Saturday, July 05, 2008

Tika dan Saat Ini...(yang sunyi)

Pada masa dan saat ini Mak sudah sejam lebih berada puluhan ribu kaki di atas sana, membelah kesunyian malam lewat perjalanan pertamanya keluar dari bumi Malaysia menuju ke sebuah benua yang asing, Australia namanya. Segalanya berjalan lancar alhamdulillah, walaupun Mama Huda terpaksa berkerusi roda gara-gara keadaan lututnya yang semakin teruk dek jatuh dua kali di rumah, kedua-dua besan nampak ceria...walaupun tertangkap olehku debaran akan pengalaman pertama ini di mata mereka. Mereka cuba sembunyikan kerana bimbang kami yang di sini diruntun kegusaran pula. Apapun aku berasa yakin mengiringi mereka ke pintu perlepasan sementelah Ramzan sudah mengesahkan akan hadir menjemput di sebelah sana sebaik pesawat mendarat.

Pada masa dan saat ini juga kedua-dua anakku sudah hanyut dibuai mimpi. Kedua-duanya begitu cergas di KLIA sehingga tidak menang tangan kami mengawal mereka. Aiman yang tidak berapa faham bahasa telah menunjukkan belangnya di Children Boutique yang kebetulan tersergam megah di depan surau...huhuhu..maka berkeping jugalah duit ku melayang membelikan sebuah kereta kecil yang tidak padan dengan harganya...nasib baik jugalah dia mahu bertukar citarasa sebab keinginan awalnya adalah sebuah kapal terbang yang harganya separuh harga membelanja kawan-kawan makan di Madam Kwan's. Sabar...sabar...Makan malam adalah di McDonald. Nasib baiklah. Dia memang suka dengan restoren segera ini maka dapatlah kami semua duduk bertenang beberapa lama di situ sebelum tiba masa berangkat.

Sebaik Mak dan Mama Huda hilang dari pandangan mata, aku segera membawa anak-anakku ke kereta. Khairi, isteri dan mertuanya berpisah dengan kami kerana mereka telah membuat rancangan bermalam di rumah saudara di Sg Pelek, Sepang. Aku sebenarnya adalah pertama kali memandu sendiri ke daerah ini. Selalunya jika ada urusan penerbangan, Abanglah yang akan menghantar dan menjemput...ataupun aku sering juga memilih mengunakan KLIA Express. Berdebar juga mahu memandu pulang pada waktu malam. Berbekalkan semangat dari anak-anak, aku berasa lega kerana berjaya keluar dari tempat parking dan menemukan jalan keluar ke arah Kuala Lumpur tanpa sebarang masalah. Sebaik melepasi tol KLIA, aku semakin yakin dan berjaya sampai di rumah tanpa apa-apa masalah walaupun ada dua tiga keadaan di jalanraya yang sedikit mengganggu...mujurlah aku semakin cekap mengawal keadaan di kala diasak pemandu yang tidak bertimbang rasa. Kami tiba sekitar jam 10.30, dan sesudah membersihkan diri masing-masing, anak-anak memilih untuk berbaring menonton TV sambil minum susu. Agaknya kepenatan, kedua-duanya pun tertidur.

Ramzan berjanji akan memaklumkan ketibaan bonda berdua. Kasihan juga dia perlu memandu ke Sydney yang beratus kilometer dari Canberra. Tapi berbaloi lah kedua-dua mak ada kat sana...seronoknya!!! Harap semua orang pun gembira dan ceria walau di mana berada.

No comments: