat takbir, mereka pun terus merapat mengikut dalam saf yang rapat dan lurus. Tak ada main-main. Rukun sembahyang juga dikerjakan dengan sungguh tertib. Anak-anak ini pada setiap kali masuk dan keluar surau juga dibiasakan dengan mengucapkan salam kepada seramai yang sempat mereka tegur. Bahkan kebanyakan jemaah begitu. Kata Ustaz, ia membuatkan diri terasa disayangi. Terasa tidak janggal kerana ucapan salam sebegitulah yang membina dan menghubung pertalian ukhwah sesama saudara seagama. Manakan tidak, ucapan salam itu adalah satu doa. Doa kesejahteraan yang mahal. Apakah kita tidak suka orang mendoakan kita agar Allah memberi kesejahteraan kepada kita? Tentulah suka, bukan? Lalu Ustaz membandingkan pengalamannya di kebanyakan surau dan masjid di tempat kita. Hemmm...kalau masuk pun, jangan kata hendak tegur beri salam, pandang pun tidak. Lepas tu pergi cari mana-mana bucu dan sudut untuk buat hal sendiri. Macamana hendak terbina rasa berkasih sayang sesama saudara seagama? Pergi sembahyang berjemaah, tetapi tidak tahu hikmahnya. Bukan sekadar mendapatkan ganjaran 27 darjat itu...tetapi juga sepatutnya berjemaah itu dapat membina umat yang bersatu-padu dan harmoni.
Dalam suatu hadis, Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Tidak beriman (sempurna) seseorang kamu,sehingga dia kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.”
Ustaz juga menegur sikap ramai yang suka meletakkan kepentingan di tempat yang salah. Contohnya, kita terlalu risaukan perkara-perkara yang tak sepatutnya kita risau - didik anak agar berjaya dalam akademik tetapi mengabaikan keperluan agamanya. Boleh kira matematik sampai tahap professor tetapi terkaku bila disuruh membaca ayat Allah. Kita bagi dia skil duniawi sebab kita mengharapkan dia masuk universiti, keluar jadi orang berjaya, dapat gaji yang besar. Kita risaukan rezekinya. Padahal rezeki itu hak Allah. Allahlah yang berkuasa menentukan. Tapi itu yang kita risaukan sampai kita lupa hendak ajar anak-anak perkara2 yang dapat membantu menjauhkan dia daripada azab neraka Allah.
Kita tak risau dengan perkara-perkara yang patut kita risau. Kita tak risau anak kita yang sudah besar panjang tu tak sembahyang, tak tutup aurat, tak ada adab bila bercakap dengan orang tua...kita tak risau...kita lagi risau bila anak kita dapat nombor corot dalam kelas, kita sibuk hantar dia pergi tuisyen sana-sini...sikit pun kita tak terasa walau anak kita tahu baca al-fatihah sahaja dalam sembahyang. Tak menghayati rukun-rukun sembahyang. Tak tadabbur ayat-ayat Allah. Tak tahu macamana hendak membentengi dirinya daripada godaan Syaitan yang menyesatkan. Tak risaukah kita apa kesudahan kita dan keluarga kita di sana nanti???
Ustaz memberi contoh Surah Yusof yang menceritakan kisah Nabi Yusof A.S. sejak kecil sampai dewasa, dan menjadi pembesar kerajaan. Bagaimana Yusof dipisahkan daripada ayahandanya Nabi Yaakub oleh saudara-saudara yang berhati busuk. Kesedihan yang ditanggung oleh Nabi Yaakub dan penderitaan yang dilalui oleh Yusof. Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil antaranya ialah bagaimana kita harus bersabar dengan ujian Allah. Contohi Nabi Yaakub yang teguh kesabarannya. Surah ini juga mengajar kita agar kembali kepada Allah apabila ditimpa musibah. Mengadulah kepadaNya. Berteguh hati dan bersabarlah. Sehingga akhirnya Yusof dan bapanya dapat bertemu kembali dengan kebahagiaan yang lebih manis kerana kekuatan iman mereka. Masyaallah, cantiknya pengkisahan sebegitu. Sayangnya, tak ramai yang mengambil pengajaran seperti itu. Yang kita ramai-ramai selalu ingat bab surah Yusof ini ialah, (kata Ustaz)...hensemnya Nabi Yusof tu...hahaha...bab tu Aku masa budak dulu pun pernah mengigau sekejap membayangkan betapa hebatnya rupa paras dia, maklumlah sampai ada yang potong jari...subhanallah! Tu pasallah ibu-ibu mengandung sibuk membaca surah Yusof mengharapkan anak jadi hensem. Perli Ustaz, "Minta-mintalah hensem anak aku ni, kalau tak pandai pun tak pe...kurang-kurang boleh gak jadi artis nanti"...hehehe. Lepas tu ada juga yang dok sibuk pasal kisah Nabi Yusof berkahwin dengan Zulaikha. Sampai ramailah yang dok cetak doa kat kad undangan perkahwinan tu. Yang sebenarnya, kata Ustaz, tak ada di mana-mana dalam Al-Quran yang mengatakan hal ini terjadi. Kebanyakan ulama mengatakan hal ini tidak benar. Kita aje yang suka mengikut tanpa usul periksa.
Akhir kalam, kembali kita kepada ibadah qurban tu. Bak kata Ustaz, tak payahlah bangga sangat yang kita tahun ini dah mampu menumbangkan sesekor lembu kalau sembahyang subuh pun tak terbangun. Nabi Muhammad S.A.W yang telah Allah janjikan syurga itu sampai bengkak-bengkak kaki dan pecah-pecah tumit bangun malam bersembahyang sampaikan Aishah bertanya kenapa sampai perlu buat begitu. Jawapan Nabi mudah sahaja, kerana itulah cara untuknya menzahirkan kesyukuran di atas limpah dan kurniaan Allah. Yang kita ni Allah bagi rezeki tubuh badan yang sihat, tapi liat hendak bangun pagi sembahyang subuh tu...tak reti-reti nak bersyukur ke? Tuhan bagi kesihatan baik, ada kereta boleh pergi masjid yang tak jauh mana untuk sembahyang berjemaah...pun tak sampai jugak...dok le berlengkor dalam selimut sedap dipeluk dek setan. Tak payah le nak sibuk buat pengumuman dah korbankan lembu besor tahun ni tapi tak sanggup berkorban tinggalkan tempat tidur kerana Allah. Hello...hello...kita bercakap pasal Nabi Ibrahim yang sampai sanggup berkorban menyembelih anak tercinta, Nabi Ismail semata-mata patuh pada perintah Allah. Itu pun sanggup Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail turutkan kerana kuatnya iman mereka. Kita baru disuruh korbankan, sembelih 'selimut dan tilam' punnnnn tak terbuat...bercakap pasal pengorbanan konon...
Marilah beramai-ramai kita soal balik diri kita, kita kata kita sayang Allah, kita kata kita mahu syurga Allah...tapi apakah yang telah kita korbankan yang boleh melayakkan kita mendapat syurga Allah itu? Apakah tandanya kita cintakan Allah?
No comments:
Post a Comment