Saturday, July 05, 2008

Titik

Setiap kali pulang dari sekolah, antara perkara yang Hisham akan buat adalah membaca karangan-karangan pendek yang ditandakan "read" oleh gurunya. Bab mengulangkaji ni rasanya aku tak perlu bimbang...kesian budak-budak zaman sekarang ye...

Dalam pada memerhatikan patah demi patah ayat, perkara yang aku perasan ialah dia kerap mengabaikan tanda bacaan termasuklah 'titik' (noktah). Maknanya, persempadanan antara dua ayat selalunya hilang begitu sahaja sehingga kadangkala mendatangkan maksud yang berbeza. Dan silap-silap letak 'titik' pun boleh menimbulkan salah faham. Semuanya hanya kerana satu 'titik'.

Peri pentingnya meletakkan titik di tempat yang betul membawa aku meneroka ke suatu dimensi yang lain pula. Rupa-rupanya 'titik' memainkan peranan yang besar dalam kehidupan manusia sehari-hari. Bezanya, dalam kehidupan manusia, walaupun ada masa dan ketikanya kita telah meletakkan 'titik' pada suatu tempoh masa...ia tidak semestinya bermaksud perkara yang telah dinoktahkan itu hilang begitu sahaja. Sebenarnya apa yang disangkakan telah berakhir itu ada peranannya tersendiri dalam pembentukan peribadi dan sikap kita di masa hadapan, malahan 'titik-titik' ini kerapkali dirujuk dari masa ke semasa dalam pelbagai situasi dan keadaan.

Dalam kehidupan ini, disepanjang jalan yang telah aku lalui memang ada banyak perkara yang telahku 'titik'kan. Sebenarnya 'titik' yang ada itu menjadi batu tanda pada sebuah hikayat hidup yang tidak pernah akan terlupakan. Andai ada antara titik-titik itu menjadi perlambangan untuk menamatkan sebuah kenangan...janganlah pernah melupakannya kerana cubaan melupakan adalah perkara yang paling dahsyat dan seksa untuk dilakukan.

Apa yang boleh dilakukan adalah membiarkan sahaja ia di situ, mengambil peringatan bilamana perlu dan meneruskan hidup dengan memandang ke hadapan. Percaya bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya, biar pun pedih menelan kenyataan...hidup perlu diteruskan.

Justeru itu, pastikan dalam membuat keputusan hidup, ambillah masa membuat pertimbangan dari semua segi. Di mana-mana yang ada ketidakpastian, segeralah berterus-terang dalam mencari jawapan sehingga berhasil menemukan kesudahan yang terbaik. Jangan meneka dalam kesamaran kerana apabila 'titik' telah diturunkan, adalah sukar untuk berpatah balik.

Dan jangan pula kerana tersalah 'titik', tertutup ruang untuk peluang yang lain. Adapun 'titik' itu namanya pengalaman dan ialah yang akan menambahkan kematangan. Dan untuk 'titik-titik' yang ada di lembaran hidupku ini, kukatakan dengan pasti..."Titik-titik itu adalah kekal, dalam hatiku ia akan tinggal".

Salam bertitik dariku untuk catatan berat di petang Sabtu....

2 comments:

Anonymous said...

Dalam sungguh maksudmu.....hanya pemilik titik itu sendiri yang dapat merasa dan mengetahui maksud tersurat...

..setiap manusia dibumi Allah ini memiliki titik-titiknya yang tersendiri...ada titik duka, ada titik indah..ada juga titik yang menjadi tanda tanya buat selama-lamanya...

Telipuk Kuala said...

Titis..titis noda..tertinggal di dalam dada..ku rasakan ...opss..tak ingat plak litik seterusnya he..he...he...thanks for the charming comment.