Monday, November 15, 2010

Sisi Yang Lain

Saya tertanya-tanya juga samada perlu atau tidak saya membalasnya. Saya terfikir untuk memberi penjelasan. Tetapi akhirnya saya menghentikannya kerana saya tahu dia bukan tiada ilmu. Apa yang dirasakannya itu benar ikhlas, betul, saya dapat merasakannya. Terima kasih kerana prihatin dan saya rasa bangga kerana itu tanda kasihnya dan itu tanda dia peduli.

Saya sebenarnya mengharapkan dia dapat 'melihat' keputusan saya itu dari sudut yang lain. Saya yakin ilmunya luas untuk memahami dengan mudah keputusan saya, namun kasih sayang sebagai saudara telah membutakan 'mata'nya. Yang terpampang jelas, semuanya emosi belaka. Saya tidak mahu menipu yang saya ini 'kalis' dengan apa yang terjadi. Hakikatnya, telahannya benar belaka.Saya tahu keputusan yang saya buat itu memang mengundang kontroversi. Ada yang tidak dapat menerimanya. Tetapi janganlah sekali-kali fikir apabila saya memilih begitu, saya masih berada di takuk lama juga, tak henti-henti mengalah. Tidak. Tidak semua yang nampak di mata itu, begitu juga di dasarnya. Ada yang telah berubah. Jangan selalu fikir yang apa yang terjadi itu, seharusnya berkesudahan begini begitu. Sebelum membuat keputusan, saya juga sudah merujuk kepadaNya. Saya ada mengadu padaNya. Saya nampak sisi lain yang barangkali orang lain payah hendak 'nampak'.

Entahlah, memang payah hendak memuaskan hati semua orang. Dan untuk hal ini, saya memang memilih untuk buat apa yang saya rasa patut untuk diri saya. Kali ini, saya mengaku saya sedikit 'mementingkan diri' kerana orang lain hanya nampak yang luaran, tetapi mereka tidak tahu apa yang saya lalui. Saya berterima kasih di atas segala pandangan dan sokongan yang saya terima. Di akhirnya, masih sayalah yang perlu melaluinya dan saya merasakan adalah lebih baik untuk menyuburkan cinta daripada memusnahkannya. Membunuh cinta akan lebih payah bagi saya kerana ianya akan mematikan hati dan jiwa saya, akan menggelapkan seluruh daerah rasa saya dengan dendam dan benci. Walaupun saya akur yang itu adalah jalan yang mudah. Ya, itu kerja mudah! Tutup bab. Buka bab baru. Mudah! Yang payahnya ialah bagaimana mahu panjangkan bab itu saat akal sudah ketandusan idea. Saat minda sudah sesak diracuni amarah.

Benarkan saya memilih jalan yang payah itu. Kerana jalan yang payah itu sangat mendekatkan saya kepadaNya. Apakala hati saya gelisah, saya akan sebut namaNya. Bila-bila saya rungsing, Dia selalu ada untuk saya. Dia buatkan saya rasa terharu dengan keakraban ingatan itu. Kalau saya memilih jalan yang mudah, saya barangkali lupa dengan kemanisan ini. Dan yang pasti, saya tidak belajar apa-apa dan tidak menyumbangkan apa-apa dalam pembentukan jiwa saya.Manakah dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya, bukan?

Saya puas hati walaupun ada yang mengatakan sebaliknya. Saya faham mengapa mereka berfikir begitu. Saya tak mampu menerangkan dengan jelas apa yang saya rasai. Terpulanglah. Yang saya tahu, saya tidak layak untuk menghukum. Bukan hak saya untuk menghukum. Dan siapalah saya untuk menjatuhkan hukuman.

Yang saya pasti, Dia menyediakan saya untuk situasi ini. Saya yakin benar. Benar, sukar untuk melupakan tetapi sungguh saya tak sangka yang memberi maaf itu adalah suatu yang sangat manis dan menginsafkan. (Betul kata Ustaz Kazim...).

Doakanlah saya!

2 comments:

nadrah said...

cabaran hati mmg payah ditangani. Mungkin ada sesuatu buatmu yang disediakan dihujung terowong, sabarlah menjalaninya, insyaAllah di sana ada cahaya (Betul kata Maher Zain.. )

Telipuk Kuala said...

Insyaallah...
Thanks.