Saturday, April 28, 2012

Jangan Kotorkan Mindaku

"Jom turun Sabtu ni" begitu ajak seorang kenalan. Bulat mata Aku memandangnya. Speechless. Cuma mampu tersenyum senget dan menolak, "Maaflah, tak minat" yang membuatkannya mengerutkan dahi. Malangnya Aku tidak berminat hendak menerangkan. Juga tidak berminat hendak memanjangkan cerita. Memang tidak ada mood hendak mencari pasal.

Hari ini, kami terpaksa menghadkan aktiviti jalan-jalan hujung minggu. Paling senang ke AEON Setiawangsa sahaja. Jalan lancar dan tiada kesesakan. Dalam hati tertanya-tanya juga bagaimana situasi di Dataran Merdeka.

Biarlah apa orang hendak kata, Aku tetap menolak perhimpunan jalanan seperti ini kerana bagi Aku ianya membiasakan kita untuk bersikap agresif dan biadap. Dan lagi Aku bermasalah apabila semuanya dibolehkan semata-mata untuk melunaskan hajat. Ada percanggahan prinsip di situ. Bagaimana minyak dan air boleh bersatu? Ianya seperti, tak apalah...janji ramai, boleh aje asalkan hajat tercapai. Dah tercapai nanti kita fikir balik nak buat apa seterusnya.

Rusuh jiwa melihat tokoh-tokoh agama turut serta. Ustaz-ustaz yang disanjungi dan ilmunya dipandang tinggi. Mengapa? Benak sangatkah Aku untuk menoktah suatu kefahaman? Hingga akhirnya Aku rasa keliru.

Biarlah keliru. Tak apa. Jangan buat-buat tahu membuta tuli ikut bercelaru. Mungkin puas agaknya dapat meluahkan perasaan begitu. Menjerit dan memekik seperti hilang malu.

Baiklah, kalaulah begitu yang kita mahu. Tendang sahajalah apa yang kita suka. Pecahkan segala yang kita jumpa. Musnahkan segala-galanya. Dan bila semuanya sudah kita kalahkan dan binasakan...puaskah hati kita???

No comments: