Thursday, July 21, 2011

Strategi Ramadhan

Topik perbincangan dalam kuliah Rabu kali ini ialah Ramadhan. Ustaz kata, dia nak bagitahu awal supaya semua yang hadir dapat buat persiapan awal. Jangan tengah-tengah Ramadhan baru nak tanya macamana nak buru Lailatul Qadar. Sudah terlambat masa tu. Sekarang ini sudah masa 'memanaskan enjin'. Bila mula Ramadhan boleh terus jalan dan menjelang 10 akhir Ramadhan boleh pecut terus. Kalau belum 'mula' tetiba nak memecut, mahu tak semput 'enjin', silap haribulan 'mati' terus. Terkejut segala urat saraf.

Bulan Ramadhan dan Lailatul Qadar adalah tanda sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah. Dia masih memberi peluang, membuka ruang untuk hamba-hambaNya kembali patuh kepadaNya. Disediakan satu malam yang membawa bersamanya bonus pahala yang lebih baik daripada 1000 bulan. Apakah kalau tanpa bonus itu kita mampu untuk membuat ibadah yang mampu menyamai bilangan seperti itu? Kalau umur 100 tahun pun belum tentu. Kerana sikitnya amalan kita dan belum tentu cukup ikhlas untuk diterima Allah.

Jadi, ayuhlah kita berebut-rebut dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kelebihan pada bulan Ramadhan ini. Lupakanlah iklan-iklan jualan Hari Raya yang semakin melambak itu, cukup-cukuplah dengan aktiviti membeli-belah kita yang sepanjang tahun kita buat. Jangan sibuk dengan langsir rumah atau sibuk dengan baju baru anak-anak. Jadilah hamba yang cerdik. Melaburlah untuk saham akhirat, paling tidak dengan memberikan sepenuh tumpuan kepada pengisian Ramadhan ini.

Saya nak kongsikan di sini perancangan untuk kita mengoptimakan peluang merebut ganjaran istimewa Allah itu :

1. Bertaubat nasuha daripada semua dosa. Dosa adalah penghalang besar daripada rahmat Allah dan menyebabkan manusia malas beribadat.

2. Lupakan dunia seketika. Jangan tonton televisyen sepanjang bulan Ramadhan dan selepasnya kecuali program yang penting dan berfaedah.

3. Kurangkan keluar membeli-belah khususnya ke bazar Ramadhan. Ia banyak membuang masa dan tenaga di samping mengurangkan pahala puasa.

4. Kurangkan makan atau makanlah sama seperti di bulan-bulan lain (jangan terlebih makan).

5. Kurangkan bercakap kecuali perkara yang baik sahaja.

6. Banyakkan masa di masjid atau di tempat ibadah.

7. Pastikan dapat membaca Al-Quran dua atau satu juzuk setiap hari untuk khatam dua kali atau sekurang-kurangnya sekali di bulan Ramadhan.

8. Mulakan tadabbur (penghayatan) Al-Quran di hari pertama Ramadhan dengan mula membaca Al-Quran terjemahan setiap hari satu muka surat serta istiqamah sehingga selepas Ramadhan.

9. Ambil cuti sepuluh akhir Ramadhan untuk i'tikaf di masjid dan memburu Lailatul Qadar.

Semua langkah-langkah ini sebaiknya dilakukan bersama-sama ahli keluarga. Hal ini kerana adalah menjadi hak anak-anak mendapatkan tarbiyah daripada ibubapa. Setiap ibubapa akan dipersoalkan di akhirat kelak adakah mereka mendidik anak-anak mereka untuk mengenal Allah dan menjadi hambaNya yang sebenar atau menjadi hamba nafsu dan dunia?

Firman Allah Taa'la : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya).." (Al-Tahrim:6).

Insyaallah. Selamat beramal.

No comments: