Sebenarnya Isnin yang lepas, BAKIT dengan kerjasama Tiaranita dan Surau TM ada menganjurkan satu program Ceramah Perdana di Dewan Seminar Aras 50. Penceramah jemputan ialah Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, seorang pensyarah di UIAM dan juga penasihat syariah yang sangat dikenali ramai. (Saya baru perasan yang Ustaz ni tinggi orangnya...). Baru ini dapat saya kongsikan di sini sedikit intipati ceramah beliau dek kehidupan saya yang tak berapa 'terurus' lately...hahahaha...(exaggerate!!!).
Topik yang diketengahkan ialah "Memburu Keberkatan Rezeki". Ia adalah satu topik yang penting kerana rezeki yang berkat itulah yang memastikan kelangsungan hidup kita di akhirat nanti. Kalau keberkatan rezeki itu tiada, memang sukar hendak menjamin kehidupan yang baik di dunia sana, dunia yang kita akan hidup selama-lamanya berbanding sekarang ini yang serba-serbinya sementara dan pinjaman belaka.
Rezeki merujuk kepada segala jenis kemanfaatan yang kita terima/nikmati baik fizikal mahupun spiritual dan ianya tidak terhad kepada wang ringgit, harta benda dan anak pinak semata. Rezeki spiritual ialah rezeki yang kita tak boleh nampak tetapi kita dapat merasakannya. Perasaan cukup, perasaan berlapang dada dan perasaan syukur dengan apa yang kita ada itu juga adalah rezeki.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 277 yang bermaksud, :"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati".
Ternyata memperolehi ketenangan emosi itu adalah satu rezeki yang menakjubkan, sayugialah kita bersyukur.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.
Lalu Ustaz mengaitkan rezeki ketenangan emosi ini dengan suasana dalam masyarakat hari ini dengan berkongsi pengalamannya bertemu dengan seribu satu macam masalah rumahtangga. Maklumlah, dengan ilmu yang dia ada, ramai yang suka menelefon. Lelaki ada. Perempuan berlebihanlah. Kalau yang perempuan, Ustaz kata dia hulurkan ke isteri dia...bukan apa, "Perempuan ini kalau kita layan dan cakap baik dengan dia, mulalah dia mudah jatuh hati,". Kebanyakannya telefon nak mengadu hal. Ada isteri yang cukup segala keperluan material...suami kaya, rumah besar, kereta mahal, nak apa-apa semua dapat tetapi suami sekali pun tak pernah lafazkan kata cinta, tak pernah 'mengayat' sampai isteri rasa terasing, rasa tidak dihargai, rasa tidak dikasihi. Sudahnya, jiwanya menjadi kosong dan sepi ketandusan kasih dan sayang. Haa...inilah barangkali berpunca daripada hilangnya keberkatan pada rezeki. Menyebabkan kemewahan harta benda tidak mampu memberi kepuasan kepada pemiliknya.
Cuba tengok perangai lelaki pula. Katakan lelaki yang berumur lingkungan 40-an. Dia suka kereta misalnya. Kata Ustaz, lelaki memang macam tu...dema ni suka sangat dengan 'bentuk-bentuk' yang dahsyat! Amboooiiii...Tapi tak pe, bior le kalau dema suka kereta...suka bola...itu sebenarnya lebih baik daripada dema sukaaaaa...opsss! hehehehe...
Contoh yang kereta tu ye. Katakan si lelaki ni berjaya mendapatkan kereta idamannya. Bila dah ada, letak dalam garaj. Hari-hari tengok, hari-hari belek. Puas tak? Hish, mana puas lagi. Dah ada kereta superpower yang supermahal...tak kan nak biar kumpul habuk, ye dok? Nak le bawa jalan-jalan, tayang-tayang...pergi sana pergi sini...baru puas hati. Eh...dok juge...tak pueh lagi. Konfem!!! Sebab apa, sebab kepuasan yang diperolehi itu bersifat sementara. Maka mulalah memburu kepuasan yang lain pula...
Barangsiapa yang mendapatkan harta dan mengambilnya dalam kedaan qana'ah...hati yang rendah, tunduk diri dan memanfaatkannya dengan mengikut kehendak Allah, maka rezekinya itu akan diberkati. Akan tetapi kalau seseorang itu merasakan segala apa yang dia perolehi itu adalah hasil daripada kehebatan dirinya...
Contoh :
1. Aku jadi CEO ini sebab Aku pandai
2. Aku dapat beli kereta ini sebab perniagaan Aku bagus
3. Aku mampu beli rumah agam kat Beverly Hills tu sebab memang Aku cekap hal-hal pengurusan kewangan dan hartanah ni...
Makanya, kalau itulah yang anda rasakan, akan menjadilah harta benda itu hanya ada pada fizikalnya tetapi tiada keberkatannya. Lalu perumpamaannya seperti makan tetapi tak kenyang-kenyang.
Yang menyebabkan rezeki itu tidak berkat ada banyak sebab. Ada banyak cara. Riba, pecah amanah, tipu resit dan rasuah antaranya. Ada pula yang kata, "Ala...biasalah, kalau dah terlibat dalam bisnis...kalau nak berjaya dalam perniagaan, mana boleh lurus bendul". Hello...itulah dia bisikan syaitan. Yang kita pun terikut-ikut ucap sama sampaikan dah menjadi macam satu kata-kata 'hikmat' pula.
Bagaimana kalau kita lihat manusia yang dikurniakan Allah kekayaan dan harta yang melimpah ruah tetapi dia tetap bebas berbuat maksiat sesuka hati. Sekali bergelumang dosa, sekali bertambah hartanya. Buat dosa lagi, semakin kaya pula. Itulah dia namanya 'istidraj'. Berhati-hatilah. Kerana harta-harta itu semakin lama, semakin menjarakkan kita dengan Allah, menjadikan kita lupa kepada Allah dan Allah pun melupakan kita. Apabila kita lupa akan peringatan-peringatan Allah...dan Allah ambil semua pinjamannya dengan serentak...apa akan jadi pada kita? Ke mana hendak mengadu??? Contoh dekat yang boleh tengok sekarang ialah Hosni Mubarak. Kenang-kenangkan dan ambillah pengajaran.
Keberkatan rezeki itu ada pada ketenangan. Rasa tenang dalam hidup kita adalah berpunca daripada keberkatan rezeki. Allah menawarkan kita ketenangan ini dengan syarat kita patuh dan tunduk hanya kepadaNya. Kita tak akan dapat ketenangan ini kalau kita sentiasa melihat kuasa manusia lebih besar daripada kuasa Allah.
Macam mana tu?
Contoh : Bila kita 'sembah' boss. Kita lebih takut dan turut kata-kata boss berbanding Allah. Misal kata KPI kita ialah menjaga pelanggan. Buat apa sahaja janji pelanggan puas hati. Siap ada elaun 'entertainment' lagi. Pelanggan hendak pergi ke pub, kita ikutkan. Pelanggan hendak perempuan, kita dapatkan. Pelanggan hendak arak, kita belikan. Apa jadi dengan duit gaji yang kita terima bulan-bulan dengan melaksanakan segala tuntutan manusia itu? Tak ada keberkatan di situ. Gaji masuk 10,000 ribu pun rasa macam 1000 jer nilainya.
Apa jadi bila keberkatan hilang?
Bila ada duit lebih, mulalah kepala ingat hendak buat maksiat aje. Bila hendak buat kebajikan pula, rasa liat dan berat sangat. Itulah tandanya rezeki tak berkat.
Rezeki yang berkat, walaupun sedikit kita dapat tetapi keberkatan menjadikan ia banyak dan mencukupi. Walaupun bawa kereta kecil je lagi murah (definitely not a mini copper), tapi alhamdulillah, berpuluh tahun pakai masih elok dan tak ada masalah. Berbanding yang pakai kereta mahal...entah apa gerangannya, enjin mati di tengah jalan. Duit keluar lagi nak bayar towing service, nak bayar upah mekanik bla...bla...bla...
Akhir kalam, dunia ini kalau dikejar memang tak akan pernah dapat. Sebab dunia sentiasa akan berlari. Tetapi kalau kita mengejar akhirat, dunia akan datang tunduk dan mengejar kita...
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment