Tengahari tadi bertempat di Dewan Serbaguna, Menara TM telah berlangsung satu ceramah anjuran Unit Hal Ehwal Islam, HR TM bersempena memperingati peristiwa Isra' dan Mikraj. Tajuk yang disediakan ialah "Peristiwa Isra' dan Mikraj, Antara Khayalan dan Kebenaran". Kata penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Hj. Sofwan Badrie (PERKIM)Bangsar, KL, dia beristighfar tatkala membaca tajuk tersebut. Barangkali, ianya bertujuan untuk mencabar, katanya sambil mengaku berasa langsung "tidak tercabar" dengan tajuk itu. Aku pun berasakan perkara yang sama...almaklumlah, peristiwa itu adalah perkara benar yang berlaku justeru, perkataan "khayalan" kalaupun hanya faktor sensasi yang mungkin dapat mempengaruhi jumlah kehadiran...tidak sepatutnya digunapakai.
Bagaimanapun bahan-bahan ramuan ceramah ini bagaikan ada kekurangan, bak kata biasa...tak cukup rencah. Mungkin pendekatan yang digunakan berbeza ataupun kekangan masa membataskan kupasan yang lebih menyeluruh. Kita biasanya dihidangkan akan pengalaman yang dilalui Rasullulah S.A.W dalam perjalannya di malam hari itu mengenderai kenderaan yang dinamakan 'buraq' dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, lalu terus dimikrajkan ke atas, melepasi 7 lapisan langit sebelum tiba di Sidratul Muntaha. Dan pada setiap lapisan langit itu ada banyak cerita dan pengajaran yang dapat dikutip. Apapun kali ini, perjalanan tersebut tidak disentuh. Bukanlah aku tidak pernah mendengar tentangnya, tetapi aku rasa sedikit ralat. Itu sahaja.
Walaubagaimanapun, penceramah ini memberikan penekanan tentang apa dan mengapa ianya berlaku. Pada asasnya peristiwa tersebut sangat mempengaruhi perjalanan dakwah Islamiah dan ianya berlaku sebelum hijrah Rasullulah S.A.W ke Madinah. Ternyata ianya satu mukjizat yang diberikan bertujuan (antara lainnya) untuk memberikan 'tasliyah' (hiburan) kepada Rasulullah S.A.W yang mengalami kehilangan 2 orang yang dikasihi lagi penting iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Saiyidatina Siti Khadijah.
Apabila Rasullullah S.A.W menceritakan peristiwa itu, tentu sahaja Baginda dianggap gila oleh kaum Musyrikin yang menolak mentah-mentah peristiwa tersebut. Benar, andai dirujuk pada akal semata-mata maka akal dengan segera menolak perkara ini kerana ianya berada di luar batasan pemikiran. Akan tetapi apabila dirujuk kepada sahabat Baginda, Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, maka segera diterima oleh Abu Bakar tanpa sebarang keraguan. Ini kerana Abu Bakar tidak hanya merujuk kepada akal, tetapi juga merujuk kepada jiwa dan hati yang telah menerima iman lalu mempercayainya. Peristiwa ini juga telah "menapis" orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya daripada golongan yang palsu. Kerana ramai juga pada awalnya mengaku Islam telah menjadi murtad selepas peristiwa ini kerana lemahnya iman mereka. Justeru dikatakan Isra' dan Mikraj ini sebagai satu ujian dan dugaan ke atas iman bertujuan untuk mengenalpasti antara yang benar dan yang dusta.
Juga disebut dalam ceramah ini bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W telah diperjalankan dengan jasad dan ruh bersekali. Ketetapan ini adalah bersandarkan kepada hakikat bahawa ianya adalah satu bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada Baginda, bukannya sekadar mimpi. Mukjizat sudah tentu merujuk kepada suatu kebolehan yang luar biasa. Keduanya, sudah tentulah ruh dan jasad bersekali - maka inilah yang dipertikaikan kaum Musyrikin kerana mereka enggan dan tidak mahu percaya. Sekiranya peristiwa itu sekadar mimpi, maka sudah tentu mereka tidak berminat mempersoalkannya.
Dan yang paling signifikan sudah tentulah ketetapan sembahyang lima waktu. Sangat besar nilai dan maknanya. Maka tentulah kita hairan kerana ramai yang mengaku Islam tetapi tidak pula bersembahyang. Sembahyang adalah satu-satunya syariat yang diberikan 'direct' kepada Rasullulah sedangkan ibadat-ibadat lain diturunkan menggunakan perantaraan Jibrail. Jelas menunjukkan "level of importance" akan ibadah yang satu itu. Tidak hairanlah disebut bahawa sesiapa yang meninggalkan solat maka sesungguhnya dia berada di dalam kesesatan yang nyata.
Semoga sedikit maklumat yang ada ini dapat memberikan manfaat kepada semua. Yang elok itu datangnya dari Allah S.W.T dan yang salah itu datangnya dari kelemahan saya sendiri. Andai ada tersilap sebut kat mana-mana, harap kawan2 dapat betulkan.
2 comments:
Dear Telipuk,
Very detail....I salute u.
Akak...kalau ada yang tertinggal tu tambah-tambahlah, boleh share sesama..he..he...teng kiu for the 'assam boi' which really helps in maintaining my level of concentration :)
Post a Comment