Wednesday, July 20, 2011

Diva

Susah sebenarnya berurusan dengan orang yang tahap 'diva' ini. Kena jaga tutur kata, lenggok bahasa. Salah cakap, cepat benor tersentap. Lain yang kita kata, lain yang dia tanggap. Sudahnya urusan yang sepatutnya mudah, menjadi payah.

'Diva' selalu merasakan yang dia betul semuanya. Kita salah seluruhnya. Mungkin kerana 'darjat' kita yang tak seberapa. Ditambah pula dengan 'kuasa' yang dia ada. Silap haribulan, kita ini sebelah mata pun dia tak pandang. Seumpamanya melukut di tepian gantang.

Saya setuju dengan pandangan seorang teman.

Katanya, "Kalaulah kita selalu ingat yang kita ini hanya seorang hamba Allah yang lemah dan hina, insyaallah, kita tak akan jadi 'diva' walaupun pangkat kita CEO sekalipun".

Betul...betul...betul...

Hatta Raja sekalipun.

Kalau di dalam hati sentiasa ingat yang kita ini hanyalah seorang hamba, mana mungkin kita akan berlagak seperti tuan pula kerana kita sentiasa sedar dengan insaf, dan dengan rendah hati yang Penguasa langit dan bumi sedang mengawasi segala gerak-geri dan tingkah laku kita.

Mudah-mudahan kita ingat begitu.

Kalau tak ingat juga, elok rasanya bila bawa kereta tu, pergi cari kawasan tanah perkuburan. Berhenti sekejap dan renungkanlah. Betapa ramainya insan yang hebat di bawah sana yang dulu punya segala...akhirnya ke mana mereka? Apa jadi dengan pangkat dan gelaran mereka? Apa jadi dengan wang ringgit dan emas perak mereka? Apa jadi dengan banglo dan kereta mahal mereka?

Tak ada satupun yang memberi manfaat dan dapat menyelamatkan mereka daripada kemurkaan Allah.

Jadi, berbaloikah menjadi 'diva'...???

No comments: