Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam ketika Ustaz Hassan dan anaknya sampai. Semua barang-barang yang diminta Ustaz telah kami sediakan. Satu jag air yang sudah dibacakan surah Yassin, air kolah (kolam) masjid, air mineral dalam botol, limau nipis dan limau purut. Ia adalah suasana yang bukan pertama kali pernah Aku lalui. Cuma inilah pertama kali kami mencuba terapi Al-Quran ini. Apabila kami mengunjungi pejabat Darul Hikmah petang sesudah menjemput anak buah yang terkena gangguan makhluk halus di tempat kerjanya, pejabat itu sudah tutup. Maklumlah sudah pukul 6 lebih pun. Jadi, kami mencuba beberapa nombor telefon yang ada untuk mencuba nasib bertanyakan lebih lanjut akan perkhidmatan yang ditawarkan. Mujurlah panggilan terakhir kami bersambut.
"Saya ada buat rawatan malam ini di Tanah Kebun. Ada orang kena histeria" kata Ustaz menjelaskan jadualnya malam itu.
"Tengoklah macam mana, kalau saya siap awal, insyaallah...saya datang". Ada harapan. Kami benar-benar berharap.
Tidak sampai sejam sesudah itu, kami dapat berita baik.
"Insyaallah, lewat pun saya akan datang juga malam ini".
Alhamdulillah...lega rasanya. Entahlah, tak sabar rasanya hendak mengakhiri semuanya. Tak tahu apa kesudahannya. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah urusan ini.
Apabila Ustaz sampai, dia pun memperkenalkan kami kepada kaedah rawatan menggunakan al-Quran. Pernah dengar tentang ayat-ayat rukyah? Haaa...yang itulah.
Dua helai sejadah dihamparkan di tengah rumah. Kami yang memerhati, berkeliling di tepi. Kakak duduk di atas sejadah pertama dan anak buah mengambil tempat disebelahnya. Mereka duduk melunjurkan kaki.
Anak buah Aku baru sehari dua terkena gangguan. Pada hari tersebut, dia di tempat kerja. Katanya, dia ke belakang untuk membuang sampah bersendirian. Dalam keadaan sunyi begitu, tiba-tiba dia terdengar suara memanggil namanya berulang kali tetapi tidak melihat sesiapa pun di situ. Geram kerana menyangka ada yang cuba mengusiknya, dia menyergah sesedap rasa, "Oiii...kalau berani keluarlah!".
Sekonyong-konyong yang memanggil itu pun menjelmakan diri di depan mata. Sesusuk tubuh tanpa kepala.
Anak buah Aku yang terkejut terus menjerit dan meracau. Walaupun pada hari kejadian, ada bomoh dipanggil untuk membantu dan dia nampak pulih, keesokannya apabila dia ke tempat kerja, gangguan itu berulang.
Kakak Aku pula, kisahnya lebih berwarna-warni. Selepas SPM, dia bekerja di sebuah kilang di kawasan Perindustrian PB. Dalam satu kejadian di mana sebuah kilang bahan kimia bocor dan mengeluarkan gas, ramai pekerja-pekerja di kilang-kilang bersebelahan telah terhidu gas beracun tersebut. Kakak Aku dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas. Bermulalah episod mistik dalam kehidupannya. Oleh kerana tubuhnya yang lemah, dia telah menjadi sasaran mudah makhluk-makhluk halus singgah. Walaupun banyak kali berubat, tak pernah pulih sepenuhnya. Dan sempatlah Aku mengikuti beberapa sesi rawatan daripada pure bomoh yang menjampi serapah sampailah kepada yang menggunakan ayat al-Quran tetapi masih ada ritual yang Aku tak berapa faham. Kakak masih menjalani rutin hariannya macam biasa cuma deria keenammya jadi terlebih pula sebab boleh nampak macam-macam 'makhluk' pula sesudah itu. Dan oleh kerana tak ada peristiwa-peristiwa kritikal lagi, kami semua pun menerima seadanya.
