Setiap perkara ada risikonya. Setiap pilihan. Setiap perbuatan. Segala-galanya. Kalau tak buat apa-apa dan tidak pilih apa-apa...pun ada risikonya. Betul! Risiko mati mengejut! Hahahah...well, kalau sudah kejung, beku gitu...lebih baik jadi patung. Tak payah guna akal. Tak payah buat apa-apa.
Hemmmm...
Saya rasa, kalaulah setiap benda yang kita hendak lakukan itu kita bayangkan yang negatif, tentulah kita terhalang daripada melakukannya. Contohnya, kalau anda memilih untuk tidak memandu sebab takut berlaku kemalangan, sudah tentulah sampai sudah anda tak akan mampu memandu. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya bab memandu ini, saya main terjah sahaja. Tak fikir pun. Sebabnya masa saya ambil lesen memandu tahun 2000 dulu, saya cuma sekadar mahu ada lesen sahaja. Lesen basikal saya dah lama ada...heheh. Pak cik yang mengajar saya memandu pun tak yakin saya boleh lulus pada percubaan pertama. Sebab? Jadual kelas saya rongak-rongak. Seminggu sekali pergi pun sudah cukup baik sebab saya lebih kerap keluar dating daripada pergi belajar memandu. Hahaha. Tapi yang best tu, dalam batch saya yang pergi menghadiri ujian memandu mendapatkan lesen P itu...saya seorang sahaja yang lulus (walaupun cukup-cukup makan sahaja...janji lulus). Yiepeeee...!!!
Bila sudah dapat lesen, simpan buat perhiasan sahaja sebab lepas kahwin saya pergi berhantar dan balik berjemput naik motorsikal sahaja. Kereta simpan di rumah kerana pada masa itu, kami berpendapat itu adalah cara yang paling praktikal dan kos efektif. Yelah, masa tu baru mula hendak membina keluarga. Hanya bila anak sudah masuk dua dan tuntutan kerja semakin mencabar, kami mula memikirkan yang ada baiknya saya memandu. Senang hendak keluar mesyuarat di mana-mana, lepas kerja boleh balik terus ambil anak, tak adalah terpisat-pisat menunggu di lobi HSBC lagi...lalu saya memandu.
Takut? Owh...gila takut. Hari pertama memandu ialah ke kelas MBA saya yang masa tu dibuat kat TMTC...memang cuak tahap gaban. Slow motion habis. Namun as day goes by, sedar tak sedar dah 6 tahun dah bergelar pemandu. Kemalangan paling teruk dengan Atoz. Memang rasa macam tak mahu memandu lagi, tetapi saya buat juga. Kemalangan terkini pun rasanya teruk kesannya terhadap jiwa walaupun kereta ok kerana berada dalam keadaan 'nyaris-nyaris'. Adakah saya serik? Tidak, kerana hidup harus diteruskan. Saya hanya boleh berusaha memandu dengan baik, berdoa semoga Allah memelihara saya dan orang lain serta bertawakal. Itu sahaja. Selebihnya urusan Dia. Jadi, hari Jumaat lepas bila pertama kali saya berada di jalanraya semula sesudah episod malang itu, saya hampir enggan menggunakan Sentul Link. Namun saya gagahi diri menepis rasa trauma itu. Alhamdulillah, saya berjaya hadapinya. Syukur.
Begitu juga bila kita membuat keputusan untuk mengahwini seseorang. Membuat pilihan yang kita mahu berkongsi kehidupan kita dengan si dia. Kita akur dengan pahit manis yang bakal ditempuhi. Dan kita juga ambil maklum akan kemungkinan buruk yang boleh terjadi namun kita teruskan juga menyerahkan sekeping hati kita dengan percaya. Dengan redha. Dia mungkin banyak kekurangan dan kelemahan namun kita juga apa kurangnya, serba-serbi tidak sempurna. Perkahwinan itulah yang menyempurnakan kita. Sepertimana kata Kuhan..."Lelaki sebelum kahwin memang teruk...tapi dia jadi okay disebabkan perkahwinan itu"...hahaha....kami semua ketawa. Lalu Mak Banang pun mencelah, "Sebab tu le perempuan-perempuan la ni, asal nak kawin aje cari laki orang...konon fatherly lah...bertanggungjawablah....yelah, dah memang tugas dan tanggungjawab dia jadi ketua rumah...". Betul, jugak tu kan. Kalau tidak menempuhi pengalaman, tentulah kurang kematangannya. Bila sudah matang, sudah kena train baik-baik, senang je orang lain nak sambar ye. Hahahaha.
Hemmmpph....itulah risikonya. Tapi kalau itu yang kita takut sangat, susahlah. Pasal apa, benda kalau sudah hendak jadi...akan terjadi. Yang kita ini jangan jadi pengecut, kena hadapinya. Fikirkan yang positif. Fikirkan yang elok-elok. Kalau hendak berlaku, biarkanlah...diri sendiri jangan dimusnahkan. Jangan hidup dalam ketakutan kerana takut-takut itu kelak mempersiakan hidup dan membataskan potensi diri.
Itu pendapat saya. Pendapat orang lain saya tidak tahu. Tapi saya hormati pendapat semua orang sepertimana saya mengharapkan orang juga boleh menghormati pendapat saya.
Ada banyak lagi keputusan yang perlu kita buat sepanjang hidup ini. Apapun situasinya, saya pasti pemilihan dan tahap keredhaan kita kepada banyak perkara bergantung kepada keputusan paling besar yang akan menentukan pilihan-pilihan lain seterusnya. Apa dia? Pilihan paling utama...mahu syurga atau neraka? Saya pasti tak susah memilih. Yang susah ialah apabila yang dipilih itu bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Dan rentetan seterusnya ialah bergelut untuk memutuskan langkah-langkah seterusnya yang harus senada dengan pilihan utama. Di situlah sering terjadi salah pilih dan salah langkah. Ramai yang kandas dalam perjuangan. Justeru, bila-bila anda bagai menemui jalan buntu, baliklah kepada pilihan utama yang asal itu...insyaallah, bakal ketemui jalannya.
No comments:
Post a Comment