Tengahari semalam semasa sesi kuliah agama mingguan di tingkat 50, Ustaz membentangkan topik berkenaan ibadah Korban. Buku rujukan yang digunakan ialah "Ahkam Wa Fatawa Al-Udhiyyah" yang dikarang oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Sejarah awal korban ini sebenarnya telah lama bermula semenjak dari zaman Nabi Adam A.S. Kebanyakan kita apabila sebut pasal korban terus teringatkan peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, sedangkan peristiwa yang mula-mula sekali dikaitkan dengan korban ini ialah bilamana anak-anak Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil menyediakan korban masing-masing untuk dinilai oleh Allah S.W.T sebagai satu cara menyelesaikan pertelingkahan antara keduanya.
Kisah keduanya ini ada diceritakan di dalam Al-Quran Surah al-Maidah ayat 27-31.Yang penting tentang ibadat korban ini ialah syarat yang Allah letakkan sebagaimana maksud ayat ke 27 surah al-Maidah yang berbunyi, "Dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Habil berkata: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa."
Yang bold itulah syarat samada ibadah yang kita buat itu bakal diterima Allah atau tidak. Maksud taqwa ialah mengerjakan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya, melaksanakan amalan-amalan fardu dan menjauhi maksiat dan dosa.
Berbalik kepada ibadat korban itu tadi dan juga sebagaimana ibadah-ibadah lainnya, maka hendaklah ia dilakukan atas dasar ketaqwaan. Bukanlah gemuk atau banyaknya daging lembu yang kita tumbangkan itu yang Allah pandang, bukan juga berapa banyak darah yang mencurah itu yang Allah perkirakan...akan tetapi apa yang Allah lihat ialah ketaqwaan kita terhadapnya. Janganlah banyaknya bilangan binatang dan banyaknya daging yang boleh diedarkan itu menjadi sebab untuk kita merasa cukup dan bangga dengan ibadah yang dilakukan. Apakah kita pasti ianya diterima Allah?
Antara bentuk soalan yang diajukan berbunyi, " Bagaimanakah keadaan korban yang dilakukan oleh seorang wanita yang tidak menutup aurat?".
Yang ini, Aku dah ada jawapan cepu emasnya sebab semasa kuliah tengahari Selasa lalu di surau TM, ustaz yang memberikan kuliah itu sudah memberikan jawapannya. Dari segi hukum fekah, tak ada masalah...tapi ibadah yang dilakukan itu sudah pasti tidak diterima Allah. Untuk kelas Aku ni, ustaz menghuraikan dengan lebih lanjut. Antara menutup aurat dan melakukan korban, mana yang wajib? Hah...jawab beb! Dah tentulah menutup aurat itu wajib. Korban itu sunat sahaja. Kenalah dulukan yang wajib.
Lalu ada juga yang kurang berpuas hati mencelah, "Tapi ustaz, perempuan ni memang ikhlas buat korban, sembahyang tak tinggal, puasa, zakat semua cukup...cuma tang tutup rambut jer tak...tak kanlah tak terima, ustaz..."
Okaylah, macam ni, ada suatu hadis menyebut seorang sahabat bertanyakan kepada Nabi Muhammad S.A.W tentang perihal seorang wanita yang rajin beribadah akan tetapi dia selalu menyakiti hati jirannya. Bagaimanakah halnya nanti? Nabi menjawab dengan jelas dan pantas, tak ada ragu-ragu. "Dia di neraka".
Macamana tu?
Bermakna, apa yang dibuat selama ini iaitu sembahyang lima waktu misalnya, adalah ibadat yang tidak berkualiti. Apabila ianya tidak berkualiti maka menjadilah ia perbuatan yang sia-sia, yakni sembahyangnya tidak dapat mencegah ia daripada melakukan kemungkaran.
Sama juga dalam hal menutup aurat. Allah telah berfirman dalam surah Al-Nur ayat 30-31 yang bermaksud, " 30. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman : "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".
Ada sekali peristiwa seorang artis fofular tanahair bertaraf biduanita mengeluarkan kenyataan berikut...(Aku quote jer lah ikut apa yang keluar kat akbar ye...)