Bagaimanapun semenjak kakak Aku mula berjinak-jinak berniaga makanan kecil-kecilan di hadapan rumah, dia kembali didatangi benda-benda mistik. Asal hendak buka gerai aje, kaki bengkak. Asal hendak memasak aje, kepala sakit tak tertahan. Mula-mula berniaga, sambutan sangat baik, hujung-hujung makin sunyi sepi ditambah dengan keadaannya yang kerap sakit, gerai lebih banyak tutup daripada buka. Kami fikirkan masalah lama berulang semula. Tetapi...ada juga pendapat lain.
Jadi, itulah, alang-alang sudah hubungi Darul Hikmah, eloklah kami tengok semula apa masalah yang sedang dihadapi ini dan berusaha mengatasinya dengan izin Allah. Walaupun kepulangan Aku ke kampung hujung minggu lepas bukanlah disebabkan ini, tetapi kebetulan bila balik itu, adalah lebih idea dan fikiran untuk sama-sama mencari jalan.
Sepanjang rawatan Ustaz membacakan ayat-ayat Al-Quran daripada surah-surah tertentu sehingga diakhiri dengan laungan azan. Ketika itu, pesakit disuruh menutup mata dan hanya mendengar bacaan ayat-ayat suci itu semata-mata. Beg-beg plastik disediakan kerana kebiasaannya, pesakit akan muntah.
Di pertengahan bacaan, kakak Aku mula menangis teresak-esak. Manakala anak buah Aku bungkam macam batu. Reaksi tak ada langsung. Hanya bila Ustaz mendesak dengan laungan azan barulah dia mula melawan tetapi masih enggan bercakap. Hanya matanya menjeling tajam. Ustaz menggerakkan tangannya bermula arah kepala sehingga ke hujung kaki (tanpa menyentuh), dan dilihat merentap dan seakan menggenggam sesuatu sebelum dia bergerak membuka pintu rumah melepaskan apa yang ada dalam genggamannya. Anak buah Aku terkapar pengsan.
Ustaz menumpukan perhatiannya kepada kakak Aku. Tangannya yang bersarung diletakkan di atas kepala dan belakang badan kemudian ditepuk-tepuk sambil mulut berterusan membaca al-Quran.Kakak Aku yang tersedu-sedan itu mula menggelisah dan tak senang duduk. Matanya masih dipejam rapat.
Ustaz : Aku tahu, engkau sakit kat dalam tu...tapi engkau degil, kan? Cepat cakap, engkau tu siapa?
Kakak : (Diam dan buat tak endah).
Ustaz mengambil sebatang rotan daripada ranting pokok yang halus dan disepitkan di celah jari kaki membuatkan kakak Aku menjerit.
Ustaz : Baik engkau cakap kalau tak mahu Aku seksa engkau dengan ayat-ayat al-Quran wahai musuh Allah!
Kakak : Bukan urusan engkau!
Kami semua terkejut serentak mendengar suaranya yang garau.
Ustaz : Engkau siapa yang berada dalam tubuh manusia ini?
Kakak : Bukan urusan engkau la bodoh!
Walaupun dalam situasi begitu, ada juga yang nak tergelak...hadoooiii...
Ustaz : Siapa kata bukan urusan Aku? Tuan punya badan ini telah meminta bantuan Aku untuk menghapuskan engkau. Jadi, ini memang urusan Aku. Baik kau keluar,kalau tidak nanti Aku bakar engkau dengan ayat-ayat Allah.
Diam.
Ustaz ubah kedudukan ranting kayu dan kepit lagi jari kaki, apalagi, menjeritlah kakak Aku.
Ustaz : Cepat cakap, siapa yang kat dalam ni? Kenapa engkau masuk dalam tubuh manusia?
Degil. Masih tak keluar apa-apa maklumat. Ustaz desak lagi.
Ustaz : Siapa engkau?
Kakak : Aku Bajanglah, bodoh!
Kami semua tersentak. Bajang? Hemmm...setahu Aku bajang ni jenis yang kuat.
Ustaz : Ohhhh...Bajang ye...kalau engkau Bajang, mesti ada kat dalam tu kawan-kawan engkau pelesit dan hantu raya, kan? Berapa kat dalam tu?
Kakak : 9
Wahhh...kami saling berpandangan. 9? 9 ekor? Mak oiii....ramai tu!
Ustaz : Aku nak cakap dengan ketua. Antara 9 ini, siapa yang ketua? Kau ke Bajang?
Kakak : Akulah ketua (Bajang).
Ustaz : Kau lelaki ke perempuan?
Kakak : Lelaki.
Ustaz : Berapa umur engkau?
Kakak : 200 tahun.
Ustaz : Kau ni Islam ke kafir?
Kakak berpaling dan diam.
Ustaz : Kalau macam tu, kau ni mesti kafir. Sebab itu kau buat benda ini. Kau lebih takut pada tuan engkau daripada Allah. Apa yang engkau hendak? Tuan engkau suruh engkau buat apa? Apa tujuan engkau ganggu tuan badan ini?
Kakak : Bagi dia mati.
Urut dada Aku mendengarnya.
Ustaz : Soal hidup dan mati bukan urusan kau. Bukan engkau yang tentukan. Hidup dan mati ketentuan Allah. Baik engkau keluar sekarang...kalau engkau tak mahu seksa!
Memang degil betul makhluk sembilan ekor itu. Tak mahu keluar. Penakut ya amat dengan tuan mereka. Sanggup meraung-raung kena bakar dengan ayat Allah. Apa yang berlaku selepas itu memanglah dramatik. Mahunya tak, lima orang lelaki cuba pegang, tak dapat. Habis semua kena tepis. Kena tendang. Tak silap Aku dua kali Ustaz kena ludah. Bila kakak mula mahu muntah dan semakin lemah, Ustaz suruh carikan ketulan ais. Kena mandi ais malam tu juga. Huh...pukul 11.40 malam pergi cari ais.
Nak mandikan satu hal. Aku dengan Abang (abang betul ni) memapah dikiri dan kanan. Masyaallah, tak terdaya kami. Selangkah jalan selangkah jatuh. Pasal kakak Aku memang lemah terus, tak ada tenaga nak ampu badan dia. Kami kena perah tenaga la nak bawa dia ke bilik air. Aku yang mandikan. Masa mandi tu, memang muntah berlambak-lambak. Habis mandi terpaksa biar baring kat kawasan dapur. Sebab dah tak bertenaga lagi kami nak angkat. Abang pun dah bengkak tangan dia, entah terkehel masa bersilat tu...tak tahulah, keadaan kelam kabut masa tu.
Sesi rawatan malam itu diakhirkan. Kata Ustaz, sudah pasti kena ulang balas sebab gangguan yang dihadapi bukan calang-calang. Buat masa ini biar kakak berehat dulu.
Masa Ustaz beredar balik, jam sudah pukul 1 pagi. Entahlah, Aku tak rasa takut apa-apa. Aku cuma rasa terkilan dan marah je. Sedih sebab ada lagi manusia yang hatinya busuk sebusuk-busuknya. Yang tergamak menyusahkan orang lain dan ambil peranan macam malaikat maut pula nak cabut nyawa manusia lain. Dia ingat dia siapa? Sanggup bersekongkol dengan musuh Allah untuk menjatuhkan saudara seagama.
Memang Aku tak dapat nak bayangkan betapalah sampai hati orang tu buat sampai macam tu sekali. Berapa sangatlah kakak Aku dapat duit berniaga gerai dia tu...cukup makan anak-beranak aje pun, berniaga ala kadar kat kampung macam tu sekadar balik modal je! Lagi pun rezeki masing-masing, masing-masing la makan...bukanlah kata kalau rezeki kakak Aku lebih, rezeki dia akan berkurang. Tak ada hubung kait langsung!!!Rezeki masing-masing Allah dah tentukan sejak dari azali lagi. Masing-masing kita ada habuan sendiri. Sedari umur satu hari sampai hari pejam mata, Allah sudah aturkan bila dan banyak mana kita akan nikmati pada satu-satu masa di sepanjang kehidupan kita. Kenapalah tak nak faham? Kenapalah nak sakit hati tengok orang lain senang sikit?
Nak cakap salah tak cakap salah...itulah realiti pahit orang kita, tak sudah-sudah dengan hasad dengki. Macamanalah nak maju???
2 comments:
gitu ah.....zaman moden.....tp still guna sihir.......buat apa dengki ngan org usaha ah ngan cara elok......dok faham.......
ha'ah...zaman je moden, tapi otak makin berkarat, akal dia mundur, hati hitam legam. Hanya orang yang tak waras je buat benda-benda macam ni.
Post a Comment