Friday, July 04, 2008

Debaran

"Kring..kring....." bunyi telefon memecah keheningan pagi.
"Kring...kring..." terbatal hasrat menarik selimut dek gangguan tidak diundang. Mahu tidak mahu kugagahi bangun mencapai gagang. Teraba-raba dalam kegelapan.
"Askm...sorry la kacau pagi-pagi ni..." suara Ramzan kedengaran jauh. Jam tepat menunjukkan pukul 4.30 pagi.
"Ada apa?" tanya ku sedikit serak-serak basah.
"Nak tanya ni, kalau keluar darah kena pergi hospital ke?" Ada baur emosi cemas terselit dalam nada suara yang terkawal. Macam terkena renjatan elektrik, seluruh anggota badanku segera bertindak balas.
"Haah..kena...kena...pergi hospital" kataku yakin.
"Tadi ada keluar ketulan darah..." tambah Ramzan.
"Baik pergi. Jangan tunggu lagi. Asal keluar aje darah, mesti pergi hospital", kataku.
"Ok..ok..aku nak kemas barang ni. Jap lagi kami pi."
Perbualan tamat setakat itu. Aku bergegas mengejutkan emak. Kebetulannya pagi ini, seperti semalam, kami bersahur bersama-sama. Puasa menyambut kedatangan Rejab.

Kepada emak aku maklumkan perkembangan terbaru Huda. Mak pun terus bangun duduk. "Memang kena pergi hospital tu...lagi pun perut dah cukup bulan.." katanya.
Nampaknya tak sempatlah mereka ke sana sebelum bayi keluar. Selepas bersahur, kami duduk bersembang menunggu masuk waktu Subuh.

Emak mengimbas saat melahirkan Aku. Kata mak, mudah sangat. Pada masa itu, hari masih pagi benar, kira-kira jam lima. Mak terbangun dek terkejut mimpi melahirkan. Sebaik terbangun, mak merasakan ada air keluar membasahi kainnya. Bagaimanapun mak tidak pula merasa sakit. Mak bangun duduk dan melihat anak-anak yang lain bergelimpangan tidur. Dalam berkira-kira hendak mengejutkan ayah, ayah terbangun sendiri...barangkali turut berasakan kegelisahan di hati mak. Kata Mak, sudahlah dia ketakutan kalau-kalau terpaksa bersalin sendiri...ayah pula bila mendapat tahu adanya tanda-tanda mahu melahirkan, dia terus pengsan! Lagilah panik mak dibuatnya. Ayah aku sememangnya seorang yang cepat gemuruh atau 'seriau' dalam hal-hal membabitkan darah...sesuatu yang turut diwarisi aku.

Bila ayah bangun, dia terus berkayuh basikal ke rumah nenek. Dari sana dia berbasikal bersama-sama atuk yang memboncengkan nenek. Atuk dan nenek ditinggalkan untuk menjaga adik-beradikku yang lain. Ayah kemudian membawa mak naik basikal ke rumah nenek sebelum memanggil bidan Sopiah. Huis...banyak juga masa dibazirkan berulang-alik sana-sini, kan?. Di rumah nenek masih ada ramai saudara yang dapat membantu. Bagaimanapun mak langsung tidak menghadapi apa-apa masalah. Saat mak melangkah tangga ke ruang atas rumah, aku pun meluncur keluar di sambut oleh bidan Sopiah yang belumpun sempat duduk. Punyalah senang, alhamdulillah. Sejurus keluar, azan subuh pun berkumandang di pagi Selasa 21 Oktober 1975 yang tenang.

Sehingga saat ini, masih belum kedengaran khabar dari Ramzan. Mungkin sekarang ini dia sedang resah-gelisah menunggu untuk bergelar seorang Ayah. Apapun aku doakan di kejauhan ini setulus hatiku semoga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan semua urusan.

2 comments:

Anonymous said...

I berdoa muga semuanya selamat..Insyaallah bila Mak you sampai nanti dah ada cucu yang menanti...

Telipuk Kuala said...

Thanks. Alhamdulillah, adik ipar I dah selamat bersalin baby girl.