" ..... tak pernah kata mahu bertudung dalam jangka waktu terdekat ini. ... hanya akan pakai apabila rasa nak pakai, jika .... tidak bertudung sekali pun, ... memakai rambut palsu dan masih lagi tidak mendedahkan rambut sebenar ...."
"... hanya akan bertudung apabila ... bersedia dan ... buat hanya kerana Allah. ... bertudung bukan sebab nak pergi haji, ... tak mahu niat untuk mengerjakan haji menjadi bebanan kepada diri sendiri."
"... lihat ramai rakan artis yang bertudung sebab tersepit. ... simpati dengan nasib mereka, kalau boleh ... tidak mahu perkara itu juga berlaku kepada ...,"
Antara kenyataan terpanas yang Aku jumpalah tahun ini...hemmm...(...isikan dengan nama yg sesuai)
Mengerjakan haji tu adalah rukun islam kelima yang kita buat bukan sebab suka-suka. Kita buat untuk menzahirkan ketaatan kita kepada Allah. Ibadat ini sepatutnya mampu mengubah kita jika benar kita mengerjakan dengan sepenuh hati dan sungguh-sungguh berserah mengharap padaNya. Siapa yang mahu pergi tapi tak mahu berubah menjadi yang lebih baik? Tak faham Aku!!! Nak tunggu hati terbuka, nak bagi alasan tunggu datang rasa ikhlas....boleh...good luck dengan penantian itu...bukan apa, takut-takut yang ditunggu tak sampai, yang tak ditunggu datang tiba-tiba. Masa tu apa pun tak guna lagi dah. Yang peliknya, Allah dah suruh pun. Jadi hendak tunggu apa lagi? Kita boleh sembahyang 5 waktu...no hal! Boleh puasa 30 hari tanpa masalah. Boleh pergi haji sepuluh kali pun...tapi apa gunanya kalau kita masih membantah perintah Allah? Bukankah itu menunjukkan yang kita ini 'tak dengar cakap'? melawan lah tu! Tak ikhlas dengan Allah. Janganlah yang sedap-sedap dan sesuai dengan kita je kita nak terima pakai, yang rasa-rasa susah nak comply...kita tangguh-tangguhkan. Macamana kita hendak Tuhan nilaikan kita dengan elok, kalau dengan Tuhan kita berkira bukan main.
Wah, cerita korban asalnya dan ke cerita aurat pula, ya. Bukan apa, kadang-kadang tu Aku mual dengan kata-kata seperti, "alah, nama saja pakai tudung, tapi tengok tu buat maksiat mengalahkan kami yang bukak aurat. tengoklah perempuan yang kena cekup kat taman-taman tu...semuanya pakai tudung...nak tutup love bite sebenarnya!".
Well...bab dia tutup aurat tu satu hal. Bab dia buat maksiat tu satu hal lain. Sama macam yang sembahyang, tapi buat maksiat. Sebab apa? Sebab sembahyang dia itu masing belum mencapai tahap yang boleh melindungi dia daripada melakukan kemungkaran. Sama jugalah dengan yang tutup aurat tapi masih mengumpat dan buat dosa lain. Tapi jangan kita persoalkan yang tutup aurat tu...dia tetap juga patuh dengan Allah, dosa maksiat dia, itu dosa lain pula. Tutup aurat itu wajib. Full stop. Jangan nak jadi kreatif pula bagi macam-macam alasan.
Yang lebih baik ialah, kalau tak tahu...pergi belajar. Kena berusahalah bagi hati tu lembut. Kita kalau mahukan sesuatu kenalah tunjukkan, kalau sekadar tunggu datang bergolek kat kaki...alamat makan asaplah. Yang bercakap ini pun, confirm tak lepas kalau tutup mata hari ini...tapi walau apapun, kita jangan berputus asa dengan rahmat Allah.
Perjalanan ini jauh, tapi bila-bila masa sahaja boleh terhenti...
2 comments:
I pun ada terbaca kenyataan artis tersohor ni.Terkedu sekejap bila dia menyamakan rambut palsu seumpama tudung....
Tu le masalahnya...ramai yg masih ingat, tutup aurat tu tutup rambut ...tu pasallah tak kisah leher nampak, pakai t-shirt tangan pendek...ada juga yang ingat tutup kulit, jadi dia tutup semua...tapi ketat tahap sarung nangka.
Post a Comment